Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Kabinet setuju kuatkuasa Seksyen 114 WSIA 2006

Kerajaan Selangor dimaklumkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili melalui surat bertarikh 4 April lalu bahawa Kabinet telah bersetuju untuk menguatkuasa Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA 2006) bagi memastikan bekalan air yang berterusan kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kerajaan Persekutuan melalui surat itu juga memohon supaya Kerajaaan Negeri mempercepatkan kelulusan yang masih tertangguh bagi projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) dan projek-projek mitigasi .

Saya juga dalam mesyuarat ringkas bersama Menteri pada 4 April lalu telah diberitahu bahawa proses untuk mewartakan Seksyen 114 telah dilakukan.

Saya juga telah dibekalkan satu deraf perjanjian antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 26 Februari lalu bagi menyelesaikan penstrukturan semula air.

Kerajaan Negeri akan meneliti secara terperinci deraf perjanjian itu sebelum bersetuju untuk menandatanganinya dan meletakkan kepentingan rakyat serta negeri sebagai keutamaan.

Kerajaan Negeri yakin bahawa kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan ini akan memastikan penstrukturan semula industri air berjaya.

Pada masa yang sama, kami amat berharap rakyat terus bersabar dan berjimat cermat menggunakan air sementara menanti perkhidmatan air dipertingkatkan.
YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.