Categories
SELANGOR

Muhasabah diri, rakyat Selangor jangan putus asa hadapi krisis air

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PELABUHAN KLANG, 5 APR: Masyarakat Islam di Selangor diingatkan tidak berputus asa dalam menghadapi masalah catuan air, jerebu dan wabak demam denggi yang sedang melanda negeri itu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, mereka perlu bermuhasabah diri dan terus berdoa agar Allah S.W.T membantu negeri itu keluar daripada tiga kemelut berkenaan.

“Musim kemarau yang panjang memaksa Kerajaan Selangor melaksanakan Pelan Catuan Air Peringkat Keempat membabitkan semua daerah kecuali Sabak Bernam yang bermula hari ini (semalam).

Mohammed Khusrin Munawi“Selain itu, isu jerebu dan demam denggi turut menjadikan rakyat resah. Inilah cabaran yang dilalui kita sebagai manusia biasa.

“Sebagai umat Islam, ini adalah masa untuk kita kembali kepada Al-Quran kerana ia adalah kalam yang menjadi penawar hati, petunjuk, rahmat, penjelasan dan khabar gembira bagi orang yang sedang ditimpa kesedihan serta kegelisahan,” katanya.

Mohammed Khusrin berkata demikian pada malam penutup Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor bagi tahun 1435H/2014M di Masjid Raja Uda, di sini, semalam.

Khusrin dalam ucapannya turut mengingatkan rakyat Selangor agar sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.