Categories
NASIONAL

Kes APA, kerajaan tidak patut bazir wang rakyat

SHAH ALAM, 7 MEI: Kerajaan Pusat tidak perlu membazirkan wang rakyat dengan mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dengan pertuduhan sama selepas ditolak, 12 hari lalu.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata seseorang itu tidak boleh didakwa dengan kesalahan yang sama jika beliau dibebaskan mahkamah dan hal itu menyebabkan Nik Nazmi dikenakan pendakwaan dua kali.

Nik Nazmi, 32, pada awalnya didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa gagal memberi notis sepuluh hari kepada polis sewaktu penganjuran himpunan ‘Black 505’, tahun lalu.

niknazmiBeliau dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Rayuan, pada 25 April lalu dan dibebaskan sekali lagi oleh Mahkamah Sesyen semalam, selepas beliau didakwa semula.

“Ia tidak kena daripada segi undang-undang untuk mendakwa beliau semula dengan tuduhan sama. Perkara itu membazirkan wang orang ramai,” katanya dipetik daripada Malaysia Kini.

Semalam, Hakim Yasmin Abdul Razak membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan peguam N Surendran untuk menghalang Nik Nazmi daripada dibicarakan semula.

Katanya, pendakwaan perlu meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan atas keputusan Mahkamah Rayuan dan tidak memfailkan kes baru di Mahkamah Sesyen.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.