Categories
NASIONAL

Penubuhan CIRC cubaan bermotif politik takutkan rakyat

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 1 APRIL : Tindakan Polis menubuhkan unit khas Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (CIRC) dilihat sebagai satu inisiatif yang lebih bermotifkan politik dan sekadar bertujuan menakutkan rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen (MP) Bukit Mertajam, Steven Sim dan MP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata Kerajaan Pusat berkemungkinan bimbang dengan kuasa dan pengaruh media sosial di kalangan rakyat.

LOGO POLIS BARU-EDITKatanya, media sosial kini berfungsi sebagai medium penting penyampaian maklumat tanpa penapisan dan kawalan oleh kerajaan sepertimana didapati di kalangan media arus perdana.

“Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu, Barisan Nasional mengalami kekalahan teruk di kalangan segmen masyarakat yang mempunyai capaian media sosial yang baik seperti di kawasan bandar dan orang muda.

“Maka, adakah tindakan untuk memantau media sosial ini bertujuan untuk menakut-nakutkan penyokong Pakatan Rakyat (PR) serta memperluaskan kawalan kerajaan terhadap penyebaran maklumat,” katanya.

Pada 21 Mac lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan CIRC ditubuhkan untuk memantau aktiviti pengguna media sosial dan akan diletakkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Mengulas lanjut, Steven dan Zairil berkata, dengan kekurangan anggota polis melawan jenayah pada masa ini, penggunaan sumber polis untuk memenuhi unit merepek seperti CIRC adalah sangat tidak wajar.

“Seorang pegawai penyiasat (IO) terpaksa mengendalikan sehingga 19 kes sebulan secara purata, manakala IO di kawasan ‘hot spot’ jenayah pula terpaksa mengendalikan 20 sehingga 30 kes sebulan.

“Keadaan ini sangat jauh daripada cadangan Laporan Tun Dzaiddin yang mengesyorkan agar seorang IO sepatutnya mengendalikan hanya lima kes sebulan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Steven dan Zairil menggesa Polis untuk menghentikan langkah mewujudkan CIRC dan memberikan keutamaan sumber serta kakitangan terhadap usaha melawan jenayah yang semakin menggugat keselamatan rakyat.

“Kami ingin menegaskan bahawa setakat ini, tiada keperluan untuk menubuhkan Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis, lagi-lagilah apabila Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) ditubuhkan untuk menyiasat sebarang kesalahan siber,” katanya.

Sebelum ini, Laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin 2005 menyatakan bahawa JSJ memerlukan 21,300 anggota pada tahun 2004, namun sehingga kini PDRM masih belum mencapai sasaran disyorkan malah masih kekurangan 11,300 anggota.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.