Categories
BERITA UTAMA

Karpal Singh Legasi Harimau Jelutong

Oleh: Dr Mujahid Yusof Rawa

Pepatah yang menyatakan bahawa “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama” ada pada Karpal Singh. Pertama, secara majazinya ‘Harimau Jelutong’ itu telah meninggalkan belang, kedua secara hakikinya mendiang meninggalkan nama yang besar sebagai ahli politik yang disegani kawan dan lawan.

Jarang seseorang dapat memenuhi perumpamaan ini secara majazi dan hakiki dalam menggambarkan ketokohan seseorang individu yang meninggalkan kita.

Singh is King

karpalUngkapan ini pernah dipakai oleh Karpal sesuai dengan ugutan yang diterimanya daripada Pemuda Umno. Saya ada di dalam Parlimen semasa mendiang mempertikaikan tindakan beberapa Pemuda Umno yang cuba menghalangnya di Parlimen.

Antara ungkapan lain yang disebut oleh Karpal dalam suasana yang tegang dalam Parlimen semasa itu ialah, “Ini Pemuda Umno celaka!” lalu Yang DiPertua Dewan Rakyat mencelah supaya ditarik balik kata-katanya itu tetapi Karpal enggan.

Setelah didesak beberapa kali Karpal setuju dengan berkata, “Saya tarik balik, tetapi ini Pemuda Umno memang celaka”. Saat itu heboh dewan dengan ketawa daripada anggota dewan.

Karpal memang terkenal dengan perkataan berbisanya seperti “jangan main-main…” apabila beliau ingin mendesak sesuatu tindakan diambil segera.

Dialek Indianya dalam berbahasa Melayu seringkali mencuit hati anggota dewan tetapi isi ucapannya senantiasa mendapat perhatian pihak BN kerana sengatannya yang berbisa kepada Ahli Parlimen BN.

Dewan pastinya akan sunyi selepas ini tanpa SINGH IS KING.

Saya dan DAP

Saya mula mengenali DAP semasa di bangku sekolah menengah lagi melalui poster-poster pilihan raya apabila berlangsung pilihan raya umum. Sebagai anak Pulau Pinang yang membesar di Georgetown lambang DAP tidak menjadi sesuatu yang menakutkan saya walaupun tanggapan saya terhadap DAP semasa di bangku sekolah adalah stereotype sama macam budak Melayu sezaman dengan saya.

Sebagai seorang yang membesar dalam rumah pemimpin PAS, saya sukar menerima pandangan Umno apatah lagi media menyerang PAS setiap hari tetapi saya juga tidak melihat DAP mempertahankan PAS pada masa itu.

Saya boleh rumuskan semasa di bangku sekolah saya melihat DAP dari kacamata PAS yang melihat DAP tidak banyak membantu malah sikap ‘anti Melayu DAP’ begitu mencengkam dalam benak anak muda Melayu pada zaman saya.

Namun zaman berlalu, saki-baki tanggapan kepada DAP semakin terhakis dengan kematangan berfikir generasi hari ini dan terpulang kepada sejauhmana DAP mampu membuktikan sebaliknya.

Saya yakin kemunculan politik baru Malaysia yang menolak sikap perkauman akan memudahkan lagi orang mengenali DAP.

Karpal dan Saya

Jujurnya saya terlalu kerdil secara relatifnya berbanding dengan ketokohan Karpal dalam dunia politik dan perundangan Malaysia. Bermula dari tahun 1974 Karpal memulakan karier politiknya sebagai ADUN di Kedah, saya baru di tahun 4 sekolah rendah.

Nama Karpal hanya saya kenali semasa di sekolah menengah lewat persepsi saya terhadap DAP. Semasa Kelantan memperkenalkan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah, Karpal antara tokoh yang lantang menentang.

Saya mula berminat untuk mengenali tokoh ini pada tahun 90an dan cuba mencari objektifiti mengapa beliau menentang undang-undang hudud ini. Dari sini saya mula mengenali pemikiran perundangan beliau yang merupakan pengikut tegar kerangka Malaysia sebagai negara sekular.

