Categories
SELANGOR

KSSB berjaya raih keuntungan pendapatan pasir

Oleh: Naeem Raffi

BESTARI JAYA 7 APRIL: Kurang sebulan beroperasi, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berjaya menjana pendapatan hasil pasir bernilai lebih RM40 ribu daripada kerja mengorek kolam takungan di Tapak Projek Hybrid off River Augmentation System (HORAS).

Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Datuk Dr Azimuddin Bahari menganggarkan pengeluaran pasir di tapak projek seluas 235 hektar itu mampu mencecah 200 ribu tan sebulan dan jumlah itu akan ditingkatkan sehingga 500 ribu tan sebulan.

3“KSSB mula tugas sejak hari perasmiannya pada 15 Mac lalu. Hasil kerja keras, KSSB berjaya menjual hasil pasir yang pertama sejumlah lebih 20,000 tan pada 28 Mac lalu.

“Sekurang-kurangnya 80 buah lori dengan muatan 20 tan setiap satunya mengangkut hasil pasir setiap hari di sini,” jelasnya kepada Selangor Kini ketika melawat tapak projek HORAS di Kampung Sungai Darah di sini baru-baru ini.

HORAS adalah gabungan konsep Off River Storage (ORS) dan Horizontal Collector Well yang melibatkan sistem penakungan stormwater dari Sungai Selangor (lebihan air daripada penggunaan loji-loji sedia ada dan air hujan) dan penakungan air bawah tanah.

Ia berperanan besar dalam mengurangkan kebergantungan melampau kepada satu sumber air mentah sekaligus memberi jaminan bekalan air berterusan kepada lebih tujuh juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Azimuddin berkata, KSSB komited melaksanakan kerja mengorek kolam takungan Fasa 1 itu dan yakin ia dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“KSSB dilantik Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) sebagai kontraktor bertanggungjawab mengorek kolam takungan seluas 166 hektar dengan kedalaman kolam 23.5 meter dari paras bumi.

“KSSB berjanji melaksanakannya mengikut spesifikasi dan siap dalam tempoh setahun seperti yang ditetapkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Kos kasar pembinaan HORAS ini termasuk kerja mengorek kolam dianggarkan sebanyak RM405 juta.

Namun kos ini akan ditanggung secara kontra dengan nilai pasir yang dikeluarkan oleh KSSB dengan dianggarkan sebanyak RM100 juta.

HORAS merupakan satu daripada tiga tugas utama yang perlu dilaksanakan Kerajaan Negeri sementara menanti siapnya Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2).

Projek pertama ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2015.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.