SHAH ALAM, 16 APRIL: Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Kerajaan (PAC).
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengemukakan usul itu di bawah Peraturan Tetap 68 (2) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor.
Wan Azizah dicadang untuk dilantik ke dalam jawatankuasa itu bagi menggantikan bekas ADUN Kajang Lee Chin Cheh dan beliau sempat mencelah ketika usul itu dibahaskan dengan menyampaikan pandangannya supaya ketua pembangkang daripada dilantik sebagai Pengerusi PAC.
“Ketua pembangkang harus mempengerusikan PAC seperti dilakukan dalam dewan, tetapi kita akan bersama melakukan tugas ini untuk memastikan duit rakyat dibelanjakan dengan baik,” katanya.
Cadangan sama turut dilakukan Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-13, namun ditolak Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Shamsuddin Lias.
Usul berkenaan kemudian disokong Saari Sungib (PKR-Hulu Kelang) dan dibahaskan selama kira-kira 14 minit oleh Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), Shuhaimie Shafiee (PKR-Seri Muda) dan Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) sebelum diluluskan dewan.