Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor sedia pelbagai inisiatif, hargai peranan lebih 3 juta pekerja

SHAH ALAM, 1 MEI: Pelbagai inisiatif digerakkan bagi membela kebajikan 3.5 juta pekerja di negeri ini terutama selepas penularan wabak Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan pekerja dianggap sebagai tulang belakang pembangunan negeri dan harus diutamakan bagi memastikan keseimbangan antara kehidupan dan ekonomi.

“Sebab itu Kerajaan Negeri laksanakan program Mengelak Penularan di Tempat Kawasan Panas (POIS) demi membolehkan industri dan ekonomi dapat berjalan, namun dapat mengelakkan tercetus kluster tempat kerja.

“Kita turut lancarkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin 1, 2 dan 3 serta Pakej Kita Selangor bagi melegakan beban ekonomi ditanggung mereka selepas pandemik,” katanya menerusi Facebook sempena sambutan Hari Pekerja hari ini.

Jelas Amirudin, pihaknya turut memfokuskan aspek pengupayaan modal insan bagi memberi nilai tambah kepada pekerja terutama dalam melengkapi landskap Revolusi Perindustrian 4.0.

“Penglibatan dan peranan pekerja sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, kesihatan dan sebagainya cukup besar. Selamat Hari Pekerja, terima kasih atas jasa dan perkhidmatan anda semua,” katanya.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Cabaran peluang, hak dan kebajikan pekerja OKU

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Isu kesukaran mendapat peluang pekerjaan dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) bukanlah suatu perkara baharu.

Jika sebelum ini ia berkisar kepada soal kekangan kemudahan di tempat kerja dan penerimaan masyarakat khususnya majikan, kini ditambah dengan krisis pandemik Covid-19, tidak keterlaluan jika dikatakan ruang dan peluang yang sememangnya terhad menjadi semakin mengecil.

Ini kerana ramai rakyat yang terkesan, hilang pekerjaan dan punca pendapatan serta mencari peluang kerja baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Task force dasar satu peratus OKU

Mengakui perkara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pekerjaan dan Pemerkasaan Ekonomi, Majlis Kebangsaan bagi Orang Buta Malaysia Dr Ahmad Shamsuri Muhamad berkata akses kepada peluang pekerjaan yang sama rata dengan orang bukan OKU juga tiada untuk golongan itu.

Walaupun perkara ini (hak sama rata) ada dinyatakan dalam Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, namun ia lebih kepada dasar dan bukan aspek penguatkuasaan dan pelaksanaannya.

“Golongan OKU turut terkesan disebabkan pandemik… ada yang hilang mata pencarian dengan pendapatan yang tidak seberapa malah ada juga yang diberhentikan kerja. Bayangkan dengan kekurangan yang mereka hadapi, bagaimana untuk meneruskan hidup?

“Jika orang bukan OKU mungkin boleh mencari alternatif lain sebagai contoh menjadi pemandu grab, berniaga dan sebagainya, namun OKU yang cacat penglihatan sebagai contoh, keadaannya pasti lebih sukar,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Shamsuri berkata untuk itu, dasar yang memperuntukkan satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU yang diperkenalkan pada 1988 dan pelaksanaannya melalui Pekeliling Perkhidmatan pada 2008 serta 2010 wajar diberi perhatian serius bagi membantu golongan itu.

Katanya, sebuah pasukan khas ‘task force’ yang sebelum ini diwujudkan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu diperkasakan kembali bagi memastikan dasar itu benar-benar mencapai matlamat dan sasarannya.

“Sehingga kini dasar itu hanya mencapai 0.3 peratus secara keseluruhan walaupun ada beberapa kementerian dan jabatan sebagai contoh KPWKM sendiri yang menunjukkan perkembangan positif terhadap pengambilan pekerja dalam kalangan OKU.

“‘Task force’ ini perlu digerakkan semula agar ada unit khas yang memantau kuota yang disebut dalam pekeliling, memastikan pelaksanaannya serta mempromosikan dasar ini kepada kementerian dan agensi lain untuk menggaji golongan OKU sekali gus mencapat objektif yang ditetapkan,” katanya.

Memetik laporan Bernama pada 12 Dis 2020, setakat Jun 2019, jumlah pengisian OKU dalam perkhidmatan awam ialah seramai 3,686 pegawai bersamaan 0.29 peratus.

Beliau menambah antara isu lain melibatkan pekerja OKU termasuklah bayaran gaji yang tidak mencapai tahap gaji minimum, diskriminasi serta layanan yang tidak sama dengan pekerja lain.

“Terdapat pekerja OKU yang dibayar rendah daripada gaji minimum, diberi layanan berbeza dengan pekerja lain atau istilah lainnya didiskriminasi atas alasan OKU perlu bersyukur kerana masih diberi peluang kerja.

