Categories
NASIONAL

MH370 : Kerajaan BN berdolak dalih bagi penjelasan kepada MP PR

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 10 APRIL : Tindakan Kerajaan BN yang enggan mengadakan taklimat kepada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) dan menolak pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) dalam krisis MH370 terus dikesali.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, keengganan kerajaan Umno-BN jelas membuktikan bahawa krisis yang melewati tempoh sebulan itu ditangani secara tidak serius seterusnya menyebabkan negara terpaksa berdepan tanggapan buruk masyarakat antarabangsa.

mhKatanya, tindakan mengelak penubuhan PSC juga seolah-olah sengaja dilakukan bagi melarikan diri dari memikul tanggungjawab di peringkat Parlimen.

“Walaupun (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein dan (Datuk Seri) Shahidan Kassim memberi jaminan berulang kali di dalam dan di luar Parlimen untuk mengatur majlis taklimat kepada kami, kedua-duanya sehingga kini tidak mengotakan janji itu.

“Bagaimanapun saya tidak terkejut Hishamuddin tidak menunaikan janji kerana saya memang sudah menjangkakannya,” katanya yang juga Ketua Parlimen DAP.

Sebelum ini, di peringkat awal kehilangan MH370, taklimat di Parlimen hanya diberikan kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sahaja tanpa melibatkan Ahli Parlimen PR.

Sehingga kini juga Putrajaya tidak menyatakan secara jelas sebarang pendirian berhubung permintaan penubuhan PSC yang diusulkan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke pada 20 Mac lepas.

mh370 pcSebaliknya Hishamuddin selaku pemangku Menteri Pengangkutan mengumumkan penubuhan kumpulan penyiasatan dan tiga jawatankuasa khas bagi menyiasat isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.

Sehubungan itu, Anthony menyifatkan tindakan Kerajaan Pusat jelas menunjukkan mereka tidak berminat memberi sebarang komitmen untuk menubuhkan PSC.

“Sebelum ini mereka memberi alasan kononnya kami tidak boleh hadir taklimat sebab tidak beri surat, tetapi bila surat diberi pun kami masih tidak diberikan taklimat.

“Sekarang mereka bagi alasan tunggu siasatan jawatankuasa menteri selesai, kemudian suruh kami memahami masalah yang berlaku, tetapi persoalannya mengapa mereka tidak mahu beri kerjasama,” katanya.

posedon1Sementara itu, Sejumlah 10 pesawat tentera, 4 pesawat awam dan 13 kapal menyertai operasi mencari pesawat Malaysia MH370 di lautan Hindi hari ini dengan kawasan pencarian meliputi 57,923 kilometer persegi.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dalam satu kenyataan berkata pencarian tertumpu di kawasan sekitar 2,280 kilometer ke barat laut Perth.

Turut diteruskan, pencarian di dasar laut, dengan kapal ADV Ocean Shield diletakkan di kawasan utara, manakala kapal China Haixun 01 dan kapal Britain, HMS Echo di bahagian selatan kawasan pencarian.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.