Oleh: AFIX REDZUAN
PETALING JAYA, 23 APRIL: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penarikan diri Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrhim daripada bertanding jawatan Presiden adalah kekangan Akta Pertubuhan akibat keputusan perundangan yang dihadapinya.
Beliau berkata tindakan halangan itu adalah perancangan jahat Umno yang berusaha mematikan karier politik Anwar.
Katanya, cadangan untuk mengangkat Anwar bagi menerajui parti itu sudah lama dibuat di peringkat atasan sebelum ini.
“Ini jelas membuktikan kepada kita betapa jelasnya kejahatan Umno yang terus berusaha mematahkan semangat juang Anwar.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa tindakan ini hanya akan terus membakar semangat juang anggota PKR untuk meneruskan agenda perubahan di Malaysia,” katanya kepada media di Ibu Pejabat PKR, di sini.
Anwar kini masih menunggu keputusan Mahkamah Rayuan selepas mahkamah memutuskan beliau bersalah dalam kes Fitnah II.
Penarikan diri Anwar daripada bertanding jawatan Presiden menyaksikan beliay kekal sebagai Ketua Umum PKR.
Mengulas mengenai pemilihan parti, Wan Azizah berharap supaya semua calon bertanding dan penyokong memelihara adab pertandingan serta berpandukan kepada peraturan yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan PKR 2014.
EZY