“Hakikatnya OKU wajar mendapat hak dan layanan yang sama rata di tempat kerja. Majikan perlu menyediakan sistem sokongan yang sewajarnya di tempat kerja agar OKU juga boleh menjalankan tugas dengan baik dengan adanya kemudahan untuk mereka termasuklah peluang mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya,” katanya sambil menambah Kod Amalan Penggajian OKU di sektor swasta juga perlu disemak semula dan ditambah baik.

Kesinambungan pendidikan, kerjaya

Berkongsi pandangan, Pengerusi Raudhah Autisme, Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata kekangan remaja OKU untuk menyambung pelajaran dalam bidang kemahiran khususnya aliran vokasional menjadi antara penyumbang kepada kesukaran untuk golongan itu mendapat pekerjaan.

Raudhah Autisme adalah sebuah projek ‘group home’ untuk sekumpulan remaja lelaki autisme yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) berkata jika terdapat seramai setengah juta lepasan universiti yang menganggur dan sukar mendapat pekerjaan, apatah lagi golongan remaja OKU terutama mereka yang ‘low functioning’ atau terbatas dalam banyak perkara.

“Perlu ada kesinambungan yang jelas untuk remaja OKU dari peringkat sekolah, kolej, institut kemahiran atau pusat pengajian tinggi sehinggalah membawa kepada haluan kerjaya yang sesuai dengan kategori OKU, bakat dan kemahiran mereka.

“Kesedaran mengenai keperluan untuk OKU berdikari dan bekerja itu ada tetapi ia tidak dilakukan secara menyeluruh jadi impaknya pun kurang.

“Kita perlu ada perancangan di peringkat yang lebih tinggi dengan menggabungkan pelbagai kementerian seperti Kementerian Pendidikan serta Pengajian Tinggi, KPWKM, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan untuk duduk sekali dan berbincang mengenai perkara ini,” katanya sambil menambah dasar dan pelbagai polisi perlu diterjemah dalam bentuk pelaksanaan agar ia tidak semata-mata ‘di atas kertas’.

Kesediaan semua pihak

Sementara itu mengulas isu sama, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) yang juga Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD) Dr Shawaludin Husin berkata realiti hak sama rata antara OKU dan bukan OKU khususnya dalam aspek peluang pekerjaan memang sukar untuk dicapai.

Ini kerana dalam kehidupan seharian pun, tidak boleh dinafikan wujudnya perbezaan terutama kekangan dari segi infrastruktur dan layanan yang bersifat ‘kurang mesra OKU’.

“Perkara ini menuntut kesediaan semua pihak untuk mengatasinya. Di negara maju sebagai contoh mereka lebih bersedia dengan fasiliti untuk OKU sebagai contoh pengangkutan, laluan khas, kemudahan-kemudahan lain malah penerimaan masyarakat terhadap golongan OKU itu sendiri.

“Di negara kita mungkin kerana masih kurang kesedaran malahan keadaan sekeliling juga tidak cukup membantu dalam perkara ini (peluang pekerjaan kepada OKU). Jika majikan dan tempat kerja bersedia menerima golongan OKU, bagaimana pula isu untuk OKU itu bergerak pergi dan balik kerja dan perkara-perkara lain yang perlu mereka hadapi,” katanya.

OSHA 1994, tanggungjawab majikan

Menyentuh mengenai pekerja yang pada asalnya sihat namun menjadi OKU disebabkan kemalangan yang berlaku di tempat kerja atau sewaktu pergi dan balik kerja, beliau berkata majikan memikul tanggungjawab bagi memastikan pekerja terlibat dapat kembali semula bekerja di bawah Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).

Antara tujuan utama OSHA 1994 ialah memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja di tempat kerja adalah terjamin daripada sebarang risiko keselamatan dan kesihatan berbangkit akibat daripada aktiviti kerja yang dijalankan serta melindungi keselamatan dan kebajikan pihak ketiga daripada sebarang risiko keselamatan dan kesihatan berbangkit yang disebabkan oleh aktiviti kerja yang dilakukan oleh pekerja di tempat kerja.

OSHA 1994 turut menggalakan majikan mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan sihat di premis masing-masing bagi memenuhi keperluan fisiologi dan psikologikal pekerja serta mengadakan satu sistem perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang lebih cekap dan teratur berdasarkan perundangan dan tata amalan industri seiring dengan perubahan teknologi yang pesat bagi menggantikan pendekatan sistem kerja lama yang tidak efisien dan kurang fleksibel.

“Justeru, bagi majikan yang gagal melindungi keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan seperti kudung kaki atau tangan, lumpuh, buta atau penyakit pekerjaan seperti pekak disebabkan bunyi bising di tempat kerja, slipped disc atau sakit belakang disebabkan faktor ergonomik, kerosakan paru-paru disebabkan bahan kimia atau debu di persekitaran kerja dan pelbagai lagi, mereka bertanggungjawab mengembalikan pekerja ke tempat kerja dengan cepat dan selamat selepas menerima rawatan dan menjalankan langkah penambahbaikan di tempat kerja.

