Categories
SELANGOR

Kes denggi meningkat, tetapi trend mingguan menurun

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 14 APRIL : Sebanyak 15,250 kes demam denggi dilaporkan berlaku di Selangor sehingga kini dengan peningkatan sebanyak 625 kes berbanding minggu lalu, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau berkata meskipun jumlah kes yang dicatatkan setakat ini adalah meningkat, namun trend atau kes mingguan menunjukkan angka itu jauh lebih rendah berbanding Oktober tahun lalu.

denggi editKatanya kerajaan negeri akan terus memantau keadaan itu bersama-sama 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dengan menetapkan sasaran kes tidak melebihi 500 setiap minggu.

“Jumlah kes mingguan pada Oktober 2013 adalah sebanyak 1,164 apabila kerajaan negeri mula-mula dimaklumkan mengenai perkara ini.

“Kita giat menjalankan mesyuarat mingguan sejak lima bulan lalu bersama semua wakil Pengarah PBT di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk memberi taklimat berhubung usaha yang dijalankan.

“Jika ia tidak menurun kepada 500 kes seminggu, maka kita akan terus pantau keadaan ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Gerakan Advokasi Denggi di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Teng berkata semua PBT di negeri ini juga sudah diarahkan untuk menggerakkan jentera mereka masuk ke kawasan sekolah bagi memberi taklimat kepada pelajar tentang wabak denggi.

Beliau berkata setakat ini seramai 20,000 orang pelajar sudah diberikan taklimat serta dibekalkan dengan risalah supaya orang ramai sedar tentang implikasi denggi kepada kehidupan seharian.

“Semua PBT diarahkan untuk masuk ke kawasan sekolah bagi memberi taklimat sejak tiga bulan lalu dan saya difahamkan hampir semua PBT sudah mula melakukan perkara itu dan giat mengedarkan risalah.

“Kita mahu gunakan pengaruh anak-anak untuk maklumkan kepada keluarga mereka dengan kaedah persuasif (memujuk) tentang bahayanya wabak ini,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.