Categories
KENYATAAN MEDIA

Dyana Sofya: Saya akan perjuangkan isu kenaikan harga barang di Parlimen

Kerajaan Barisan Nasional tidak bercakap benar apabila berkata bahawa ia tiada pilihan lain kecuali menaikkan harga barang.

Jika pengundi Teluk Intan memberikan peluang kepada saya untuk mewakili rakyat Malaysia di Parlimen, isu pertama yang saya akan bentangkan dalam ucapan saya adalah isu harga barang naik.

dyana22Mengikut kajian bebas yang telah dikomisi oleh DAP bulan ini, isu kenaikan kos kehidupan dan inflasi merupakan isu terutama bagi rakyat tempatan. 50% daripada pengundi berkata bahawa harga barang naik adalah isu yang paling penting, manakala 16% pengundi menjawab bahawa isu rasuah adalah isu yang paling penting.

Walaupun isu ini jelas merupakan isu yang paling penting bagi rakyat Teluk Intan, tetapi kerajaan Barisan Nasional langsung tidak bersimpati dan memberikan keprihatinan untuk mengatasi masalah ini.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada empat hari lalu berkata bahawa kerajaan tiada pilihan lain kecuali menaikkan tarif eletrik sekali lagi walaupun ia baru meningkat sebanyak 15% pada bulan Januari tahun ini.

Datuk Seri Najib Razak berkata bahawa “Jika tidak naik, TNB akan mengalami kerugian. Kalau rugi, kita terpaksa menggunakan wang rakyat untuk subsidi TNB. Bukan nak bebankan rakyat tetapi realitinya kita tiada pilihan.”

Saya berasa amat menyesali pendirian Perdana Menteri kerana nampaknya keuntungan Tenaga Nasional Bhd adalah lebih penting daripada penderitaan rakyat jelata. Apatah lagi, penyata kewangan TNB menunjukkan secara jelas keuntungan berbilion-bilion setiap tahun sebelum ini.

TNB mencapai keuntungan bersih RM4.4 bilion pada tahun 2012 dan RM4.6 bilion pada tahun 2013. Adakah keuntungan ini masih tidak mencukupi?

Selain daripada keutamaan yang telah diberikan kepada TNB, kerajaan pada masa yang sama tidak mengambil tindakan yang keras kepada pihak-pihak yang benar-benar menyebabkan kerugian besar kepada rakyat Malaysia.

Mukasurat depan suratkhabar Utusan Malaysia dan Sinchew Jit Poh hari ini melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia baru bertindak menyita akaun RM1.5 juta milik pegawai terlibat seludup diesel bersubsidi.

Angka RM1.5 juta ini tentulah hanya merupakan, mengikut pepatah bahasa Ingeris, “the tip of the iceberg”. Penyeludupan sebegini telah berlaku bertahun-tahun sebelum ini secara besar-besaran tidak diatasi dengan sebarang tindakan keras walaupun adalah pegawai kerajaan sendiri yang menyeleweng.

Penyelewangan dan kerakusan yang berlaku secara meluas dalam pengurusan subsidi bahan api telah menyebabkan bil subsidi yang tinggi dan beban kerajaan yang berat. Akhirnya, yang terpaksa menanggung ketirisan dan kelalaian kerajaan Barisan Nasional, adalah rakyat jelata Malaysia.

barang naik copy1Saya akan menyeru dalam Parlimen bahawa kerajaan Barisan Nasional mempunyai banyak pilihan selain daripada menaikkan harga barang, tidak seperti yang diulas oleh Datuk Seri Najib Razak.

Kerajaan boleh mengurangkan keutamaan yang diberikan kepada keuntungan berbilion-bilion ringgit setiap tahun syarikat TNB, dan pada masa yang sama, menghapuskan rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan untuk mengurangkan kos bahan api.

Akan tetapi, saya hanya akan dapat meluahkan rasa hati raykat jika saya diberikan kepercayaan oleh pengundi dalam pilihanraya kecil ini.

Saya amat berharap, pengundi Teluk Intan akan membuat pilihan yang tepat, iaitu menyokong saya, DAP dan Pakatan Rakyat.

* Dyana Sofya Mohd Daud adalah Calon Pakatan Rakyat di Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan

Leave a Reply

Your email address will not be published.