“Majikan juga perlu menjalankan penilaian risiko dengan memastikan pekerja yang kembali bertugas selepas kemalangan atau menghidap penyakit pekerjaan dapat menjalankan tugas bersesuaian dengan kemampuan mereka bagi mengelak risiko kecederaan semula,” katanya.

Sekiranya majikan gagal melaksanakan tanggungjawab berkenaan, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15 OSHA 1994, yang merujuk kepada menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan persekitaran tempat kerja selamat atau akan berdepan dengan tindakan undang-undang sivil akibat kecuaian.

“Kesan kemalangan kepada pekerja bukan sahaja berisiko menambah bilangan OKU bahkan turut memberi kesan emosi, fizikal dan kewangan kepada mangsa serta ahli keluarga seterusnya impak kepada masyarakat dan negara,” katanya sambil menambah perkara itu menuntut komitmen besar daripada kerajaan untuk memperjuangkan hak pekerja golongan OKU agar majikan tidak lepas tangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam nadi, tulang belakang negara

KUALA LUMPUR, 1 MMEI: Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada rakyat Malaysia terutamanya penjawat awam.

Beliau berkata penjawat awam merupakan nadi dan tulang belakang negara.

“Wabak #Covid-19 telah merubah paradigma baharu dari segi budaya kerja dan norma sosial masyarakat.

“Namun produktiviti terus diutamakan demi kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam entri terkini di laman media sosial rasmi beliau sempena Hari Pekerja, hari ini.

Terdapat kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini, termasuk petugas barisan hadapan seperti tenaga kerja kesihatan dan keselamatan yang kini bertungkus lumus memerangi penularan wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA RENCANA SELANGOR

Pasca Covid-19, pekerja perlu tangani perubahan hidup

Saat ini kita sedang berada dalam fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Buat umat Islam, ini merupakan pengalaman yang sangat berbeza untuk menjalani ibadah puasa dengan wabak Covid-19 melatari setiap tingkah perbuatan kita.

Namun sudah semestinya kita bersyukur kepada Allah SWT yang memberikan kesempatan untuk sekali lagi bertemu dengan Ramadan, bulan menjanjikan rahmah, magfirah dan juga perlepasan dari api neraka.

Bukan sahaja kita di Malaysia ini perlu mengubah cara kita mengimarahkan Ramadan tetapi juga saudara-saudara muslim kita di seluruh dunia turut sama menghadapi cabaran ini. Tidak ada solat tarawih berjemaah di masjid, tiada majlis berbuka puasa besar-besaran dan moreh juga tidak ada kunjung-mengunjung ke bazar Ramadan.

Pun begitu seperti dalam hal-hal yang sukar, ada hikmah yang dapat memberikan peluang kepada kita untuk terus melaksanakan kebaikan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Antara peluang yang mungkin jarang untuk kita dapatkan adalah masa yang banyak bersama keluarga apatah lagi di bulan Ramadan ini kita dapat menunaikan solat tarawih berjemaah, saling bertadarus dan memeriksa bacaan al-Quran masing-masing dan banyakkan berselawat dan berdoa kepada Allah SWT.

Saya percaya ini adalah peluang keemasan untuk kita mengukuhkan lagi hubungan sesama suami dan isteri, ibu bapa dan juga anak-anak.

Peluang alam rawat diri

Minggu lepas, saya ada menyentuh sedikit tentang ‘new normal’ atau kebiasaan baharu ini. Banyak ulasan dan komentar tentang istilah ini yang sebenarnya menunjukkan bahawa penularan Covid-19 pada peringkat global ini adalah satu peristiwa yang mempunyai kesan yang dapat mengubah banyak perkara termasuklah kesan terhadap alam sekitar.

Flora dan fauna turut mendapat manfaat daripadanya dalam pelbagai laporan akhbar, daripada penurunan jejak karbon sehinggalah kepada kejernihan sungai dan air laut. Kita tidak perlu tanya pakar untuk menyaksikan kebersihan Sungai Klang dengan mata dan kepala sendiri.

Di Selangor juga, KDEB Waste melaporkan penurunan sisa sampah pepejal turun sebanyak 14.8 peratus di semua 14 PBT sewaktu PKP.

Antara berita-berita yang muluk ini, suatu mimpi ngeri mungkin akan berlaku tak lama lagi. Dalam sebuah pengumuman baru-baru ini. Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengaku bahawa jangkaan awal mereka berkenaan dengan kesan ekonomi wabak Covid-19 ke atas 170 negara adalah ‘terlalu optimistik’.

