Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 meningkat, UiTM tangguh istiadat konvokesyen

SHAH ALAM, 17 FEB: Universiti Teknologi MARA (UiTM) menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-93 universiti tersebut yang dijadualkan bermula pada 2 hingga 23 Mac depan.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan penangguhan istiadat konvokesyen melibatkan 27,287 graduan UiTM Shah Alam; cawangan Sarawak dan Sabah itu diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Eksekutif Universiti (MEU) Bil 5/2022, semalam (16 Feb).

Istiadat konvokesyen tersebut dijangka akan dilaksanakan pada Jun hingga Julai tahun ini.

“Penangguhan ini juga berdasarkan perkembangan terkini peningkatan penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia. Ia juga berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), berikutan peningkatan penularan jangkitan COVID-19 secara mendadak di seluruh negara yang amat membimbangkan pihak universiti.

“Pihak pengurusan UiTM memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh para graduan dan ibu bapa. Pihak UiTM juga berasa kesal dengan situasi di luar kawalan ini dan amat menghargai kefahaman, sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam hal ini,” menurut kenyataan itu.

Maklumat terkini mengenai penangguhan pelaksanaan Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 boleh dirujuk di laman sesawang konvokesyen.uitm.edu.my atau menghubungi Aminah Aman: wa.me/+60355443110 atau Rozani Mohd Noh: wa.me/+60355443114.

— BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

UiTM Shah Alam buka masjid, kolej untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuka masjid UiTM Shah Alam sebagai penempatan sementara kepada semua mangsa banjir di sekitar Shah Alam, Selangor susulan banjir teruk yang melanda hampir keseluruhan kawasan di Lembah Klang.

UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan universiti itu turut menyediakan kolej di kampus Shah Alam sebagai tempat perpindahan pelajar dan petugas universiti itu.

Selain itu, UiTM juga memberikan bantuan bas untuk membawa mangsa banjir dari pusat pemindahan banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa ke Seksyen 16, Shah Alam.

“Bantuan khas banjir kilat untuk warga UiTM telah diwujudkan serta-merta berikutan kejadian ini yang disediakan oleh bahagian zakat, sedekah dan wakaf (ZAWAF) UiTM dan mereka yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian kepada Bendahari UiTM menerusi akaun Affin Islamic Bank (105140003422),” menurut kenyataan itu.

Petugas dan pelajar UiTM di sekitar Lembah Klang yang memerlukan bantuan atau ingin menjadi sukarelawan boleh berhubung dengan Bridged Sukarelawan UiTM Ku Hadzrill melalui talian 0193813863.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Dr Roziah Mohd Janor berkata bagi pelajar yang terkesan akibat banjir, semua tugasan yang perlu dihantar pada minggu ini ditangguhkan, manakala warga UiTM yang terjejas juga diberikan cuti khas bagi meringankan beban mereka.

Beliau juga turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan keselamatan agar dipermudahkan segala urusan bagi seluruh warga UiTM yang terkesan akibat banjir.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS, UiTM perkukuh kerjasama tingkat kemahiran petugas

SHAH ALAM, 27 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) menganjurkan konvokesyen bagi 17 petugasnya yang tamat pengajian dalam Diploma Eksekutif Pengurusan Fasiliti hari ini.

Ketua Pegawai Operasi PKNS Suhaimi Kasdon berkata majlis konvokesyen tersebut adalah bukti kejayaan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara PKNS melalui anak syarikatnya, Akademi PKNS dengan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM pada 2 Nov 2019.

“Melalui program ini, mereka bukan sahaja memperoleh sijil diploma tetapi meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan mereka dalam pengurusan bangunan yang sudah pasti akan menjadikan mereka petugas yang lebih cekap dan berkemahiran.

“Kita melihat kejayaan program in akan menjadi satu titik tolak untuk ruang kerjasama yang lebih luas pada masa akan datang seperti mendapatkan konsultasi secara terus daripada pakar akademik di UiTM,” katanya dalam ucapan perasmian istiadat khas di Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Dekan FSPU Prof Dr Jamalunlaili Abdullah berkata kesemua 17 peserta memberikan sepenuh komitmen sejak hari pertama program berjalan dan hari ini, mereka dapat menuai hasil kerja keras mereka selama dua tahun.

“Kami percaya kerjasama yang dimeterai pada 2019 telah memberikan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” katanya yang turut hadir pada majlis konvokesyen tersebut.

Bagi pelajar terbaik Zairulanuar Mohd Yusof, 38, yang berkongsi kegembiraan bersama isteri pada majlis konvokesyen tersebut berkata jalinan kerjasama PKNS-UiTM membolehkan beliau berpeluang menyambung pelajaran.

