Categories
NASIONAL

Tragedi Memali: Musa minta Tun M tidak ke China atas 3 sebab

SHAH ALAM 4 APRIL: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam hari ini mengakui beliau memohon Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri ketika berlakunya insiden Memali supaya menangguhkan lawatan ke China.

Musa berkata beliau memohon Dr Mahathir menangguhkan lawatan itu atas tiga sebab iaitu melibatkan orang Melayu beragama Islam, insiden itu berlaku di Kedah iaitu negeri Dr Mahathir dan dengan menangguhkan lawatan ke China Dr Mahathir memperlihatkan sifat ia mengutamakan dan mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

memali“Dr Mahathir membuat keputusan untuk tetap berlepas ke negara China. Saya telah memaklumkan kepadanya cadangan saya untuk membentangkan peristiwa Memali di Parlimen.

“Di samping itu, saya turut meminta agar semua media, termasuk media luar negara memberi saya ruang 24 jam untuk membolehkan saya mendapat gambaran lebih tepat lagi lengkap.

“Saya telah membentangkan peristiwa Memali di Dewan Rakyat pada keesokan harinya (20 November 1985) dan selanjutnya mengadakan perjumpaan media,” kata Musa dalam satu kenyataan hari ini.

Musa menjelaskan beliau bersama Ketua Polis Negara (KPN) pada 19 November 1985 memberikan taklimat kepada Dr Mahathir tentang perkara yang berlaku berikutan operasi polis di Memali yang melibatkan kematian empat anggota polis dan 14 orang awam.

musa-hitam1-290713_484_322_100Musa membuat penjelasan itu berikutan polemik yang timbul setelah beliau dalam satu diskusi yang diadakan di Kota Bharu baru-baru ini mendedahkan Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur dan dua tiga hari selepas insiden itu berlaku.

“Seingat saya, apatah lagi selepas saya berundur daripada jawatan menteri; tidak ada pihak baik daripada kerajaan, begitu juga Umno yang saya anggotai bersedia menyuarakan fakta yang benar.

“Saya pernah menawarkan diri untuk mengadakan wawancara eksklusif dengan media khusus atas subjek peristiwa Memali, tetapi tidak ada pihak media yang bersedia berwawancara dengan saya,” katanya.

Musa berkata ketika itu tidak ada pihak yang bersedia berhadapan risiko untuk bercakap perkara yang boleh dianggap menyentuh kedudukan seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

“Sekian lama saya berseorangan untuk mendapatkan keadilan namun saya terus berdoa dan akhirnya program diskusi di Kelantan saya sifatkan sebagai anugerah Ilahi memakbulkan doa saya.

“Ruang tersebut memberikan saya peluang untuk memperbetulkan fakta sejarah peristiwa penting yang melibatkan diri saya. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi memberikan peluang tersebut kepada saya,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.