Begitu juga dengan unjuran Bank Dunia bahawa perkembangan ekonomi Malaysia berada pada paras -0.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kenyataan sebegini tidaklah begitu mengejutkan kerana saat ini kita sedang menghadapi suatu keadaan yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini; suatu yang dipanggil ‘The Great Unknown’.

Justeru, terdapat pelbagai bentuk tindakan yang diambil oleh negara-negara akibat wabak ini sama ada ‘full lockdown’ seperti di Wuhan, Perintah Kawalan Pergerakan seperti di Malaysia atau selembut-lembut anjuran penjarakan sosial sahaja seperti di Sweden.

Yang pasti, banyak industri yang terjejas. Para petugas baris hadapan sedang bertungkus lumus tanpa penat lelah menguruskan pandemik ini. Dan gaya hidup kita semua turut berubah.

Pelbagai insentif ringan beban pekerja

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pemotongan gaji secara sukarela oleh beberapa pengurusan korporat Malaysia. Ada antara syarikat gergasi ini memotong sehingga 40 peratus daripada gaji, sementara banyak yang tidak lagi mengambil pekerja baru.

Sedikit demi sedikit manfaat kebajikan pekerja juga terpaksa dibatalkan bagi mengelakkan pekerja sedia ada daripada dibuang. Itulah antara dilema yang dihadapi oleh pengurusan syarikat saat wabak Covid-19 mengganas.

Kerajaan Negeri telah mengambil langkah yang cepat dan wajar bagi membantu mengurangkan beban pekerja dan mereka yang terbeban, seperti RM40 juta insentif buat penjaja berlesen dan RM12 juta pengecualian sewa premis kepada penjaja, juga RM100 juta untuk kecairan tunai Pengusaha Kecil Sederhana melalui Selangor Advance.

Perihal kebajikan pekerja yang sedia ada sudah cukup merisaukan, tetapi lupakah kita akan nasib anak-anak mahasiswa tahun akhir kita?

Mereka yang kini diberi julukan Generasi Tersesat atau ‘Lost Generation’ ini merupakan mereka yang memilih untuk menyambung pendidikan tinggi di menara gading dengan harapan yang tinggi bahawa segulung ijazah akan menjanjikan kerjaya yang lebih baik, hanya untuk kemudiannya dihadapkan dengan realiti baharu kesan daripada wabak Covid-19.

Seperti yang kita tahu, pengangguran adalah sesuatu yang bukan sahaja tidak produktif untuk negara malah berbahaya. Banyak yang boleh kita belajar dari keresahan politik yang berlaku sebelum ini, daripada Gerakan Occupy, Jaket Kuning di Perancis mahu pun yang lebih dekat seperti Revolusi Payung di Hong Kong dan di Thailand.

Anak muda bukan sahaja mahu berkerjaya dan diberi akses kepada ‘social mobility’ malah mereka turut mahu kehidupan yang lebih bererti — ramai antara mereka yang sedikit bernasib baik dan mempunyai kerjaya mengadu tidak menjumpai ‘makna’ dalam kerja mereka.

Di situlah peranan kerajaan menjadi maha penting dalam menyediakan ekosistem yang mampu mencipta kerjaya malah mencipta kekayaan (wealth creation) yang bukan sahaja mampu meletakkan bumbung di atas kepala dan mengisi tembolok tetapi turut sama mengisi makna: sebuah kehidupan yang bermartabat.

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke-8 yang digariskan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) telah menyatakan keperluan untuk meningkatkan penciptaan kerjaya, produktiviti yang lebih tinggi dan inovasi teknologi serta penggalakan keusahawanan. Dalam bahasa yang mudah: decent job and economic growth (pekerjaan yang wajar dan perkembangan ekonomi).

Selangor komited dengan rangka kerja UNDP dan akan berusaha sesungguhnya bagi mencapai SDG ke-8. Sejumlah besar belanjawan diperuntukkan untuk usaha ini, termasuk mengupayakan TVET dan juga penubuhan Institut Pemberdayaan Pekerja bagi mendepani cabaran IR4.0.

IR4.0 yang sering disebutkan sebelum ini sudah pun bermula tanpa kita sedari. Rakyat boleh bekerja dari rumah, malah kebanyakan urusan kerajaan dapat diselesaikan dalam talian.

Selangor turut mencipta sejarah dengan memperkenalkan Selangor Tutor, platform dalam talian untuk pembelajaran serta beberapa inovasi lagi sewaktu PKP seperti Platform Selangor (PLATS) dan e-Bazar Raya Selangor Bersama Shopee.

Masanya telah tiba untuk terus memacu ke hadapan. Inisiatif digitalisasi yang kita sebut Smart Selangor semenjak 2016 lagi kini menjadi suatu realiti. Seperti yang sering saya sebutkan kepada para penjawat awam, sekiranya kita tidak berubah dan berada di takuk yang lama, kita akan ditinggalkan.

