Categories
SELANGOR

Kes Anwar, integriti sistem kehakiman dipertikai

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 APRIL : Sesi perbahasan Dewan Negeri Selangor (DNS) gamat seketika apabila wakil Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) bertikam lidah berhubung integriti sistem kehakiman dan kes fitnah II membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dalam perbahasan menjunjung titah DYM Sultan Selangor hari ini mengkritik ketelusan sistem kehakiman negara terutamanya melibatkan kes Anwar yang didakwa terdapat campur tangan pihak berkepentingan.

dnsSuee Lim mengaitkan BN dengan saman sekumpulan ibu tunggal terhadap kerajaan negeri yang didakwa gagal menunaikan manifesto pilihan raya.

Mahkamah menolak saman itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu.

Kritikan ini mendorong tiga wakil BN, termasuk Ketua Pembangkang yang juga ADUN Sungai Burong, Datuk Shamsuddin Lias bangkit membantahnya.

Turut bangkit mencelah ADUN Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan dan ADUN Dengkil, Shahrum Mohd Sharif.

Mat Nadzari mempersoalkan Suee Lim dan PR kini mengakui ketelusan sistem kehakiman negara berikutan keputusan mahkamah membuang kes saman ibu tunggal tersebut.

Suee Lim menjawab terdapat kes tertentu yang mempunyai campur tangan kerajaan membawa kepada tarikh kes dipercepatkan secara luar biasa seperti kes liwat membabitkan Anwar Ibrahim.

“Kes-kes mahkamah secara amnya telus cuma ada tangan ghaib dalam kes tertentu seperti contoh kes Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Shamsuddin membantah jawapan Suee Lim dan mendakwa kes itu dilewatkan oleh Anwar sendiri yang telah lebih 60 kali memohon tundaan perbicaraan sejak 2009.

“Ini sindrom pembangkang. Bila mahkamah sebelahi mereka, ini baik. Bila tidak, macam-macam mereka kata,” balas Shamsuddin.

Dalam pada itu, Shamsuddin turut memohon penjelasan Suee Lim berhubung Langkah Kajang kerana disifatkan tiada sinkronasi dengan tuntutan pilihan raya.

Secara ringkas, Suee Lim menjelaskan ia merupakan strategi untuk rakyat jalankan tugas mereka sebagai ‘hakim negara’ bagi membidas sistem kehakiman negara sedia ada yang didakwa ada campur tangan serta mematahkan sentimen perkauman.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.