Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat perlu nyata pendirian tubuh PSC siasat kehilangan MH370

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendesak Kerajaan Pusat menyatakan pendirian berhubung rancangan menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (PSC) bagi menyiasat kehilangan pesawat MH370.

Hal itu ekoran pengumuman Putrajaya semalam bahawa Kerajaan Pusat akan menubuhkan pasukan penyiasat bebas.

Lim dalam kenyataan media mempersoalkan penubuhan itu oleh Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin dan bertanya sama ada penubuhan kumpulan penyiasatan dan tiga jawatankuasa terbabit akan menghalang serta membantutkan pembentukan PSC.

kit siang parlimen 01Beliau berkata, Hishamuddin memberi jaminan kepada Parlimen untuk mencadangkan penubuhan PSC dan Suruhanjaya Siasatan Diraja sebelum ini.

“Malah, terma rujukan PSC berkenaan MH370 perlu diperluas dan lebih menyeluruh berbanding pasukan siasatan itu. PSC perlu melangkaui isu kelayakan terbang MH370, aspek operasi penerbangan dan psikologi serta patologi 239 penumpang serta anak kapal.

“Ia juga harus melihat seluruh siri peristiwa selepas kehilangan MH370 itu yang menimbulkan 1,001 persoalan, kontroversi, kekeliruan dan teori konspirasi.

“Lebih penting lagi, mesej yang jelas dan terang mesti diberi bahawa Malaysia tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan,” katanya.

Lim berkata, Hishammuddin bercakap berkenaan keperluan mengukuhkan aset ketenteraan negara dan mengkaji semula sektor penerbangan awam.

“Ia akan menjadi tanggungjawab PSC untuk mengkaji semula sama ada krisis MH370 layak menerima bajet tambahan untuk membeli aset tambahan bagi tentera,” katanya.

hishamuddinBaru-baru ini, Hishamuddin memaklumkan satu ‘penyiasat bertanggungjawab’ bebas akan dilantik untuk mengetuai pasukan siasatan.

Katanya, pasukan penyiasatan termasuk tiga kumpulan membabitkan kelayakan terbang, operasi serta faktor perubatan dan manusia.

“Kumpulan kelayakan terbang akan mengkaji isu seperti rekod penyelenggaraan MH370, struktur dan sistem,” kata Hishammuddin.

Hishammuddin berkata, kumpulan faktor perubatan dan manusia akan menyiasat isu seperti faktor psikologi, patologi dan kelangsungan hidup, manakala Putrajaya juga akan menubuhkan tiga jawatankuasa peringkat menteri untuk menyelaras serta mengukuhkan semua usaha yang berterusan untuk mencari MH370.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.