Begitulah pesanan saya kepada para pekerja sama ada yang baharu mahupun veteran: tingkatkan kemahiran, dan teruskan penerokaan dalam inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Bersama-sama kita bangunkan semula kehidupan dan negeri bersama-sama IR4.0 dalam menghadapi ‘new normal’ pasca Covid-19 ini.

Selamat Hari Pekerja.

Perutusan Hari Pekerja 2020 oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hari Pekerja dalam keadaan normal baharu

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Hari ini tenaga kerja Malaysia meraikan sambutan Hari Pekerja dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan suasana berbeza selepas menempuhi pelbagai cabaran berikutan pandemik Covid-19.

Tidak ada perhimpunan hari pekerja seperti kebiasaannya baik yang dirancang oleh Kerajaan Persekutuan mahupun negeri dan ini adalah sebahagian dari normal baharu yang perlu dilalui masyarakat Malaysia kini.

Hari Pekerja kali ini disifatkan ‘unik’ kerana berjaya menaikkan semangat pekerja untuk memberikan yang terbaik kepada kesejahteraan negara, terutama petugas barisan hadapan sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang bekerja tanpa mengenal penat lelah sementara pekerja yang bukan daripada sektor yang dibenarkan kerajaan untuk beroperasi kekal duduk di rumah untuk bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan pandemik itu.

Dalam pada itu tidak dilupakan juga ada pekerja yang pendapatan mereka terjejas ketika wabak pembunuh ini mengganas, antaranya sektor pelancongan dan juga sektor perniagaan kecil-kecilan seperti makanan yang walaupun masih boleh beroperasi tetapi terhad dengan kekangan PKP.

Dengan lengkung pandemik yang mula berjaya diratakan dan bilangan kes positif Covid-19 secara harian yang konsisten iaitu pada kadar dua angka dalam tempoh 14 hari berturut-turut sejak 17 April lepas menyaksikan Malaysia kini memberikan sedikit kelonggaran dalam peraturan ‘sekatan pergerakan’ yang kini dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat semalam, penularan Covid-19 di negara ini telah menjangkiti 6,002 orang dan meragut 102 nyawa. Namun berita baiknya, kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj kini meningkat sebanyak 4,171 kes atau 69.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hari ini juga masuk hari kelapan berpuasa dan sudah pastinya ramai umat Islam sangat merindukan untuk melakukan ibadah solat sunat tarawih secara berjamaah di surau dan masjid, selain sudah tujuh kali solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lepas akibat pandemik Covid-19.

Seminggu ini sudah tentunya muncul imam-imam baharu, baik yang muda mahupun yang sudah meningkat usia kerana mahu menunaikan solat sunat tarawih di rumah bersama keluarga tersayang — satu kesan positif dilihat daripada satu sudut arahan PKP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam program temu bual semalam memberitahu pihaknya sedang berbincang dan merangka garis panduan bagi membolehkan aktiviti ibadah termasuk solat berjemaah dilakukan kembali, namun bergantung kepada kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM).

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pekerja amanah teras kemajuan negara – TPM

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pekerja beramanah merupakan teras kemajuan sesebuah negara.

Dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja yang bakal disambut hari ini, Dr Wan Azizah berkata isu-isu penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dapat dielakkan sekiranya pekerja mempunyai sifat amanah.

“Seseorang pekerja yang setia kepada negaranya tidak akan terlibat dalam perbuatan salah laku.

“Perkhidmatan yang jujur dan amanah serta berdedikasi adalah penting untuk membangunkan negara… pembangunan negara tercinta ini adalah tanggungjawab yang kita pikul bersama,” katanya di laman Facebook.

Menurutnya, nilai amanah juga sangat penting dalam diri seseorang kerana ia adalah tuntutan dalam agama Islam.

Dr Wan Azizah juga menyedari hakikat bahawa banyak keluarga memerlukan lebih ramai ibu bapa untuk keluar bekerja dalam era globalisasi kini.

“Kerajaan prihatin terhadap keluarga-keluarga nukleus di mana kedua ibu-bapa bekerja dan tidak ada saudara-mara yang tinggal bersama membantu menjaga anak-anak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa inisiatif telah diusahakan oleh kerajaan untuk memberi ketenangan kepada ibu bapa semasa bekerja, termasuk mengadakan taska di hampir setiap kementerian.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menambah 50 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di bangunan kerajaan dalam usaha meringankan bebanan ibu bapa yang bekerja.

Tambahnya, kerajaan juga dalam usaha memperkenalkan Waktu Kerja Anjal yang merupakan konsep aturan waktu bekerja bagi memberikan peluang kepada pekerja untuk menentukan sendiri waktu kerja masing-masing.

Dr Wan Azizah berkata langkah ini dapat membina jaringan antara majikan dan pekerja untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan harian dan kerja.