Pertama Kali Bertemu

Pada tahun 2005 saya telah kembali ke negeri asal saya iaitu Pulau Pinang. Pertama kali saya menemui beliau ialah kunjungan semasa beliau di hospital setelah mengalami musibah. Walaupun saya tak sempat berbicara dengannya kerana keadaaannya tetapi saya sempat mengucapkan kata-kata semangat kepada isteri beliau bagi mewakili PAS Pusat.

Seterusnya pertemuan saya ialah di bangunan Parlimen setelah dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, kini saya bersama MP yang lain sebaris dengan MP lama termasuklah Karpal.

Heboh dewan hari pertama mengangkat sumpah apabila MP Kinabatangan mempertikaikan bagaimana Karpal boleh mengangkat sumpah tanpa mengangkat tangannya sedangkan wakil Kinabatangan mengetahui bahawa Karpal mengalami masalah mengangkat tangan.

Berlaku kekecohan dan itu pertama kali kami ditunjukkan bagaimana berbalas-balas kata boleh berlaku di Parlimen Malaysia.

Seterusnya pertemuan saya dengan beliau adalah sebagai ahli Parlimen muda yang cuba mempelajari selok belok berbahas dalam Parlimen dan saya mendapati perbahasan beliau banyak berligar di sekitar perundangan dan kehakiman serta pendedahan beliau kepada salahlaku kehakiman yang boleh menjejaskan kredibiliti mahkamah di Malaysia.

Ucapan Karpal

Saya juga mengikuti setiap ucapan politik beliau yang sempat saya dengar. Antaranya ialah ketika saya di Melaka semasa hubungan PAS dengan DAP berasaskan kepada perjanjian Barisan Alternatif pada hujung 90-an.

Ucapannya selamba tetapi sarat dengan kritikan pedihnya kepada sistem perundangan negara khusus pada kemuncak kes Anwar Ibrahim ketika itu. Kemudian saya mendengar ucapannya yang lebih serius pada majlis makan malam kemenangan DAP di Pulau Pinang.

Di atas kerusi roda, beliau bersemangat menceritakan intipati perjuangan DAP dan komitmennya pada suasana demokratik dan sekular yang menjadi asas pembentukan negara ini, ucapannya serius dengan kata susun atur kalimatnya dikeluarkan satu-satu disambut tepukan gemuruh hadirin yang masih dalam mood kegembiraan dengan kejayaan PR diterajui DAP menawan Pulau Pinang.

“Saya Tidak Menentang Islam”

Di sebalik tekanan tentang sikap Karpal yang dikatakan anti-hudud dan anti-Negara Islam serta kenyataan kontraversinya “langkah mayat saya dahulu…”, Karpal beberapa kali menyatakan bahawa dia tidak pernah menentang Islam.

Saya sendiri ada dalam Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 di Kepala Batas ketika Karpal di hadapan pemimpin PAS dan PKR dan para peserta konvensyen menyatakan bahawa beliau menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan beliau tidak pernah menentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Karpal juga pernah menyatakan dalam satu temuramah bahawa, “Im not opposed to Islam at all, I’m a god fearing man”.

Sikap Karpal yang sering dituduh sebagai anti-Islam kerana keengganan menerima Negara Islam dan hudud menjadikan beliau sebagai sasaran utama kelompok Melayu dari kedua belah pihak UMNO dan PAS atas apa juga perbezaan politik mereka.

Persoalannya ialah, mengapakah Karpal bertindak demikian?

Logik Karpal Tentang Hudud

Karpal adalah ahli undang-undang, hujah beliau tidak sangat menjurus kepada ideologi menentang penghayatan keagamaan, beliau lebih berminat kepada ideologi perundangan.

Hakikat ini ditegaskan dalam salah satu kenyataannya apabila ditanya mengapa beliau tidak boleh menerima konsep Negara Islam dan hudud. Beliau menjawab, “My opposition to Islamic State and hudud is to preserve and defend the constitution..”.

Memahami logik Karpal dalam hal ini ialah memahami Karpal sebagai orang perundangan dan bukan sebagai seorang yang anti-agama dan mendekati ketegasan beliau dalam hal ini juga ialah dengan menggunakan logik perundangan dan bukan sentimen dan emosi agama.

Bagi saya tidak mudah untuk kita menuduh seseorang sebagai anti-agama Islam hanya kerana asas penolakan Negara Islam dan hudud atas asas perundangan.

