Categories
SELANGOR

MB: KDEB dijangka bayar balik pinjaman RM413.2 juta sebelum Okt

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 11 APRIL : Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dijangka akan membayar balik pinjaman sepenuhnya sebanyak RM413.2 juta berserta faedah sebelum Oktober tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setakat ini, saham yang diambil alih daripada Kumpalan Hartanah Selangor Bhd (KHSB), 97 peratus sudah diselesaikan.

KDEB 01Sebelum ini, KDEB membuat tawaran pada 14 Februari 2013 untuk mengambil alih 254.6 juta atau 56.57 peratus saham Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) bernilai RM193.46 juta pada harga 76 sen sesaham.

“KDEB sudah lakukan persiapan, sudah hampir 97 peratus selesai pengambilalihan saham, pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri akan dibayar sepenuhnya bersama faedah sebelum Oktober 2014,” katanya yang menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama).

Abdul Khalid sebelum ini, menjelaskan tujuan KDEB mengambil alih 100 peratus kepentingan KHSB kerana pengurusan KDEB berpendapat aset kumpulan berkenaan tidak diurus dengan baik dan operasinya perlu disusun semula.

Beliau berkata, jumlah pinjaman RM413.2 juta itu mengambil kira aset milik KHSB seluas 2,800 hektar bernilai RM6 bilion melebihi pinjaman RM413.2 juta, selain nilai saham.

Abdul Khalid berkata, kemudahan pinjaman itu sebagai jaminan kepada KDEB untuk mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

Katanya, kelulusan permohonan pinjaman KDEB diluluskan kerajaan negeri selepas pilihan raya dan keputusan menandatangani perjanjian itu dibuat oleh Lembaga Pengarah KDEB serta KHSB.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.