Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Pekerja 1 Mei – Presiden PKR

Bersempena dengan sambutan ulangtahun Hari Pekerja yang jatuh pada 1 Mei setiap tahun, seluruh warga pekerja di dalam negara harus menjadikannya sebagai kayu pengukur sejauhmana kejayaan ekonomi dan sosial dicapai bagi pergerakan pekerja.

Golongan pekerja merupakan nadi utama bagi sesebuah negara, tambahan pula dalam negara kita, kita mempunyai sekitar 11.3 juta pekerja, termasuk pekerja asing.

Untuk menjadi kebajikan dan kesejahteraan kaum pekerja, masih tidak ramai yang menyandarkan perjuangan menerusi gerakan kesatuan sekerja.

wan azizahNamun dua tonggak utama yang mewakili kaum pekerja, iaitu MTUC yang mempunyai sekitar 1.3 juta anggota, beserta dengan Ceupacs dengan keahlian sekitar 800,000, harus melipatgandakan peranan bagi memastikan keselesaan kaum pekerja terjamin.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sangat komited untuk melindungi kaum pekerja, khususnya daripada segala bentuk penindasan, eksploitasi dan monopoli dalam pekerjaan dan kegiatan ekonomi, tambahan pula golongan pekerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan.

Kita akan berusaha menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja dipelihara.

Di dalam manifesto Pilihan Raya, KEADILAN bersama-sama dengan Pakatan Rayat menyatakan komitmen untuk melindungi hak-hak kaum pekerja seperti memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia, mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja, menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Menyedari betapa kaum pekerja yang berpendapatan rendah, sama ada di dalam sektor awam, mahupun swasta, mereka begitu terhimpit dengan pelbagai bebanan akibat kemelesetan ekonomi.

Oleh sebab itu, KEADILAN juga berpendapat bahawa kewujudan GST dan Perjanjian TPPA, jika dilaksanakan kerajaan, akan menambahbebankan rakyat marhaen.

Sekali lagi kita tegaskan bahawa, sebarang perubahan kepada dasar ekonomi atau percukaian negara, ianya mestilah menyumbang kepada penambahbaikan jurang di antara yang kaya dengan yang miskin.

Sehubungan itu KEADILAN menyeru pihak kerajaan dan juga pihak swasta, khususnya dari kalangan majikan, agar memelihara dan menjamin hak pekerja sebaik-baiknya.

Kaum pekerja yang terjamin kebajikannya, akan lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas demi pembangunan dan kesejahteraan negara.

“Selamat Hari Pekerja”

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.