Ini adalah kerana bagi saya anti-agama adalah terdorong atas kebencian dan permusuhan kepada apa sahaja makna keagamaan termasuk menolak Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Kalau begitulah logiknya maka kewujudan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menghalang perlaksanaan hudud di peringkat negeri bolehkah dikatakan sebagai anti-agama Islam?

Adakah Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang memerintah dengan PM nya sebagai seorang Islam sekarang juga anti agama kerana membiarkan sekatan ini berlarutan?

Bagaimana pula seorang Islam yang menolak Negara Islam dan hudud atas alasan ekonomi akan mundur dan pelabur asing akan lari malah ada yang menyatakan ianya tidak relevan lagi dalam dunia hari ini?

Saya bukan mempertahankan Karpal dan sikapnya, saya cuma mahu memberi keadilan kepada isu Negara Islam dan hudud yang tidak pernah diberi gambarannya yang jelas kerana terlalu ramai yang ada kepentingan dalam hal ini sehingga ia lebih selesa ditanggap sebagai isu politik daripada isu substantif.

Logik Balas

Logik perundangan juga menuntut kita untuk menjawab persoalan apakah Malaysia sebuah negara sekular atau setengah sekular sedangkan Islam mendapat tempat yang teratas walaupun agama lain bebas diamalkan dengan sekatan tidak boleh disebarkan.

Bagaimana pula halnya senarai negeri-negeri yang antara lainnya memperuntukkan enakmen undang-undang Islam boleh digubal?

Apakah tidak undang-undang Jenayah Syariah II di Kelantan dibuat secara perundangan? Jikalau ia dianggap ultravirus dengan Akta Mahkamah 1965 siapakah yang bertanggungjawab untuk menyemak semula peruntukan?

PAS pernah membawa bil persendirian di Parlimen melalui Presidennya Datuk Seri Hj Hadi Awang untuk isu murtad tetapi tidak pernah diterima untuk dibahaskan.

Logik perundangan inilah yang harus dijadikan landasan meyakinkan para penggubal undang-undang bahawa akhirnya isu sensitif seperti ini perlu mendapat mandat dan proses politiknya perlu mendapat kefahaman rakyat secara substantif.

Sensitiviti isu-isu agama jika hendak diperundangkan termasuklah hudud pasti akan mendapat pelbagai reaksi aliran pemikiran politik namun Rashid Al Ghanushi pernah memberikan kerangka bagaimana isu ini perlu digarapkan dengan berkata,

“No one has the right to claim he represent the religion, neither An Nahda or anyone else. Society through its dynamic is the one to formulate and translate religion into policies, laws and culture….the dynamic continues untill there is concensus about the opinion of religion on the issue..”.

(Tidak ada sesiapa yang berhak mendakwa bahawa dialah yang mewakili agama, walaupun parti An Nahda atau sesiapa yang lain. Masyarakat melalui dinamikanya yang akan membentuk dan menterjemahkan agama kepada dasar, undang-undang dan budaya…dinamika ini berlangsungan sehinggalah adanya satu konsensus tentang sikap agama kepada isu tersebut).

Saya amat bersetuju dengan kerangka pemikiran yang demokratik digarap oleh pemimpin An Nahdah tersebut kerana dengan kerangka ini jugalah kita harus berhujah dengan logik Karpal yang saya tahu diyakini ramai oleh rakan-rakan dalam DAP apabila isu hudud menjadi perbualan hangat sekali lagi mutakhir ini.

Karpal dan PAS

Pemimpin PAS yang sering dikaitkan bertembung dengan Karpal ialah Dato’Setia Bentara Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mantan Menteri Besar Kelantan.

Pertembungan mereka ialah kerana konsistennya Mursyidul Am PAS itu mahu menjalankan enakmen Jenayah Syariah yang telah mendapat mandat persetujuannya oleh Sultan Kelantan tetapi terhalang kerana Akta Mahkamah Syariah (1965).

Begitulah juga konsistennya Karpal menentang hasrat ini atas hujah yang dinyatakan di atas tadi.

Namun demikian seluruh negara telah menyaksikan satu pertemuan bersejarah yang penuh mesra antara kedua-kedua pemimpin hebat ini di rumah Karpal apabila Mursyidul Am PAS itu menziarahi Karpal di Pulau Pinang sambil menerima kek harijadinya daripada Karpal pada 27 Jan 2013.

