Categories
SELANGOR

MB: MOU air bukan rahsia, rakyat boleh teliti dokumen

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 23 APRIL : Kerajaan Selangor tidak pernah menyembunyikan sebarang fakta terkandung di dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Penstrukturan Air seperti mana didakwa sesetengah pihak.

Ini terbukti apabila Pejabat Menteri Besar dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini mengadakan pendedahan awam terhad MoU itu kepada mana-mana pihak meneliti dokumen terbabit.

Air-MB1Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah itu diambil selaras dengan polisi kebebasan maklumat Kerajaan Negeri.

“Tak apalah kalau tidak ramai tengok sebab dewan itu terbuka kepada yang berminat.

“Kita teruskan polisi ketelusan dan kebebasan maklumat dengan salurkan seberapa banyak maklumat yang boleh kepada rakyat,” kata Abdul Khalid selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Pendedahan awam itu dibuka sejak 7 April lalu iaitu hari pertama sidang DNS hingga hari terakhir sidang DNS berlangsung 18 April lalu.

Sebelum ini wujud dakwaan Kerajaan Negeri enggan berkongsi maklumat berhubung isi kandungan MoU yang ditandatangani oleh Abdul Khalid dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili.

Bagaimanapun tatkala Pejabat Menteri Besar mengadakan sesi pendedahan awam terhad dokumen yang diklasfikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu pada sidang DNS lalu, Selangor Kini mendapati hanya 12 orang sahaja yang mengambil peluang itu.

Selangor Kini mendapati seramai 11 pengamal media dan seorang pengamal perundangan dengan tanpa seorang pun pemimpin politik mengambil peluang meneliti MoU terbabit.

Sesi pendedahan awam terhad itu terbuka kepada semua pihak berminat dengan beberapa syarat mudah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.