Categories
NASIONAL

Anwar: Calon Timbalan Presiden PKR sepakat tindakan pecat pihak langgar disiplin

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 16 MEI: Kesemua calon Timbalan Presiden PKR hari ini sepakat menyokong tindakan tegas termasuk memecat diambil terhadap pihak yang melanggar disiplin, melakukan penipuan dan kekerasan sepanjang Pemilihan PKR 2014 dijalankan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan keras perlu diambil bagi memelihara nama baik PKR di mata masyarakat umum.

PC HQ“Kami sepakat sama ada calon-calon ini, mahupun Biro Politik memberi sokongan kuat pada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) pecat serta merta mana-mana ahli melanggar disiplin ataupun melakukan kekerasan.

“Saya ulangi pendirian tegas ini termasuk Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution dan pemimpin kanan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama dalam hal ini kerana kita bersaing secara persahabatan.

“Perakuan mereka cukup menyenangkan demi memantapkan lagi PKR,” kata Anwar dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Turut sama dalam sidang media itu, Abdul Khalid, Mohamed Azmin dan Saifuddin.

Anwar juga menganggap tindakan mengugut untuk membawa isu pemilihan kepada Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan sebagai memberi ruang kepada musuh PKR meletakkan parti dalam keadaan sukar seperti dialami DAP.

Pemilihan PKR 2014 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan beberapa kejadian tidak diingini berlaku termasuk kejadian penipuan undi, baling kerusi, bertumbuk, menendang peti undi, melarikan peti undi dan sebagainya.

Dalam pemilihan kali ini juga menyaksikan sebanyak 27 cabang seluruh negara terpaksa mengadakan pengundian semula.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.