Kedua-duanya bertemu mesra walaupun mereka mempunyai dua pandangan yang bertentangan antara satu sama lain. Sikap keterbukaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz lambang komitmen PAS kepada menghormati hak untuk tidak bersetuju walaupun berada dalam satu kolusi politik.

Karpal pula sentiasa bertanggapan positif kepada PAS dari kata-katanya sendiri boleh membuktikan sikapnya, bahawa,

“We may have our differences with PAS but it is a solid principled party and an important ally”.

(Kita mungkin ada beberapa perbezaan pandangan dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berperinsip dan rakan yang penting).

Selamat Tinggal Selamanya

Speaker Dewan Rakyat adalah orang yang akan terasa pemergian Karpal kerana suaranya tidak akan kedengaran lagi mengetuk mikrofon meminta ‘point of order’ dibacakan khususnya mempertikai ‘rulling’ yang dibuat oleh Tuan Speaker.

Ketajamannya menimbulkan hujah perundangan dalam akta yang dibahaskan dan kritikannya kepada kehakiman di negara ini sentiasa berbisa dan pedas namun ianya bernas.

Kami MP muda akan hilang seorang senior MP yang membuatkan kawan dan lawan ketawa dan marah ketika beliau berbahas.

Para hakim akan kehilangan peguam yang senantiasa menguji kewibawaan mereka pada tahap maksimanya.

Ahli DAP akan kehilangan suara semangat yang pernah mengatakan dalam suasana kekalahan DAP di Pulau Pinang satu ketika dahulu “berhati-hati pada harimau yang tercedera kerana ia lebih merbahaya…”

Masyarakat sivil yang pernah mengenali Karpal tidak akan lupa kata-katanya bahawa, “It is important for every citizens in this country to know that no one is above the law” dan kerana meyakini prinsip moral perundangan ini beliau berhadapan dengan masalah daripada pihak istana.

Bagi seseorang yang tegas dalam dunia politik dan perundangan, Malaysia turut terasa perginya seorang anak Malaysia mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan jujur.

Soal salah atau betul beliau mempertahankannya bukan isu, tetapi itulah caranya beliau melahirkan kasihnya pada negara yang tercinta ini.

Sepi seketika hiruk pikuk suara yang menghentam Harimau Jelutong ini pada awal pagi berita kematiannya secara tragis di maklumkan seluruh negara.

Harimau tidak mengaum lagi tetapi belangnya meninggalkan bekas seperti namanya. Kata-kata mendiang akan senantiasa teriang di telinga kawan dan lawannya,

“You knock out one Karpal Singh, hundred Karpal will rise”.

Selamat Tinggal Komrade Karpal!

* Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Ahli Parlimen Parit Buntar

Categories
NASIONAL

Guan Eng: Contohi Karpal perjuangkan keadilan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 APR : Ketokohan mantan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam memperjuangkan keadilan dan menegakkan kedaulatan undang-undang demi kemakmuran negara terutamanya di Pulau Pinang seharusnya menjadi contoh dan ikutan buat semua masyarakat.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kesungguhan Karpal dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang di negeri itu berjaya meraih keyakinan pelabur asing, apabila Pulau Pinang berjaya mencatat pelaburan asing tertinggi di Malaysia dari tahun 2010 hingga Ogos 2013.

“Mari kita tunjukkan keberanian sama seperti Karpal yang bukan sahaja melakukan perkara yang betul tetapi melakukannya dengan betul.

karpal“Sama ada muda atau tua, adalah sebaik-baiknya kita mengingati Karpal dengan bergerak ke hadapan untuk memastikan bahawa tidak ada yang dapat mencuri masa depan anak-anak kita,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada 3,000 penunggang motosikal yang datang atas kemahuan sendiri untuk mengiringi jenazah Karpal ke krematorium di Batu Gantong.

Beliau berkata konvoi motosikal yang kebanyakannya terdiri daripada kelas pekerja itu adalah sesuatu yang sangat bermakna buat mendiang Karpal sebagai tanda kasih sayang kepada pemimpin veteran DAP yang juga dikenali sebagai ‘Harimau Jelutong’.

“Pengebumian mendiang oleh kerajaan Pulau Pinang mungkin paling besar dalam sejarah di negeri ini.

