Categories
SELANGOR

MB beri penghormatan terakhir mendiang Karpal Singh

Oleh: Mohd Ezli Mashut

GEORGETOWN 18 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan penghormatan terakhir kepada Bekas Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Jelutong, Karpal Singh hari ini.

Abdul Khalid berkata beliau menyifatkan mendiang Karpal adalah seorang yang berprinsip dalam menegakkan keadilan di negara ini.

MB Karpal“Kita kehilangan individu bagus yang menyatakan undang-undang adalah panduan untuk negara bagi mencapai keadilan dan saksama.

“Karpal adalah contoh insan yang melaksanakan prinsip undang-undang,” kata Abdul Khalid ketika ditemui media di rumah mendiang di 144A, Jalan Utama di sini.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Karpal Singh di atas tragedi yang menimpa.

Yunus menyifatkan mendiang Karpal adalah seorang ahli politik senior yang sangat dihormati oleh kawan dan lawan, seorang pengamal undang-undang yang bijaksana dan hebat berhujah serta seorang kawan yang berprinsip.

“Walaupun saya tidak mengenali mendiang secara rapat tetapi sebagai salah seorang pimpinan Pakatan Rakyat, Saya cukup yakin dan percaya bahawa mendiang pastinya seorang yang mudah untuk berkonsensus dengan sebarang penghujahan berfakta dan maklumat yang benar.

“Sudah pasti sekiranya mendiang adalah sebagaimana yang difitnahkan sebagai orang yang membenci Islam dan hukum Islam mana mungkin kemesraan di antara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) dapat dikekalkan sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Karpal yang juga peguam tersohor negara maut dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gua Tempurung, Gopeng awal pagi semalam.

Karpal, 74, maut di tempat kejadian dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu yang turut meragut nyawa pembantu beliau, Michael Cornelius, 39 tahun.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.