Categories
NASIONAL

Kesatuan Eropah seru kerajaan hormati kebebasan akhbar

SHAH ALAM 3 MEI: Kesatuan Eropah (EU) menyeru semua kerajaan supaya menghentikan perbuatan mengugut, menekan, menapis dan menahan dengan sewenang-wenangnya terhadap golongan wartawan.

Wakil Peringkat Tinggi EU Bagi Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan Catherine Ashton berkata kewujudan media yang bersifat terbuka, pelbagai dan bebas adalah antara asas penting bagi pembentukan masyarakat demokratik kerana ia menyumbang ke arah memudahkan pengaliran maklumat serta idea secara bebas dan menjamin ketelusan serta kebertanggungjawaban.

media“Usaha melindungi wartawan perlu juga meliputi sokongan yang diberi kepada petugas dan pihak lain yang menggunakan media untuk menemui khalayak ramai,” kata Ashton dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena sambutan ulang tahun ke-21 Hari Kebebasan Akhbar Sedunia hari ini.

Kenyataan itu menyebut di samping mewujudkan cara baharu untuk meningkatkan kebebasan bersuara, inovasi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi juga membawa bersamanya cabaran baharu.

Sejajar dengan itu, katanya EU dengan tegas menentang sebarang sekatan tidak wajar yang dikenakan terhadap internet dan media baharu lain kerana hak asasi manusia yang wujud secara di luar talian juga perlu dilindungi seperti hak manusia yang terdapat secara dalam talian.

“Tidak lama lagi, EU akan mengguna pakai Garis Panduan EU mengenai Kebebasan Bersuara Secara Dalam Talian dan Luar Talian bagi menangani sekatan tidak wajar yang dikenakan terhadap kebebasan bersuara dan meningkatkan kebebasan media serta menyediakan garis panduan yang amat penting bagi para pegawai dan petugas EU di seluruh dunia,” katanya. –

Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.