“Kami ingin meminta maaf kepada semua yang datang dari jauh dan dekat tetapi tidak mempunyai peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di Dewan Sri Pinang.

“Kami berharap orang ramai boleh memaafkan serta melupakan apa-apa kelemahan dalam pengebumian awam yang dilakukan ini,” katanya lagi.

Karpal, 73, maut dalam satu kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi Khamis.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya, Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.

Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila kenderaan jenis Toyota Alphard yang dinaikinya melanggar sebuah lori yang cuba menukar laluan tanpa memberi isyarat.

EZY

Karpal Singh: Khalid beri penghormatan terakhir

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan penghormatan terakhir kepada Bekas Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Jelutong, Karpal Singh hari ini.

Abdul Khalid berkata beliau menyifatkan mendiang Karpal adalah seorang yang berprinsip dalam menegakkan keadilan di negara ini.

Categories
SELANGOR

MB beri penghormatan terakhir mendiang Karpal Singh

Oleh: Mohd Ezli Mashut

GEORGETOWN 18 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberikan penghormatan terakhir kepada Bekas Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Jelutong, Karpal Singh hari ini.

Abdul Khalid berkata beliau menyifatkan mendiang Karpal adalah seorang yang berprinsip dalam menegakkan keadilan di negara ini.

MB Karpal“Kita kehilangan individu bagus yang menyatakan undang-undang adalah panduan untuk negara bagi mencapai keadilan dan saksama.

“Karpal adalah contoh insan yang melaksanakan prinsip undang-undang,” kata Abdul Khalid ketika ditemui media di rumah mendiang di 144A, Jalan Utama di sini.

Sementara itu, Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang Karpal Singh di atas tragedi yang menimpa.

Yunus menyifatkan mendiang Karpal adalah seorang ahli politik senior yang sangat dihormati oleh kawan dan lawan, seorang pengamal undang-undang yang bijaksana dan hebat berhujah serta seorang kawan yang berprinsip.

“Walaupun saya tidak mengenali mendiang secara rapat tetapi sebagai salah seorang pimpinan Pakatan Rakyat, Saya cukup yakin dan percaya bahawa mendiang pastinya seorang yang mudah untuk berkonsensus dengan sebarang penghujahan berfakta dan maklumat yang benar.

“Sudah pasti sekiranya mendiang adalah sebagaimana yang difitnahkan sebagai orang yang membenci Islam dan hukum Islam mana mungkin kemesraan di antara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat (PAS, DAP dan PKR) dapat dikekalkan sehingga ke hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Karpal yang juga peguam tersohor negara maut dalam satu kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gua Tempurung, Gopeng awal pagi semalam.

Karpal, 74, maut di tempat kejadian dalam nahas yang berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu yang turut meragut nyawa pembantu beliau, Michael Cornelius, 39 tahun.

EZY

Categories
NASIONAL

Suhaizan: Langkah mayat, SMS fitnah cemar nama baik Pakatan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APRIL: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat menafikan bahawa beliau menghantar arahan dan menyebarkan mesej untuk satu upacara melangkah mayat mendiang, Karpal Singh.

Katanya, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan sistem pesanan ringkas (SMS) dan Whatsapp kononnya tindakan itu adalah arahan beliau.

“Mesej ini berniat jahat dan cuba mencemar nama baik saya dan Pemuda PAS Malaysia,” katanya melalui laman facebook.

Suhaizan-KaiatMesej yang disebar luas berkenaan menggesa seluruh masyarakat untuk datang ke Hospital Ipoh, pada jam 1 tengah hari bagi melangkah mayat mendiang Ahli Parlimen Bukit Jelutong itu.

Berikut adalah mesej yang disebarkan kepada masyarakat umum dengan menggunakan nama Suhaizan Kayan:

“Satu upacara melangkah mayat Karpal Singh akan diadakan di rumah mayat Hospital Ipoh jam 1 tengah hari ini, upacara akan diketuai oleh saya sendiri, kepada mana-mana Pemuda Pas, dan juga ahli-ahli Pas yang berkelapangan dijemput hadir, Pihak media juga dijemput hadir untuk membuat liputan,”.

Suhaizan berkata, beliau dan beberapa orang rombangannya baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah dan kini berada di United Kingdom bagi menghadiri perjumpaan bersama Menteri Hal Ehwal Luar dan Pembangunan Antarabangsa, Humza Yousaf.

