Categories
NASIONAL

Izzah dahului pencalonan Naib Presiden PKR

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MEI: Keputusan Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan penyandang Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar berada di depan dengan 13,013 undi, manakala Tian Chua pula 11,845 dan calon baru, Rafizi Ramli pula 10,561 undi, sehingga 4 Mei lalu.

Keputusan itu menunjukkan Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR bakal mengisi salah satu kerusi naib presiden dalam parti berkenaan.

Tujuh lagi calon naib presiden yang berada di tangga teratas daripada 16 calon yang merebut jawatan itu adalah Baru Bian dengan 7,210 undi, Shamsul Iskandar Mohd Akin (7,161), Dr Xavier Jayakumar (6,776), Fuziah Salleh (5,955), Lee Chin Cheh (4,814), Mustaffa Kamil Ayub 94,381) dan N Surendran (2,533).

nurul izzah ipad 01Sementara itu, persaingan merebut jawatan Timbalan Presiden semakin sengit apabila Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim memintas undian Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dengan undian 6,217 berbanding 5,717 undi diperoleh Saifuddin.

Persaingan merebut jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga menyaksikan saingan sengit apabila tiga calon saling bersaing untuk jawatan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari berada di kedudukan teratas dengan 1,619 undi diikuti dengan ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan 1,540 undi, manakala Mohd Nazree Yunus pula 1,036 undi.

Tiga calon itu sebelum ini pernah mengadakan sesi perdebatan dengan membawa ideologi masing-masing dan mendapat pujian Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

rodziahPerebutan bagi jawatan Ketua Wanita PKR pula menyaksikan dua calon hanya terpisah dengan 500 undi apabila penyandang jawatan itu, Zuraida Kamaruddin mendahului 3,180 undi dan ADUN Batu Tiga, Rodziah Ismail memperoleh 2,626 undi.

Rodziah sebelum ini berkata, saingan sengit itu membuktikan beliau calon yang berkelayakan di samping penerimaan ahli parti terhadap kepimpinannya.

Selain itu, bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pula, Fariz Musa mendahului dengan 11,934 undi diikuti Ketua Biro Guaman PKR, Latheefa Koya (10,037) dan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong (9,784).

Tujuh lagi yang mencatatkan undian tertinggi daripada 78 calon yang bertanding adalah Christina Liew dengan 9,489 undi, Ali Biju (9,285), Sim Tze Tzin (9,147), William Leong (9,059), Gooi Hsiao Leung (9,010), Abdul Yunus Jamahri (8,934) dan Dr Yaakob Sapari (8,737).

Pada 10 dan 11 Mei ini, bakal menyaksikan pengundi di cabang Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur akan menjalankan tanggungjawab mereka sebelum keputusan penuh diperoleh.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.