Categories
NASIONAL

Dyana Sofya sah calon DAP PRK Teluk Intan

TELUK INTAN, 17 MEI: Peguam berusia 27 tahun lulusan UiTM, Dyana Sofya Mohd Daud sah dipilih sebagai calon DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Memetik laporan Malaysia Kini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat pengumuman itu di Pusat Gerakan PRK DAP di Bandar Baru Teluk Intan.

Katanya keputusan itu dibuat bagi membuktikan kepelbagaian DAP sebagai sebuah parti politik.

unnamedDalam ucapannya, Dyana menyentuh usaha memecahkan halangan kaum dan agama serta mencari formula yang sesuai umpama “teh tarik’ Malaysia yang digemari semua orang.

Katanya, teh tarik digemari semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama dan identiti seumpama itu yang diperlukan rakyat Malaysia.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Dyana berkata, bahawa dia tidak bimbang dengan percubaan untuk mencemarkan reputasinya yang sudah bermula di kalangan beberapa blogger.

“Mereka fikir kerana saya seorang wanita, maka akan berhenti politik. Tetapi maaf, saya tidak akan berganjak dari sini,” katanya yang mempunyai wajah seiras foto seorang wanita memakai bikini yang disiarkan dalam beberapa blog sebelum pengumuman hari ini.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua akan bertindak sebagai pengarah pilihan raya DAP untuk PRK Teluk Intan.

unnamed (1)Dyana Sofya juga setiausaha politik kepada Kit Siang, yang mana sebelum ini kebanyakan bekas setiausaha politik pemimpin itu turut dipilih sebagai wakil rakyat.

Mereka termasuk Exco Kanan Selangor, Datuk Teng Chang Khim; Exco, Ean Yong Hian Wah; Exco Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.

Dyana menyertai parti itu pada tahun 2012 dan kemudian membantu kempen Kit Siang dalam PRU-13 di Gelang Patah dan secara terbuka diperkenalkan pemimpin itu pada konvensyen DAP sebagai setiausaha politiknya yang baru selepas PRU-13.

Berusia 27 tahun dan menjadi ahli politik sepenuh masa, Dyana berasal dari Ipoh, tetapi kini bertugas di kawasan pilihan raya Kit Siang di Parlimen Gelang Patah.

PRK Parlimen Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 58, daripada DAP pada 1 Mei lalu.

Penamaan calon PRK Teluk Intan akan diadakan pada 19 Mei ini.

Pada PRU-13, Seah, 48, menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.