“Saya baru balik daripada umrah dan kini di United Kingdom, bagaimana mungkin saya ingin langkah mayatnya,” katanya.

Semalam, Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Nasaie Ismail membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam berhubung SMS jahat yang disebar atas nama Ketua Pemuda PAS Malaysia itu berhubung kematian Karpal.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pemimpin Umno, Perkasa patut mohon maaf hina jenazah Karpal Singh

SHAH ALAM, 18 APRIL: Tindakan dua pemimpin UMNO-BN dan Perkasa yang menghina jenazah Ahli Parlimen Jelutong, Karpal Singh tidak patut berlaku dan amat memalukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han, berkata tindakan dua individu yang tidak bertanggungjawab itu adalah satu kejahilan yang tidak boleh dimaafkan.

“Sebagai pemimpin beragama Islam, dua individu ini harus menunjukkan nilai baik Islam yang menghormati permergian seseorang dan bukan membuat kenyataan yang akan mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

ng sze hanBeliau mendesak dua individu itu memohon maaf atas tindakan berkenaan

“Saya juga mendesak UMNO dan Perkasa untuk memberi penjelasan atas tindakan dua individu itu,” katanya.

Sze Han berkata, pemergian Karpal bukan menandakan penamat, tetapi semangat perjuangan beliau akan teruskan.

“Saya berharap keluarga Karpal akan tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan mendiang Karpal adalah tokoh yang gigih memperjuangkan keadilan.

Karpal maut dalam kemalangan dekat Tapah, kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Pembantunya, Michael Cornandez turut meninggal dunia apabila kereta yang mereka naiki melanggar sebuah lori dalam perjalanan menuju utara di Lebuh Raya Utara Selatan.

Anaknya, Ram Karpal dan pemandu kereta pula dilapor cedera dalam kemalangan yang berlaku berhampiran kilometer 301.6 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS).

-NFN-

JURNAL BERITA: Karpal Singh, pembantu terbunuh

1. Kerajaan negeri beri tempoh hingga 21 April cari tapak baru buang sampah

2. MB: ‘Saya tidak campur urusan editorial Selangor Kini’

3. Karpal Singh, pembantu terbunuh dalam kemalangan, MB ucap takziah

4. Rampasan Bible dilaksana mengikut undang-undang, tidak ada agenda lain

5. ADUN perlu pantau kawasan, elak pembangunan di tempat tidak sepatutnya

6. BN berlagak hero, halang usaha Kerajaan Negeri bantu rakyat miskin

7. Selangor belanja RM1.93 juta biaya Program Kesihatan Rakyat Miskin

8. Catuan air dijangka hingga hujung April

9. Kawasan lapang, tanah rizab pangsapuri kos rendah jadi tempat letak kereta

10. Kerajaan perlu semak semula waran peruntukan kepada JKR

11. Shamsuddin tolak, Wan Azizah dilantik dalam PAC Selangor

12. DNS terima kunjungan delegasi Kenya, tingkat jaringan kerjasama

13. ADUN Johor cadangkan Johor teladani amalan demokratik Selangor

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Pakatan Rakyat hilang tokoh penyatu

Oleh: TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM

Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang YB Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan awal pagi tadi.

Mendiang merupakan tokoh politik yang amat disegani kawan dan digeruni lawan telah menyumbang banyak jasa terutama kepada penyatuan Pakatan Rakyat.

Kredibiliti dan integriti beliau berpolitik berlandaskan prinsip Perlembagaan Malaysia menjadi sumber inspirasi kepada ahli politik generasi baharu untuk memperjuangkan keadilan untuk semua rakyat Malaysia.

Sesungguhnya jasa-jasa beliau telah menyuburkan prinsip demokrasi negara ini dan amat sukar mencari penganti seperti beliau yang komited terhadap tanggungjawab yang diamanahkan.

Jasa dan sumbangan YB Karpal Singh sebagai pejuang hak asasi dan ahli politik yang banyak mewarnai dunia politik negara ini dengan pelbagai isu akan dikenang seluruh rakyat Malaysia.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKR rakam ucapan takziah untuk keluarga Karpal Singh

Oleh: FAHMI FADZIL

Parti Keadilan Rakyat (PKR) merakamkan ucapan takziah buat keluarga YB Karpal Singh, Ahli Parlimen Bukit Gelugur dan mantan Pengerusi Kebangsaan DAP yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya jam 1.30 pagi tadi. Turut terkorban dalam kemalangan tersebut adalah pembantu beliau, Michael.

