Oleh : Lizawati Madfa
SHAH ALAM 11 APRIL : Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Elizabeth Wong hari ini memutuskan menarik diri dalam pertembungan merebut jawatan Naib Presiden parti itu.
Beliau yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri memaklumkan sudah menulis surat tarik diri daripada pertandingan 16 penjuru itu.
Katanya, keputusan penarikan diri itu dibuat atas pilihan dirinya dan bukannya atas desakan pihak lain.
“Bila saya lihat senarai calon untuk MPP, saya nampak kekurangan calon wanita.
“Jadi saya ingin sertai supaya ada kepelbagaian calon bukan sekadar lelaki sahaja,” katanya yang ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS).
Tambah Elizabeth, keputusan menarik diri juga dibuat berdasarkan faktor kredibiliti tinggi di kalangan senarai calon Naib Presiden yang lain.
Antara calon yang bertanding ialah penyandangnya, Tian Chua, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli, Ketua PKR Sarawak, Baru Bian dan pemimpin PKR Perak, Mustaffa Kamil Ayub.
Semalam, Tian Chua mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden parti yang akan diadakan hujung bulan ini.
Mengulas perkembangan itu, Elizabeth berkata beliau menyambut baik keputusan Tian Chua yang disifatkan mendahulukan kekuatan parti.
“Saya dimaklumkan semalam dan saya rasa ini bagus baginya mempertahankan kedudukan untuk mempergiatkan kerja.
“Saya rasa penting untuk kita mempunyai satu pasukan yang gigih, kuat serta berani,” katanya lagi.
EZY