Categories
NASIONAL

Kehadiran Fu Wa, Feng Yi dikecam warga laman sosial

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 MEI: Ketibaan pasangan panda dari China, Fu Wa dan Feng Yi yang dipinjamkan kepada Malaysia untuk tempoh 10 tahun mendapat pelbagai reaksi negatif daripada masyarakat serta pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terutama di laman sosial.

Kebanyakan mereka meluahkan rasa tidak puas hati atas tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilihat sekali lagi melakukan pembaziran melampau dengan membayar sekitar RM3 juta setiap tahun untuk membela haiwan berkenaan.

hannahyeohSpeaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh dalam twitternya menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang selalu ‘berdiam diri’ dalam menyelesaikan pelbagai isu di negara ini tetapi begitu ‘terbuka’ dan ‘teruja’ untuk menamakan pasangan panda berkenaan.

“Perdana Menteri kita selalu berdiam diri dalam pelbagai isu teras di negara ini tetapi tiada masalah untuk bercakap berkenaan panda dan menamakan mereka. Mengapa beliau bertindak begitu?” soalnya di twitter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kapayan, Dr Edwin Bosi dalam twitternya pula menyelar kerajaan BN yang mampu membelanjakan jutaan ringgit untuk membayar harga pinjaman panda dari China tetapi rakyat miskin di Sabah terus diabaikan.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli pula secara sinis berkata, “Janganlah kutuk panda, bukan salah dia. Kutuk menteri yang belanja duit rakyat,” tulisnya di twitter.

Najib pandaSelain twitter, Facebook milik Najib turut dipenuhi dengan komen dan pendapat orang ramai yang kebanyakannnya meluahkan rasa tidak puas hati mereka berhubung tindakan kerajaan kerana disifatkan tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Seorang pengguna, Nazarul Mohd Syafiq, berkata kebanyakan Perdana Menteri yang pernah memerintah Malaysia masing-masing ada membawa kemajuan kepada negara berbanding Najib yang hanya membawa panda berharga jutaan ringgit.

“Perdana Menteri dulu memerintah ada bangunan pencakar langit, lapangan terbang bertaraf antarabangsa dan pelbagai lagi tetapi bila Najib memerintah (beliau) hanya ada panda berharga jutaan tinggit yang tiada manfaat kepada rakyat langsung,” katanya.

Seorang lagi pengguna yang dikenali sebagai Deep Six Malay berkata, “panda di zoo disusukan, rakyat sendiri mati kelaparan.”

Dengan kehadiran dua ekor panda itu, dianggarkan Malaysia akan menangung beban kos RM70 juta selama 10 tahun untuk menjaga haiwan terbabit.

Perkara itu dilaporkan seperti dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China, pada 15 Jun 2012.

Panda-gergasiUntuk menempatkan pasangan panda, dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara membabitkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.

Dilaporkan, sejumlah RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), manakala bakinya oleh kerajaan.

Pasangan panda berkenaan tiba di terminal MASKargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam dan ia diterbangkan dengan penerbangan khas dari China dengan menggunakan pesawat yang dihiasi gambar panda.

Jika dua panda itu membiak, Malaysia perlu membayar China RM2 juta dan hanya boleh menyimpan bayi panda berkenaan untuk tempoh dua tahun sahaja.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.