PKR turut memanjangkan ucapan takziah kepada rakan-rakan seperjuangan dalam DAP yang kehilangan seorang pemimpin yang cukup hebat, disayangi kawan dan disegani lawan.

Semoga jasa YB Karpal sebagai pejuang hak asasi, peguam yang sentiasa mempertahankan Perlembagaan, dan pemimpin yang berprinsip dan berintegriti sentiasa menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk terus melakukan perubahan demi Malaysia yang lebih baik dan lebih adil untuk semua.

#Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi PKR

Categories
NASIONAL

Anwar sifatkan Karpal gigih perjuang keadilan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan mendiang Karpal Singh adalah tokoh yang gigih memperjuangkan keadilan.

“Kami kehilangan sahabat dan pejuang gigih keadilan, Karpal Singh. Kami berbicara panjang melalui telefon jam 6.30 petang semalam.
Karpal Singh adalah legenda!

anwar“Takziah ikhlas kami kepada keluarga. Berehatlah dengan aman (RIP),” kata Anwar di laman Facebook dan twitter miliknya.

Sementara itu, Memetik Keadilan Daily, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata, negara kehilangan seorang pejuang rakyat.

“Kepada waris dan keluarga mendiang Karpal Singh yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi. Seorang yang kita
kenali sebagai pejuang keadilan yang meletakkan dirinya sepenuhnya membela rakyat.

“Moga keluarga tabah dan sabar dengan dugaan. Malaysia kehilangan seorang lagi pejuang rakyat,” katanya di laman facebook.

Categories
NASIONAL

Warga Internet: Peguam muda perlu belajar etika guaman Karpal

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 17 APRIL: Laman sosial Facebook dan Twitter dipenuhi dengan ucapan takziah atas kehilangan tokoh politik dan perundangan terkenal negara, Karpal Singh yang maut akibat kemalangan dekat Tapah, kira-kira jam 1 pagi tadi.

Kebanyakan pemilik akaun Facebook dan Twitter terutama peguam menyifatkan mendiang Karpal seorang yang sangat berdedikasi dan merendah diri serta sering membantu peguam muda, selain gaya berhujah tersendiri.

Laman Facebook milik Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Fadhlina Sidek memperlihatkan beliau membesar dengan kisah ketokohan mendiang Karpal dalam bidang politik dan perundangan.

kak fadh Fadhlina yang juga seorang peguam berkata, melihat mendiang Karpal di mahkamah adalah saat paling manis dalam hidup beliau, terutama suara, tonasi, gaya, hujah dan pembelaannya.

“Ketika berusia 13 tahun, saya memberitahu seluruh kelas bahawa ingin menjadi seperti beliau (Karpal) hingga membuatkan mereka tertanya siapakah dia?

“Innalillahi wainnailayhi rajiun. Harimau Jelutong, bersemadilah dengan tenang,” katanya.

Sementara itu, Peguam, Azizah Aling, menyifatkan mendiang Karpal sangat senior dan kaya pengalaman serta merendah diri saat berurusan dengan peguam muda, selaku petugas mahkamah.

Katanya melalui laman Facebook, beliau sempat bertemu mendiang Karpal untuk satu kes prosiding pengkomitan di hadapan panel, di Mahkamah Rayuan, semalam.

kak jijah“Semalam, sehingga jam 2.30 petang, beliau ada di Mahkamah Rayuan. Sewaktu beliau tiba, bilik bicara sudah penuh dan tiada satu kerusi kosong untuk menempatkan beliau, bahkan kerusi rodanya juga sukar untuk ditolak ke hadapan.

“Saya menghampiri, lalu memaklumkan kepada beliau dan pembantunya yang setia bahawa ada tiga permohonan singkat akan didengar. Dalam tempoh 30 minit, Insya Allah semua itu boleh selesai dan beliau boleh mengambil tempat di hadapan. Dia mengangguk dan tersenyum, lalu berterima kasih.