Katanya kerajaan akan terus berusaha untuk mewujudkan persekitaran pekerjaan yang mesra pekerja dan juga menangani isu-isu yang berbangkit.

Beliau turut mengakui dua belas bulan yang lalu merupakan ujian mencabar untuk kerajaan Pakatan Harapan dan sedang berusaha sedaya upaya membina Malaysia Baharu yang diimpikan selain mengajak rakyat untuk turut sama merealisasikannya.

– BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Pekerja Presiden KEADILAN

Bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) saya mengucapkan selamat hari pekerja kepada lebih 11 juta pekerja sektor kerajaan dan swasta dengan harapan mereka terus menggalas tugas dan berusaha gigih untuk menyumbang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.

Hari ini negara kita berhadapan dengan situasi yang amat kritikal di mana banyak isu-isu berkaitan kepentingan golongan pekerja, dikesampingkan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Antara isu yang membebani kaum pekerja adalah soal gaji minimum yang terlalu rendah, isu lambakan pekerja asing, isu penindasan majikan, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), isu Elaun Sara Hidup (COLA), isu inflasi dan sebagainya, sehingga hari ini gagal ditangani oleh kerajaan.

hari pekerjaKerajaan hari ini masih gagal memberikan penjelasan yang kukuh mengenai kegagalan urus tadbir 1MDB yang menjadi skandal terbesar negara, isu penerimaan dana asing ke akaun peribadi Perdana Menteri, penggunaan dana amanah dan dana awam untuk bail-out syarikat bermasalah dan pelbagai skandal syarikat berkaitan kerajaan yang dibongkarkan.

Secara umumnya segala krisis yang melanda golongan pekerja dan secara khusus memberi kesan kepada rakyat adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan kepimpinan kerajaan menguruskan ekonomi Negara dengan betul.

Asas yang ditekankan berulang kali oleh Ketua Umum KEADILAN iaitu, kerajaan harus berpaksi kepada pengurusan ekonomi yang berhemah, tatakelola baik (good governance) dengan penyelenggaraan pengurusan pembangunan serta pemberdayaan, yang sejajar dengan proses demokrasi, iaitu pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat dan prihatin rakyat.

KEADILAN mengulangi kebimbangan bahawa, akibat kesilapan kerajaan dengan dasar penggunaan pekerja asing, ia telah mengurangkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan yang rata-ratanya 70 peratus berpendidikan SPM ke bawah.

Kerajaan harus memandang serius saranan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahawa, penyelarasan kadar levi, dapat menetapkan kuota mengikut sektor bagi mengelakkan lambakan pekerja asing di negara ini.

KEADILAN menegaskan bahawa kemasukan lebih ramai pekerja asing tidak perlu disegerakan.

Apa yang diperlukan adalah penguatkuasaan kawalan undang-undang sedia ada seperti Akta Kerja 1955, Akta Pampasan Pekerja 1952, Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990, Akta Imigresen 1959/63, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

KEADILAN menggesa kerajaan untuk menyelesaikan segera Isu kehadiran 5.8 juta pekerja asing; di mana 2.135 juta secara sah dan 3.7 juta tanpa izin yang tidak berdaftar.

KEADILAN bimbang dengan lambakan pekerja asing ini akan menyumbang kepada ketidakstabilan sistem sosial dan ianya jelas mengakibatkan pengaliran wang keluar negara tanpa kawalan, turut menjejaskan ekonomi Malaysia.

Pada kesempatan ini KEADILAN menyeru golongan pekerja di Sarawak untuk menterjemahkan protes mereka kepada kegagalan pemerintahan BN, dengan mengundi calon-calon KEADILAN pada Pilihan Raya Umum Negeri 7 Mei ini.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
1 Mei 2016

Categories
SELANGOR

MB: Dasar gaji minimum patut diperjuangkan sehingga peringkat nasional

SHAH ALAM 1 MEI: Kerajaan Selangor konsisten mahu melihat dasar gaji minimum diperjuangkan bukan sahaja di Selangor, bahkan di peringkat nasional.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata tahap kemiskinan dan miskin tegar ditentukan oleh rendahnya kadar gaji pekerja.

2000x800-hari-pekerjaKatanya, sekiranya kadar itu dinaikkan pada kadar lebih munasabah maka dilihat peratusan miskin dan miskin tegar juga sebenarnya jauh lebih besar di seluruh negara.

“Sesungguhnya realiti tidak boleh diselindungi di sebalik statistik dan angka.

“Pembangunan bukan hanya di atas kertas. Kerajaan Negeri prihatin nasib pekerja tidak boleh diabaikan dan hubungannya dengan kerajaan tidak boleh dilihat dengan cara lama bagi meningkatkan produktiviti,” kata Mohamed Azmin dalam perutusan Hari Pekerja 1 Mei.

