Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Selangor dan Pusat bincang penguatkuasaan Seksyen 114 WSIA

Kerajaan Selangor dan Persekutuan sedang dalam perbincangan tentang modus operandi bagi menguatkuasakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006) kerana ini adalah kali pertama seksyen ini digunapakai di negara ini.

Pada Isnin lalu, Kerajaan Negeri dan agensi Persekutuan termasuk Pejabat Peguam Negara telah mengadakan perbincangan intensif untuk ‘step in’ menggunakan seksyen berkenaan bagi menjayakan penstrukturan semula industri air Selangor.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan saya telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan pada Jumaat ini bagi menyelaraskan proses untuk memastikan industri air akhirnya dipulangkan semula kepada Kerajaan Negeri menerusi anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad.

Walaupun proses perbincangan ini mengambil masa yang lama tapi ianya perlu agar penguatkuasaan dibuat selari dengan undang-undang WSIA serta tidak boleh dicabar di mahkamah oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati.

Kita yakin mekanisme atau modus operandi yang akan diguna pakai untuk mengambilalih perkhidmatan air akan menguntungkan Kerajaan Negeri kerana pampasan yang perlu dibayar kepada pemegang konsesi lebih murah berbanding tawaran awal sebanyak RM9.65 bilion.

Kerajaan Negeri dan Persekutuan sedang mengkaji kaedah bersesuaian yang memenuhi keperluan seksyen berkenaan supaya penguatkuasannya tidak membawa kesan buruk kepada pihak-pihak yang terlibat.

Kerajaan Selangor menaruh kepercayaan tinggi bahawa penstrukturan air akan diselesaikan menerusi peranan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sebagai pemudahcara seperti yang dipersetujui menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) air yang dimeterai pada 26 Februari lalu.
YAB TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.