Categories
NASIONAL

Anwar: Kekecohan pemilihan bukan dilakukan ahli PKR

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 16 MEI: Siasatan insiden kekecohan yang berlaku sepanjang proses pengundian Pemilihan PKR 2014 membuktikan ia dilakukan bukan daripada ahli PKR yang menceroboh pusat pengundian.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak terbabit dipercayai sengaja menimbulkan kekacauan termasuk dengan menendang peti undi seperti yang berlaku dalam proses pengundian di Cabang Kuala Langat 11 Mei lalu.

“Pimpinan PKR amat prihatin tentang insiden kekerasan dan gangsterisme yang berlaku, terutamanya sewaktu proses pengundian di Selangor.

Pemilihan 2014“Berdasarkan maklumat yang diterima serta bukti video dan foto didapati terdapat elemen bukan anggota parti yang menceroboh pusat pengundian dengan niat memburukkan imej parti dan menggagalkan proses pengundian,” kata Anwar di sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Kata Anwar, PKR juga mendapati sesetengah mereka yang terlibat dengan perbuatan khianat itu hanya mendaftar sebagai ahli PKR di saat akhir sebelum daftar pemilih PKR ditutup dan disahkan pada 15 Mac lalu.

Anwar bagaimanapun tidak menyatakan sama ada tindakkan membawa masuk anasir luar itu didalangi pihak dalaman PKR sendiri.

“Pimpinan PKR mengarahkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Lembaga Displin untuk menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut dan tindakkan disiplin yang cukup keras mesti diambil.

“Ia bagi memastikan elemen ini dibanteras dan dibuang parti,” kata Anwar dalam sidang media yang turut dihadiri calon-calon Timbalan Presiden, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Datuk Saifuddin Nasution dan Mohamed Azmin Ali.

Anwar juga tidak menolak untuk mendedahkan indentiti pihak terlibat dalam kekecohan sebaik sahaja siasatan menyeluruh diselesaikan.

Pemilihan PKR 2014 yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan beberapa kejadian tidak diingini berlaku termasuk kejadian baling kerusi, bertumbuk, menendang peti undi, melarikan peti undi dan sebagainya.

Dalam pemilihan kali ini juga menyaksikan sebanyak 27 cabang seluruh negara terpaksa mengadakan pengundian semula.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.