Katanya, sebagai negeri termaju, pekerja memainkan peranan besar dan tulang belakang kepada pembangunan sehingga Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar KDNK Malaysia.

“Pemerintah tidak wajar selamanya dilihat sebagai lawan atau musuh kepada golongan pekerja sepertimana keadaan pada abad ke-19 di beberapa negara di Eropah, Amerika dan Amerika Latin.

Katanya, kerajaan Negeri sedar tanpa para pekerja bersemangat tinggi, maka pembangunan negeri terencat.

“Hanya tafsiran baru pekerja adalah “rakan pembangunan” sepertimana tema Hari Pekerja Selangor, saya yakin suasana baru pembangunan prihatin kepada rakyat, berkualiti dan adil dapat diwujudkan,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pekerja Malaysia adalah rakan kongsi dalam pentadbiran negara

Oleh: Rodziah Ismail

 Golongan Pekerja dalam sektor formal diiktiraf sedunia sebagai satu golongan yang penting dan sentiasa releven dalam semua isu, medan dan arus pembangunan sesebuah negara.   Para pekerja wajar dihargai dan sentiasa tidak dilupakan dalam bersama menikmati kebaikan dan khazanah serta pendapatan negara yang dituntut untuk diagihkan secara adil dan saksama.

Kebajikan para pekerja harus diteliti dan ditingkatkan dari masa ke semasa menerusi dasar, akta dan pelaksanaan program-program dan skim yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup para pekerja dan anggota keluarga mereka serta masa depan mereka.   Ketika ini, berlaku jurang di antara kesedaran bahawa golongan pekerja itu adalah penting dengan pelaksanaan untuk memelihara kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Tidak lupa juga golongan pekerja di sektor informal dan para suri rumah yang bekerja sepenuh masa, lazimnya tanpa sebarang upah/gaji, demi  memelihara kepentingan dan kesejahteraan keluarga yang menjadi unit penting dalam sesebuah masyarakat.

Keseriusan dalam menilai semula dan memastikan kesejahteran kesemua golongan pekerja tersebut perlulah digalas dan dicernakan dengan mekanisme yang berkesan tanpa golongan pekerja terperangkap dan terpaksa melalui proses birokrasi dan kos yang membebankan untuk menuntut keadilan dan kebajikan mereka.

Di antara bebanan dalam kehidupan rakyat pekerja dan keluarga mereka ialah kos sara hidup yang tinggi berbanding ganjaran yang mereka perolehi.   Ia diburukkan lagi dengan GST, cukai 6% yang dikenakan keatas semua transaksi barangan dan perkhidmatan yang memberi kesan ke atas setiap pekerja dan anggota keluarga mereka dengan mengurangkan pendapatan pekerja untuk membayar cukai GST.   Jika kebiasaan transaksi itu bernilai RM500, GSTnya ialah RM30.   Jika transaksi sedemikian berlaku 4 kali sebulan, maka GST yang dikenakan ialah RM120 sebulan.   Maka sepanjang tahun jumlah GST yang mungkin di bayar ialah RM1440.   Ia suatu jumlah yang besar bagi sesebuah keluarga pekerja yang mempunyai anak, lebih-lebih lagi yang ramai, di mana berlakunya transaksi berkala khususnya pada hujung tahun, iaitu waktu persiapan persekolahan.

Kos-kos perubatan dan rawatan ketika pekerja sakit, musibah yang menimpa seperti kerosakan kenderaan dan berbagai kos lain yang ditanggung pekerja yang dikenakan GST tentunya sangat merisaukan dan membebankan golongan pekerja.   Keadaan itu tentunya boleh menafikan golongan pekerja untuk melanjutkan pelajaran, berziarah, berekreasi, bersantai, bercuti dan melibatkan diri dalam berbagai aktiviti kebudayaan dan seni yang menjadi sebahagian dari perkara-perkara yang melengkapkan kehidupan insan.

Pengiktirafan status golongan pekerja sewajarnya diimbangi dengan keseriusan untuk melihat wujudnya mekanisme dan skim yang tulus dan telus memelihara kebajikan golongan pekerja.   Golongan pekerja wajar diiktiraf sebagai rakan kongsi dalam sebarang usaha dan pelan tindakan pembangunan sesebuah negara.   Ia memerlukan kesanggupan dan keazaman politik yang berasaskan nilai untuk menjadikan ia suatu kenyataan – bukan kekuasaan politik yang rakus dan memperalatkan golongan pekerja untuk tujuan sempit yang mementingkan agenda yang sempit.

Saya menyokong kebangkitan golongan rakyat pekerja yang menuntut perubahan dan reformasi pada perhimpunan aman 1 Mei 2014 ini.

Selamat Menyambut Hari Pekerja Sedunia 1 Mei 2014.

