Categories
SELANGOR

MB: Selangor berjaya bangunkan sistem bank tanah, kini fasa kedua

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 21 APRIL : Sistem Aplikasi Pengurusan Maklumat Tanah Selangor dibangunkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTG) berjaya membantu Kerajaan Negeri mengurus maklumat tanah selaras dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata antara kejayaan dimaksudkan termasuk projek Land Bank Library System (LBLS) merangkumi pembangunan sistem dan pembangunan pusat dokumen urus niaga dan bukan urus niaga di Stadium Shah Alam.

3 (1)Beliau berkata melalui projek ini, PTG berjaya melaksanakan pengimejan ke atas 1.9 juta dokumen hakmilik “Landed” dan Strata secara berkomputer.

“Fasa kedua projek ini melibatkan pengimejan ke atas baki dokumen sebanyak 23.5 juta helaian manakala pelaksanaan di peringkat Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) pula bakal menyusul dalam fasa ketiga projek tersebut.

“Kerajaan negeri melalui PTG Selangor juga sentiasa berusaha untuk menambah saluran perkhidmatan urusan tanah baru secara talian yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor 2014 di Auditorium JUbli Perak, di sini.

Abdul Khalid berkata bagi memastikan pengurusan aset tanah negeri dilaksanakan secara sistematik, kerajaan negeri turut membangunkan aplikasi Sistem Maklumat Tanah Selangor (SeLIS) menggunakan teknologi web dan geospatial.

Katanya pembinaan sistem ini dianggap penting bagi kerajaan negeri dalam menguruskan aset bernilai seperti tanah belum diterokai, lesen pendudukan sementara (LPS), luput notis 5A, luput tempoh pajakan, tanah yang dirampas notis 8A dan tanah rizab.

“Kerajaan negeri juga sedang mengkaji dan membangunkan Blueprint yang merangkumi rangka kerja dan hala tuju pengurusan maklumat tanah negeri seterusnya.

“Pelaksanaan kajian adalah meliputi elemen perkhidmatan e-pelanggan dan pengwujudan “Single Point of Contact; penggunaan metodologi Business Intelligence (BI) dan Big Data Analytic (BDA) yang sedang diguna pakai di beberapa agensi kerajaan,” katanya lagi.

Selain itu katanya, bagi menjamin keselamatan urusan daripada cubaan penipuan atau pemalsuan dokumen di kaunter, kerajaan negeri turut mengaplikasikan “Secured Land Management System” (Selamat) yang berasaskan teknologi biometrik di PTG Selangor dan tiga PTD lain itu Petaling, Klang dan Hulu Langat.

“Pelaksanaan di enam PTD lagi dijangka bermula pada Ogos ini dengan pembiayaan projek secara perkongsian 50-50 dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.