Categories
NASIONAL

GST: Jangan paksa mahasiswa jadi pak turut

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 MEI: Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS) mengutuk dan mengecam tindakan disiplin yang dikenakan ke atas seorang pelajar ekoran tulisan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di laman sosial.

Pengerusi MPMS, Muhammad Nawawi Munir Shoib, berkata tindakan terbaru itu membuktikan dunia mahasiswa di Malaysia hari ini masih belum bebas untuk menyatakan pendapat dan pandangan.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan senario mahasiswa di luar negara yang bebas menyatakan pandangan serta berdebat dalam sesuatu isu.

demo_mahasiswa_PWTC-01“Ini satu lagi usaha jahat untuk menakutkan mahasiswa, tidak salah juga jika dikatakan ini adalah satu bentuk kezaliman untuk mahasiswa.

“Di mana hak kebebasan bersuara mahasiswa kita pada hari ini jika pihak universiti takut suara mereka dalam memberi pandangan. Jangan dipaksa mahasiswa menjadi pak turut sahaja,” katanya yang dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Semalam, portal Malaysia Kini melaporkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berdepan dengan tindakan disiplin kerana dikatakan menyiarkan tulisan membantah GST di Facebook.

Dalam surat bertarikh 28 April lalu, UiTM menyatakan bahawa Mohd Fathihie Gadius dari kampus UiTM Sabah didakwa melanggar Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 dan jika didapati bersalah boleh digantung universiti dan tidak dibenarkan masuk ke kampus.

FacebookDia didakwa membuat kenyataan awam dengan menggunakan laman sosial Facebook yang boleh menggalakkan perbuatan melanggar tatertib, kekacauan, keengkaran atau pelanggaran terhadap Kaedah-Kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 di kalangan pelajar UiTM cawangan Sabah.

Mengulas lanjut, Nawawi menyifatkan perkembangan terbaru itu sebagai satu usaha tidak sihat dan memberi kesan kepada pembentukan kepimpinan generasi akan datang.

“Kalau generasi yang jenis menunduk maka akan lahir pemimpin yang lemah, tidak mampu membuat keputusan dan pasti merugikan negara.

“Kalau generasi yang pantang dicabar, bebas bersuara, maka akan lahir pemimpin yang tidak mudah terpedaya dan akan lebih bijak serta berkaliber,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.