 

# Rodziah Ismail adalah  Ketua Wanita Selangor Parti Keadilan Rakyat merangkap ADUN Batu Tiga 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Pekerja 1 Mei – Presiden PKR

Bersempena dengan sambutan ulangtahun Hari Pekerja yang jatuh pada 1 Mei setiap tahun, seluruh warga pekerja di dalam negara harus menjadikannya sebagai kayu pengukur sejauhmana kejayaan ekonomi dan sosial dicapai bagi pergerakan pekerja.

Golongan pekerja merupakan nadi utama bagi sesebuah negara, tambahan pula dalam negara kita, kita mempunyai sekitar 11.3 juta pekerja, termasuk pekerja asing.

Untuk menjadi kebajikan dan kesejahteraan kaum pekerja, masih tidak ramai yang menyandarkan perjuangan menerusi gerakan kesatuan sekerja.

wan azizahNamun dua tonggak utama yang mewakili kaum pekerja, iaitu MTUC yang mempunyai sekitar 1.3 juta anggota, beserta dengan Ceupacs dengan keahlian sekitar 800,000, harus melipatgandakan peranan bagi memastikan keselesaan kaum pekerja terjamin.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sangat komited untuk melindungi kaum pekerja, khususnya daripada segala bentuk penindasan, eksploitasi dan monopoli dalam pekerjaan dan kegiatan ekonomi, tambahan pula golongan pekerja adalah tunjang kepada kemakmuran negara yang berterusan.

Kita akan berusaha menjamin semua pekerja Malaysia dilayan dengan adil serta memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja dipelihara.

Di dalam manifesto Pilihan Raya, KEADILAN bersama-sama dengan Pakatan Rayat menyatakan komitmen untuk melindungi hak-hak kaum pekerja seperti memperkenalkan gaji minima untuk semua pekerja Malaysia, mempertahankan hak pekerja untuk membentuk kesatuan sekerja, menyusun dasar pekerja asing yang bersepadu dan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Menyedari betapa kaum pekerja yang berpendapatan rendah, sama ada di dalam sektor awam, mahupun swasta, mereka begitu terhimpit dengan pelbagai bebanan akibat kemelesetan ekonomi.

Oleh sebab itu, KEADILAN juga berpendapat bahawa kewujudan GST dan Perjanjian TPPA, jika dilaksanakan kerajaan, akan menambahbebankan rakyat marhaen.

Sekali lagi kita tegaskan bahawa, sebarang perubahan kepada dasar ekonomi atau percukaian negara, ianya mestilah menyumbang kepada penambahbaikan jurang di antara yang kaya dengan yang miskin.

Sehubungan itu KEADILAN menyeru pihak kerajaan dan juga pihak swasta, khususnya dari kalangan majikan, agar memelihara dan menjamin hak pekerja sebaik-baiknya.

Kaum pekerja yang terjamin kebajikannya, akan lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas demi pembangunan dan kesejahteraan negara.

“Selamat Hari Pekerja”

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

Categories
SELANGOR

MB: Selangor Hargai Golongan Pekerja

SHAH ALAM 1 MEI : Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha menghargai sumbangan pekerja, kerana tanpa golongan ini perumbuhan ekonomi yang pesat tidak mungkin akan tercapai.

Dalam perutusan sempena hari pekerja hari ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyedari tentang hubungan baik di antara pihak kerajaan, majikan dan pekerja di negeri ini khususnya.

Jelasnya, hubungan ini mampu mengimbangi daya saing serta serta kesejahteraan  hidup individu dan masyarakat.

“Bagi memastikan aspek ini berjalan lancar, Kerajaan Negeri Selangor mengadakan dialog, membentuk dasar dan menjalankan program yang sesuai dengannya. Tumpuan diberikan secara tidak langsung kepada khalayak pekerja melalui pelbagai bantuan kebajikan di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Program khusus kepada pekerja pula dibuat melalui kumpulan sasar di peringkat kemampuan pelaksanaan oleh kerajaan negeri iaitu bantuan kepada pekerja ladang, penubuhan Institut Produktiviti & Perhubungan Perusahaan Selangor (InPPP) dan pengenalan dasar gaji minima di peringkat syarikat milik kerajaan negeri,” katanya.

Menteri Besar juga melahirkan keyakinan bahawa banyak lagi hal yang boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan dan keperluan khusus golongan pekerja.

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga pekerja di Malaysia, khususnya di negeri Selangor Darul Ehsan,”katanya.

Tahun ini merupakan kali ke-33 negara menyambut hari pekerja sejak diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman selaku mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Selain disambut sebagai hari kelepasan am di Malaysia ia turut disambut dibeberapa negara lain yang mengiktiraf Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organization/ILO) seperti Argentina, Austria, Belgium, Jerman, Norway, Itali, Korea Selatan Perancis, Singapura, Sepanyol, Sweden, Thailand, dan Vietnam.