“Fasa permulaan menyambung pelajaran agak sukar, tetapi saya bertungkus lumus dan pada masa yang sama PKNS turut memberikan pelepasan waktu sewajarnya sehingga berjaya menamatkan pengajian,” katanya.

Akademi PKNS, unit PKNS menjalinkan kerjasama strategik bersama FSPU, UiTM sewaktu pelaksanaan Program Business Symposium: ‘Learning The Challenge Of Change In The Construction Industry & IR 4.0’ di Bangunan Ibu Pejabat PKNS pada 2019.

Diploma Eksekutif Pengurusan Fasiliti dibangunkan bagi tujuan meningkatkan kompetensi dan kecekapan anggota Bahagian Urus Harta PKNS yang terlibat dengan pengurusan bangunan dan penyelengaraan kemudahan-kemudahan PKNS.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar UiTM Melaka positif virus, 45 individu disyaki kontak rapat

MELAKA, 11 NOV: Beberapa kolej kediaman pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah di sini diarah tutup selama 10 hari bermula hari ini selepas seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah.

Beliau berkata pejabat kesihatan itu menerima notifikasi awal daripada Klinik UiTM pada 2 petang Selasa lepas memaklumkan seorang pelajarnya didapati positif Covid-19 menerusi saringan kit ujian pantas Antigen (RTK-Ag).

“Lapan lagi pelajar mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan kesemua mereka telah menjalani ujian PCR (tindak balas berantai polimerase) Covid-19 yang keputusannya dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata siasatan lanjut mendapati pelajar itu telah menghadiri program kepimpinan anjuran sebuah badan bukan kerajaan dari 3 hingga 7 Nov lepas di sebuah resort di Alor Gajah yang turut disertai kira-kira 45 orang lagi membabitkan pelbagai cawangan UiTM.

Beliau berkata pelajar lain yang menjadi kontak rapat sedang dikenal pasti untuk dikuarantin sebagai langkah awal bagi mengekang penularan jangkitan.

“Jabatan Kesihatan negeri memandang serius perkara ini dan siasatan sedang dijalankan dengan terperinci, justeru orang ramai yang menjadi kontak rapat disaran melakukan kuarantin kendiri serta menghubungi Bilik Gerakan PKD Alor Gajah di talian 06-5566 390 bagi saringan kesihatan segera.

“Saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri untuk maklumat sahih,” katanya.

Rusdi berkata untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2345 999 atau melalui e-mel [email protected].

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan tujuh pelajar UiTM didapati positif COVID-19 selepas pulang daripada menghadiri program anjuran sebuah parti politik dari 4 hingga 7 Nov lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM kurangkan yuran konvokesyen ijazah, diploma

SHAH ALAM, 13 JULAI: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersetuju mengurangkan yuran konvokesyen bagi sesi – 93, 94 dan 95 sebanyak RM40 yang dikenakan kepada para graduan bagi semua peringkat pengajian ijazah dan diploma.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol UiTM Nora Noordin dalam kenyataan hari ini berkata pengurangan bagi semua graduan sesi konvokesyen tersebut sebanyak RM3 juta itu dibuat untuk mengurangkan beban kewangan yang perlu dibayar oleh para graduan.

“Pengurangan yuran konvokesyen tersebut diberi secara automatik kepada semua peringkat pengajian ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, diploma lepasan ijazah, ijazah sarjana muda, program profesional dan diploma,” katanya.

Katanya melalui pengurangan yuran konvokesyen sebanyak RM40, para graduan hanya perlu membayar antara RM110 hingga RM190 sahaja.

Beliau berkata Pengurusan Tertinggi UiTM juga memutuskan sama ada istiadat konvokesyen secara fizikal boleh dilaksanakan atau tidak pada tahun ini adalah tertakluk kepada keadaan semasa.

“Justeru, keputusan muktamad mengenai kaedah konvokesyen yang dijalankan hanya akan diumumkan pada masa yang lebih sesuai dan suasana mengizinkan,” katanya.

Nora berkata bagi graduan yang membuat bayaran yuran konvokesyen akan dimaklumkan untuk mengisi e-Borang Pemulangan Yuran Konvo ke-93 bagi pemulangan RM40 manakala graduan yang belum membayar yuran konvokesyen, bil yuran akan dibatalkan dan akan dijanakan bil yuran yang baharu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM lapor polis, SKMM kes pelajar alami gangguan seks

SHAH ALAM, 18 JUN: Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memudahkan proses penyiasatan berhubung dakwaan gangguan seksual dilakukan oleh seorang tenaga pengajar terhadap beberapa pelajar yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Ketua Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM Nora Noordin berkata universiti itu juga mengarahkan jawatankuasa siasatan dalaman untuk meneliti dan menjalankan siasatan terperinci terhadap segala dakwaan yang bersangkutan.

