Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Selangor mahu kos pengambilalihan syarikat air tidak melebihi RM9.65 bilion

Kerajaan Negeri Selangor semalam telah dirujuk oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kepada rayuan oleh dua syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (Puncak Niaga) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk Kerajaan Negeri melihat semula tawaran pengambilalihan yang telah tamat pada 10 Mac 2014 yang lalu.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dalam surat bertarikh 8 April 2014 memohon Kerajaan Negeri untuk memberi pertimbangan kepada rayuan yang telah dibuat oleh Puncak Niaga dan Syabas melalui surat mereka bertarikh 7 April 2014.

Kerajaan Negeri bersedia untuk melihat semula rayuan oleh Puncak Niaga dan Syabas untuk bersama didalam penstrukturan semula industri air sebelum Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor (WSIA) 2006 dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, kos pengambilalihan yang dicadangkan oleh kedua-dua syarikat tersebut hendaklan tidak boleh melebihi tawaran asal keseluruhan yang berjumlah RM9.65 billion.

Perkara ini penting kerana kenaikan kos pengambilalihan akan mempunyai impak negatif kepada tarif air dan akhirnya membebankan rakyat terutama lebih 5 juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Meskipun demikian, Kerajaan Negeri komited untuk terus bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk meneruskan usaha pengambialihan industri air Selangor melalui Seksyen 114.

Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air atas kerjasama yang telah mereka berikan dalam menyelesaikan isu pengambilalihan industri air seperti yang dihasratkan dalam Akta Perkhidmatan Air Selangor 2006.

Kerajaan Negeri akan meneruskan perbincangan berkaitan modus operandi yang perlu dilakukan bagi pelaksanaan pengambilalihan menurut Seksyen 114 akta tersebut.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO MENTERI BESAR SELANGOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.