Categories
NASIONAL

Pemilihan PKR: Saingan kian terbuka, cabang buat pemilihan semula meningkat

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 MEI: Jumlah cabang yang diarah mengadakan pemilihan semula dijangka bertambah apabila Jawatankuasa Aduan Pemilihan (JAP) menjalankan sessi pendengarannya di kesemua cabang yang terdapat bantahan berasas.

Ini dapat dilihat apabila semakan Selangor Kini mendapati keputusan rasmi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat 11 Mei yang disiarkan di laman web rasmi parti itu sejak semalam menunjukkan tiada sebarang keputusan ditunjukkan di 23 cabang tidak termasuk cabang-cabang di Selangor.

Pemilihan 2014Jumlah ini menjadikan jumlah kesemuanya sebanyak 33 cabang selepas dicampurkan dengan 10 cabang di Selangor yang disahkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) untuk mengadakan pemilihan semula.

Sebelum ini JPP mengumumkan sebanyak 17 cabang perlu mengadakan pemilihan semula tidak termasuk 10 di Selangor.

Pertambahan jumlah cabang yang perlu mengadakan pemilihan semula ini dipercayai berlaku apabila siasatan terkini terhadap bantahan-bantahan yang diterima didapati berasas sekaligus menambahkan bilangan cabang terlibat.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Aduan Pemilihan (JAP), Abdul Malek Hussain memberitahu pihak beliau ketika ini sedang giat menjalankan pendengaran di cabang-cabang yang terdapat bantahan berasas.

Perkembangan ini menjadikan persaingan bagi jawatan utama peringkat pusat bertambah menarik berikutan peluang yang dianggap masih terbuka dengan menambah undi masing-masing dalam peringkat pemilihan semula selain undi di Selangor yang belum diumumkan lagi.

Bertambah mendebarkan, apabila sehingga kini keputusan di cabang di negeri Selangor yang memiliki keanggotaan tertinggi masih belum diumumkan secara rasmi.

Antara persaingan menarik dalam pemilihan kali ini melibatkan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden yang melibatkan penyandang jawatan, Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Di Selangor, Abdul Khalid dikatakan mampu meraih undi yang tinggi berdasarkan pengaruh dan rekod cemerlang beliau sebagai Menteri Besar mampu memberi kesan mendalam terhadap ahli parti peringkat akar umbi parti itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.