“UiTM memandang serius dakwaan itu dan juga komited untuk menangani segala dakwaan yang dibangkitkan.

“Universiti sama sekali tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana staf yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan kuasa mereka sebagai staf kerana UiTM amat mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kualiti seluruh warganya, khususnya dalam mengamalkan budaya integriti dan profesional yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai, terutama ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kebajikan, keselamatan dan hal ehwal para pelajar adalah keutamaan universiti dan tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat mengikut peraturan dan ketetapan universiti sedia ada.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SELANGOR

PPV UiTM Puncak Alam mampu urus 5,000 suntikan vaksin sehari

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam di sini mampu mengurus sehingga 5,000 pemberian vaksin sehari secara berperingkat.

Pengarah hospital kampus itu berkata buat permulaan pihaknya menetapkan 500 individu disuntik sehari di PPV itu yang beroperasi secara rasmi hari ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, PPV berkonsepkan hibrid dilaksana dalam tempoh empat bulan hingga akhir Oktober ini membabitkan pemberian vaksin secara terus dan pandu lalu yang dijangka bermula dua minggu lagi.

“Konsep pandu lalu lebih memudahkan kerana penerima hanya perlu duduk dalam kereta, namun faktor cuaca perlu diambil kira, sekiranya hujan proses pemvaksinan mungkin sedikit sukar selain penerima perlu menjalani pemerhatian sekitar 15 hingga 30 minit,” kata Prof Dr Sazzli Kasim ketika ditemui.

Sementara itu, beliau yang juga ketua projek PPV memaklumkan untuk peringkat awal, antara 40 hingga 50 peratus penerima vaksin adalah warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) berusia lebih 60 tahun yang menerima vaksin Sinovac.

Selain institusi itu, dua lagi universiti awam turut menyediakan perkhidmatan sama iaitu Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad hari ini memaklumkan perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu di PPV berskala mega di UiTM Kampus Puncak Alam akan mula beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemberian vaskin pandu lalu dibuka di UiTM Puncak Alam

SHAH ALAM, 7 JUN: Perkhidmatan pemberian vaksin secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, akan mula beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata UiTM merupakan antara tiga universiti awam yang akan menyediakan perkhidmatan itu untuk golongan yang memerlukan terutama warga emas dan Orang Kurang Upaya. Dua lagi universiti ialah Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katanya perkhidmatan pandu lalu itu merupakan pelaksanaan pemberian vaksin secara hibrid yang bakal dilaksakan di PPV terpilih selain pemberian vaksin secara prosedur biasa iaitu dengan mendapatkan vaksin di dalam dewan atau tempat yang disediakan.

Sementara itu, Noraini berkata PPV berskala mega di UiTM Puncak Alam yang beroperasi bermula hari ini seawal 8 pagi hingga 5 petang setiap hari, mempunyai kapasiti dewan sehingga 1,500 orang pada satu-satu masa.

“Perkhidmatan ini dijangka mampu menyediakan 5,000 pemberian vaksin sehari dengan penglibatan 200 kakitangan,” katanya pada sidang media selepas melawat PPV Berskala Mega di UiTM Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noraini berkata selain cadangan untuk membuka 19 PPV di Institut Pengajian Tinggi bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, kementerian juga bercadang membuka PPV di politeknik dan kolej komuniti terpilih yang bersesuaian.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

UiTM anjur pertandingan filem pendek, tawar hadiah RM33,000

SHAH ALAM, 23 MEI: Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Perdana menganjurkan pertandingan filem pendek dan tarian yang terbuka kepada orang awam hingga 15 Jun.

Acara kendalian Fakulti Filem, Teater dan Animasi bertemakan “Unleashing Creative Wonders” meliputi
pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, seni dan ruang awam serta normal baharu.

Pemenang pertama bakal memenangi wang tunai RM5,000, sijil dan trofi, tempat kedua (RM3,000, sijil dan trofi) sementara RM1,000, sijil dan trofi untuk tempat ketiga.

Sementara Anugerah Pilihan Khalayak menerima RM3,000, sijil dan trofi. Keseluruhannya, sejumlah RM33,000 disediakan buat semua pemenang.

Keputusan akan diumumkan pada majlis kemuncak Wave Awards 2021 yang bakal berlangsung pada 9 Julai secara dalam talian.

