Categories
SELANGOR

MB: Perjanjian baru akan dimeterai selepas pelaksanaan WSIA

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 2 APRIL : Satu perjanjian baru akan dimeterai antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor sekiranya Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) digunapakai bagi menjayakan penstrukturan semula industri air di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri dan Persekutuan kini sedang dalam perbincangan berhubung modus operandi bagi menguatkuasakan WSIA kerana ia adalah kali pertama seksyen berkenaan digunapakai di negara ini.

MBBeliau berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) turut bersetuju untuk menyambung semula perbincangan pada Jumaat ini bagi memastikan industri air akhirnya dipulangkan semula kepada kerajaan negeri menerusi anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

“Walaupun proses perbincangan ini mengambil masa yang lama tapi ia perlu supaya penguatkuasaan dibuat selari dengan undang-undang WSIA serta tidak boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati.

“Kita yakin mekanisme atau modus operandi yang akan diguna pakai untuk mengambil alih perkhidmatan air akan menguntungkan kerajaan negeri kerana pampasan yang perlu dibayar kepada pemegang konsesi lebih murah berbanding tawaran awal sebanyak RM9.65 bilion,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri bersama-sama Kerajaan Pusat juga sedang mengkaji kaedah bersesuaian yang memenuhi keperluan seksyen berkenaan supaya penguatkuasannya tidak membawa kesan buruk kepada pihak-pihak yang terlibat.

Beliau dalam pada itu turut yakin modus operandi berkenaan mampu menyelesaikan penstrukturan air di negeri itu menerusi peranan kerajaan pusat.

“Kerajaan Selangor menaruh kepercayaan tinggi bahawa penstrukturan air akan diselesaikan menerusi peranan Kerajaan Persekutuan khususnya KeTTHA sebagai pemudahcara seperti yang dipersetujui melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang dimeterai pada 26 Februari lalu,” katanya lagi.

Pada Isnin lepas, Kerajaan Negeri dan agensi Persekutuan termasuk Pejabat Peguam Negara telah mengadakan perbincangan intensif untuk ‘step in’ menggunakan seksyen berkenaan bagi menjayakan penstrukturan semula industri air Selangor.

Putrajaya akan mengambil-alih konsesi yang berdegil secara paksa bagi membolehkan penstrukturan industri air Selangor diteruskan seperti yang dikehendaki kerajaan negeri.

Tiga dari empat konsesi terbabit menolak tawaran terakhir RM9.65 bilion daripada Kerajaan Negeri, pada 10 Mac lalu yang mebantutkan usaha penstrukturan serta pembinaan Loji Rawatan Langat 2 (LRAL2) yang diusahakan Kerajaan Persekutuan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.