Azizah menyifatkan, mendiang Karpal seorang yang mudah tersenyum sejak beliau mengenali tokoh itu ketika berkhidmat di Pulau Pinang dan sifat sama turut diwarisi dua anaknya yang terjun dalam bidang perundangan iaitu Gobind Singh Deo dan Ram Karpal.

“Etika kepeguaman itu sudah menjadi darah daging saya kira. Peguam muda yang masih setahun jagung dan hijau seperti kami semua patut belajar akan etika itu.

twit1Bagi pemilik akaun Twitter, Shahrizal Man Harun, mendiang Karpal adalah legenda yang pasti akan dirindui ramai kerana ketokohannya dalam politik dan perundangan.

“Salam takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangannya. Karpal adalah bukti sebenar ‘tokoh pembangkang’, bersemadilah dengan tenang di sana,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Mongolia rancang ke Malaysia ikuti prosiding kes Altantuya

3d32cc3cb3dad58e4bdc2da97ca4055c_XLSHAH ALAM 6 NOV : Setev Shaariibuu, bapa Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh secara kejam dan kerajaan Mongolia ingin tahu apa yang berlaku terhadap rayuan yang mereka bawa kepada Kerajaan Malaysia berikutan pembebasan dua bekas polis yang membunuhnya pada 2006.

Ini berikutan tiada apa-apa perkembangan dan khabar berita daripada Pejabat Peguam Negara selepas lebih dua bulan pembebasan Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Peguam, Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi Shaariibuu berkata, anak guamnya sentiasa berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan rayuan itu.

“Dua minggu lalu, duta Mongolia di Bangkok, yang juga bertanggungjawab terhadap Malaysia, menulis kepada saya untuk bertanya tentang kes ini,” katanya, dipetik The Malaysian Insider.

Beliau berkata, Kerajaan Mongolia berhasrat untuk menghantar delegasi untuk mengikuti prosiding di Mahkamah Persekutuan yang menjadi medan akhir bagi kes rayuan berkenaan.

“Kes ini bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan, tetapi juga diikuti oleh orang luar di negara lain termasuk di Mongolia,” katanya.

Karpal berkata, rayuan bagi kes pembunuhan berprofil tinggi ini boleh berjalan dengan lebih cepat sekiranya Mahkamah Persekutuan mengambil inisiatif untuk menetapkan tarikh pendengaran.

“Mahkamah Persekutuan boleh membuat pengecualian kepada kes ini yang melibatkan kepentingan orang ramai, bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Karpal membandingkan dengan kes Fitnah II Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh rayuan dengan segera.

Beliau berkata, Putrajaya dikatakan sengaja melengah-lengahkan rayuan terhadap pembebasan Azilah dan Sirul.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada 23 Ogos, hari yang sama rayuan polis itu dibenarkan.
Penghakiman bertulis disediakan pada 26 Ogos.

Satu panel yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Apandi Ali berkata, dalam penghakiman mereka, antara lain kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil DSP Musa Safri, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Najib Razak, melemahkan kes pendakwaan.

Karpal berkata, Pejabat Peguam Negara seharusnya memfailkan petisyen rayuan dan menyatakan sebab mengapa Mahkamah Rayuan bersalah apabila ia membebaskan dua anggota polis berdasarkan penilaian bertulis semata-mata.

“Mereka boleh mempercepatkan proses rayuan kepada Mahkamah Persekutuan walaupun tanpa mempunyai rekod keseluruhan rayuan,” katanya.

Beliau berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang juga adalah pegawai mahkamah, mempunyai peranan dalam memastikan perbicaraan dan rayuan dijalankan tanpa bertangguh.

Pemeriksaan dengan peguam yang hadir bagi kedua-dua bekas anggota polis itu mendedahkan bahawa Pejabat Peguam Negara masih belum memfailkan rekod rayuan kerana tiada salinan diberikan kepada peguam itu.

Kedua-dua polis itu didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2006.

Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang didakwa sebagai kekasih kepada Altantuya, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dari dakwaan bersubahat tanpa dipanggil untuk membela diri.

Bapa Altantuya, Setev juga mahu kes ini diselesaikan dengan segera kerana ingin mengambil tindakan saman sebanyak RM100 juta terhadap Abdul Razak, Azilah, Sirul dan kerajaan atas kematian anaknya.

Bagaimanapun, samannya itu tidak boleh didengar selagi kes jenayah berkenaan tidak selesai.

-Keadilan Daily