Categories
SELANGOR

Piala AFC: Selangor perlu menang atasi Hanoi T&T

SHAH ALAM 1 APRIL: Jurulatih Selangor Mehmet Durakovic meminta pemainnya menggunakan pendekatan menyerang sepanjang pertemuan mereka dengan pasukan Vietnam, Hanoi T&T dalam perlawanan Kumpulan F Piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Shah Alam malam ini.

Durakovic, berkata Selangor perlu menjaringkan gol terlebih dahulu untuk memenangi perlawanan itu dan meningkatkan peluang mereka untuk melayakkan diri ke pusingan kedua setelah pasukan itu mencatat dua keputusan seri dan kalah sekali dalam tiga perlawanan sebelum ini.

selangor hanoi“Jelas sekali, kami perlu melakukan serangan sebaik sahaja perlawanan bermula kerana kami memerlukan tiga mata itu.

“Saya akui ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk bermain dalam begitu banyak perlawanan dalam masa seminggu dua, tapi kami akan cuba dengan sebaik-baiknya,” kata Durakovic dipetik Bernama.

Beliau berkata beberapa pemain utama seperti pemain pertahanan Steve Pantelidis, Muhammad Shahrom Kalam Abdul Kalam dan penyerang dari Indonesia Andik Vermansahakan tidak akan diturunkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan.

“(Pemain tengah kami), K. Gurusamy juga akan direhatkan selama beberapa bulan atau mungkin setahun (kerana mengalami kecederaan lutut), dia akan menjalani imbasan MRI lewat hari ini dan diharapkan kecederaannya tidaklah teruk sangat.

“Beberapa pemain kami mengalami kecederaan, saya terpaksa menanganinya dan harapan saya ialah para pemain akan melaksanakan tugas mereka dengan baik,” kata Durakovic.

Jurulatih itu juga mengingatkan para pemainnya supaya tidak memandang rendah kemampuan lawan kerana pasukan dari Vietnam itu mempunyai pemain yang baik.

Sementara itu, ketua jurulatih, merangkap pengurus Hanoi T&T, Phan Thanh Hung berkata perlawanan berkenaan penting bagi kedua-dua pasukan dalam usaha mereka menempah tiket ke pusingan seterusnya.

“Kami akan cuba lakukan yang terbaik dalam perlawanan itu dan berharap kami akan meraih tiga mata,” katanya sambil mendedahkan bahawa beliau akan menurunkan 11 pemain terbaik untuk perlawanan itu.

Kini, pasukan Vietnam itu menduduki tempat teratas dalam Kumpulan F, dengan mengumpul sembilan mata selepas memenangi kesemua tiga perlawanan sebelum ini, manakala Selangor menduduki tempat ketiga, dengan dua mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published.