Pertandingan itu turut mendapat kerjasama Yayasan Hasanah dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahu lindungi keluarga, pelajar UiTM pilih raya di kampus

SHAH ALAM, 12 MEI: Pengorbanan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam di sini yang memutuskan untuk tidak pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman diharap mampu melindungi keluarga masing-masing daripada jangkitan wabak Covid-19.

Seorang daripada pelajar yang mengambil keputusan untuk beraya di Kolej Kediaman Perindu, UiTM Hanafi Hanizan, 21, berkata antara sebab utama beliau tidak balik beraya ke Kota Tinggi, Johor pada tahun ini adalah demi kesejahteraan bersama.

“Kita dapat tahu bahawa sekarang kes semakin naik, jadi kita tidak mahu menjadi penyumbang kepada peningkatan kes bagi negeri Johor pula.

“Kita dari Selangor ke Johor takut kita nanti bawa kes pulak, jadi itu yang dikatakan kesejahteraan bersama untuk kita memerangi Covid-19,” ujar pelajar semester pertama jurusan Juruukur Bangunan itu kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di UiTM mendapati pelajar yang mengambil keputusan untuk tidak pulang beraya di kampung masing-masing membuat persiapan menyambut Aidilfitri di kolej kediaman mereka termasuk memasang pelita.

Bagi Faizal Happipi Japar, 23, pelajar semester ketiga jurusan Sains Sukan dari Nabawan, Sabah berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara akan menjadi pengalaman yang berguna satu hari nanti.

“Beraya tanpa keluarga tidak mengapa sebenarnya, kerana suatu hari nanti kita juga akan mengalami pengalaman ini. Jadi nasihat saya agar mereka kekal tenang sebab semua ini tidak dapat dielak,” katanya yang sudah tiga tahun tidak balik beraya di kampung halaman.

Bagi Pengetua Kolej Kediaman Perindu UiTM Shah Alam, Sumardianshah Silah, 36, berkata pelajar dari Sabah dan Sarawak merupakan pelajar yang paling ramai tidak pulang berhari raya pada tahun ini.

Beliau berkata untuk sambutan hari raya esok, pihak UiTM telah menempah juadah Aidilfitri untuk membolehkan para pelajar turut merasai suasana sambutan perayaan itu bersama rakan-rakan sekolej.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM sedia pusat kuarantin pelajar dari kawasan PKP

SHAH ALAM, 8 MEI: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyediakan pusat kuarantin khusus untuk pelajar dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kembali ke kampus selepas Aidilfitri.

Timbalan naib canselor (akademik dan antarabangsa) berkata kuarantin selama 10 hari membabitkan seramai 7,000 pelajar dari seluruh kampus universiti itu, lapor Berita Harian.

“UiTM akan memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terjamin. Pelajar diberi pilihan untuk mendapatkan makanan harian melalui pihak penyedia makanan disediakan,” kata Prof Dr Roziah Janor.

Beliau turut memberi jaminan tidak berlaku kekangan tempat berikutan sesi pengajian semester ini masih dijalankan secara dalam talian.

Dr Rodziah berkata pihak kampus dan fakulti juga menyusun jadual untuk pelajar kembali ke kampus secara berperingkat mengikut keperluan akademik masing-masing.

Lebih 16,000 pelajar UiTM di seluruh kampus dihantar pulang ke rumah masing-masing sempena sambutan Aidilfitri mulai 7 hingga 12 Mei.

Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM hantar pulang pelajar sempena Aidilfitri mulai Jumaat

SHAH ALAM, 3 MEI: Penghantaran pulang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke rumah masing-masing sempena sambutan Aidilfitri akan bermula Jumaat ini hingga 12 Mei dengan jangkaan melibatkan lebih 16,000 pelajar dari seluruh kampus.

Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menyediakan lebih 200 kenderaan melibatkan bas, kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kereta untuk melancarkan pergerakan pelajar ke seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, penghantaran pulang pelajar akan melibatkan keseluruhan 30 kampus dengan disertai lebih 700 kakitangan.

“Pihak UiTM akan mengagihkan bilangan kenderaan yang diperlukan oleh semua kampus mengikut zon setelah kesemua pelajarnya melengkapkan borang selidik yang telah diedarkan,” menurut kenyataan itu.

Proses penghantaran pulang pelajar turut melibatkan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Perwakilan Kolej serta pelbagai jabatan bagi memastikan kelancaran dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan.

Bagi pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus, pihak UiTM akan terus menyantuni mereka sebaik mungkin agar suasana Aidilfitri turut diraikan bersama-sama, menurut kenyataan terbabit.