Categories
SELANGOR

MB: Penyelesaian industri air dijangka selesai dalam tempoh 2 bulan

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 15 APR : Penyelesaian penyusunan semula industri air memerlukan tempoh waktu agak lama kerana memerlukan melalui beberapa proses penting.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, proses itu melibatkan rundingan yang dijalankan melibatkan syarikat berkaitan yang tersenarai di pasaran saham.

air-syabas_MB1Katanya, pihak Kerajaan Negeri perlu bertolak ansur dan memberi masa kepada syarikat yang terlibat untuk menyelesaikan urusan dalam mereka.

“Sebagai contoh Syarikat Puncak Niaga memerlukan tempoh 21 hari bagi mengadakan mesyuarat luar biasa bagi mendapatkan kelulusan syarikat di pasaran saham.

“Jadi ada masa tertentu, kita perlu menghormati pihak lain kerana yang dibincangkan ini melibatkan urusan di pasaran saham.

“Perkara ini dijangka selesai dalam dua atau tiga bulan lagi dan ini bukan lama,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Negeri.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Kerajaan Negeri seolah-olah gagal dalam usaha mengambil alih industri air di Selangor yang mula disuarakan sejak beberapa tahun lepas.

Sementara itu, mengulas cadangan mahu mengadakan sidang dewan khas, Abdul Khalid berkata langkah itu merupakan platform Kerajaan Negeri berkongsi pandangan bagi menjayakan program penyusunan semula industri air bersama wakil rakyat lain.

“Perjanjian sudah dibuat tetapi mereka mahu tahu sama ada perjanjian itu munasabah atau tidak dan boleh memberi cadangan untuk memperbaiki sekiranya boleh.

“Perbincangan ini bagi menjaga kepentingan negeri supaya kos tidak naik, tatacara tender telus di samping menentukan individu sesuai untuk menjaga Projek Langat 2 dan industri air kita,” katanya lagi.

Terdahulu, sewaktu sesi soal jawab, Abdul Khalid menyatakan kesediaan Kerajaan Negeri memohon Dewan Negeri menganjurkan sidang khas membentangkan penyelesaian industri air di Selangor.

Bagaimanapun katanya, sidang dewan khas itu hanya boleh diadakan selepas segala perundingan antara pihak terlibat berjaya dimuktamadkan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.