Categories
RENCANA WAWANCARA

Covid-19 ubah landskap berita misi kemanusiaan

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan lebih 235 juta orang di seluruh dunia memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan pada tahun ini, iaitu peningkatan kepada satu dalam 33 orang berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Penularan pandemik Covid-19 memburukkan lagi situasi kerana jangkitan virus maut itu turut memberikan kesan hebat terhadap mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan di kawasan krisis, baik akibat konflik bersenjata, kesihatan mahupun bencana alam.

Turut terkesan ialah organisasi media yang mana menurut penganalisis keselamatan dan politik Dr Noor Nirwandy Mat Noordin, merupakan antara pemain terpenting dalam pelaporan krisis kemanusiaan.

Menurut pensyarah kanan di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara itu, penularan Covid-19 memaksa kerajaan-kerajaan di dunia mengubah dasar mereka dan tadbir urus di negara masing-masing menjadi lebih ketat, merangkumi semua aspek termasuk hal berkaitan misi kemanusiaan.

“Untuk menangani cabaran ini, sesebuah organisasi media perlu terus peka dengan perkembangan perubahan tadbir urus global itu, selain menjadikannya penanda aras baharu untuk media, selaku pengantara di antara kawasan konflik dan masyarakat antarabangsa, bagi membaiki tatacara operasi piawai (SOP) pelaporan berita mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Susun strategi sesuai

Noor Nirwandy berkata untuk memudahkan pelaporan berita, organisasi media perlu memahami tiga garis panduan yang dibentuk oleh PBB, iaitu penjagaan hak asasi manusia, kemajuan manusia dan keselamatan kemanusiaan.

“Berlandaskan tiga garis panduan ini, organisasi media boleh menyusun strategi bagi menterjemahkan isu dan krisis kemanusiaan yang berlaku itu dalam bentuk penyampaian berita yang mudah difahami masyarakat umum. Bukan mudah untuk pembaca (audiens) memahami punca sebenar sesuatu krisis serta bentuk bantuan yang diperlukan penduduk di kawasan terjejas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata media juga perlu menjadikan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB sebagai antara panduan utama dalam pelaporan berita berkaitan krisis kemanusiaan agar isu tersebut terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat umum.

Setiausaha Agung MAPIM Zulhanis Zainol (tiga, kiri) menyampaikan bantuan barangan keperluan seperti gasolin, selimut dan pek makanan spada Misi Bantuan Kemanusian Musim Sejuk ke-10 dan ke-11 di kem pelarian Beyrouti, Beqaa Tengah pada 5 April 2019. Foto BERNAMA

Menurutnya, ini kerana hati manusia pada amnya mudah tersentuh apabila melihat ada manusia lain berada dalam kesusahan walaupun berbeza kewarganegaraan, bangsa dan agama.

Sehubungan itu, katanya, menjadi tanggungjawab organisasi media untuk terus melaporkan dan menyalurkan berita berkaitan krisis kemanusiaan di dalam dan luar negara.

“Kita ambil contoh berdasarkan sasaran ke-16 SDG, iaitu keamanan, keadilan dan institusi yang kukuh. Organisasi media di Malaysia khususnya boleh menterjemahkan pelaporan mereka dalam bentuk komparatif, iaitu membandingkan elemen kemanusiaan yang sedang tergugat di sesebuah negara berisiko tinggi dengan situasi di negara kita.

“Dari situ kita dapat lihat adakah negara kita berada di landasan terbaik dalam membantu mereka yang memerlukan, berdasarkan pada usaha-usaha dan bantuan kemanusiaan yang telah kita salurkan,” katanya.

Lancar perang saraf

Noor Nirwandy turut berpandangan sudah tiba masa untuk organisasi media memulakan perang saraf bagi mendidik ahli masyarakat bahawa krisis kemanusiaan yang berlaku merupakan ancaman serius kerana melibatkan kelangsungan dan ketamadunan manusia untuk jangka panjang.

Jelas beliau, perang saraf boleh dijadikan sebagai antara instrumen propaganda positif yang diharap dapat membuka mata dan memahamkan masyarakat bahawa pengurusan krisis kemanusiaan merupakan tanggungjawab sosial komuniti global.

Selain itu, Noor Nirwandy berkata ada sembilan teras keselamatan negara di bawah Dasar Keselamatan Negara (DKN) yang perlu difahami oleh organisasi media di negara ini untuk diterjemahkan dalam pelaporan berita mereka agar artikel yang disiarkan tidak memburukkan imej mahupun menggugat keselamatan negara.

“Oleh itu, apabila laporan sesebuah berita itu sudahpun mematuhi konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC) seperti yang termaktub di bawah DKN, sekali gus ini boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman berkaitan, termasuk krisis kemanusiaan, agar negara kekal aman, tenteram dan berdaulat,” tambahnya.

Mengulas lanjut tentang cabaran baharu yang dihadapi oleh dunia media moden, Noor Nirwandy berkata penularan pandemik Covid-19 misalnya, mengubah landskap pemberitaan dan hal ini menuntut organisasi media beradaptasi dan membina rangkaian perhubungan yang lebih luas, membabitkan kerajaan luar dan agensi keselamatan yang berkenaan.

“Namun, harus dipastikan rangkaian kita itu ialah sumber yang diiktiraf dan mempunyai kredibiliti, dengan itu memudahkan proses pelaporan berita yang benar dan menyeluruh. Rangkaian perhubungan yang cukup besar turut membolehkan media mewujudkan satu segmentasi berbentuk perisikan untuk mendapatkan persepsi orang ramai terlebih dahulu terhadap sesuatu krisis kemanusiaan.

“Media juga perlu memastikan pemberita mereka mendapat akses kepada naskhah dan manual keselamatan kendiri mengikut piawaian antarabangsa serta memahami asas persekitaran yang dilihat boleh menimbulkan ancaman keselamatan.

“Selain itu, wartawan juga harus diberikan latihan kecemasan dan kawal selia kendiri sekiranya berlaku kecemasan. Perbanyakkan juga kursus keselamatan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan supaya mereka boleh mempersiap diri mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika menjalankan tugas di kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Hayati erti tugas

Sementara itu, bekas pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Syed Azwan Syed Ali menasihati pengamal media agar mendalami erti profesion mereka, iaitu melaporkan perkara yang benar secara objektif dan bermanfaat kepada masyarakat umum, bukan sekadar mencari bahan berita.

Berkongsi pengalamannya sepanjang 16 tahun menjadi pemberita termasuk menyertai beberapa misi kemanusiaan di zon konflik, beliau berkata antara yang paling penting ialah mengkaji terlebih dahulu isu kemanusiaan serta situasi di kawasan yang bakal dituju.

“Sediakan pelan kontingensi kendiri untuk sebarang kemungkinan, selain memastikan telefon bimbit dan capaian Internet berfungsi dengan baik,” katanya yang pernah bertugas di beberapa organisasi media tempatan.

Seorang rakyat Palestin mengebarkan bendera tanda solidariti buat negaranya di Washington, Amerika Syarikat pada 18 Mei 2021. Foto AFP

Selain itu katanya wartawan juga perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal sebagai persiapan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pascatrauma.

“Wartawan mungkin lalui pascatrauma selepas liputan di zon konflik dan bencana. Saya sendiri pernah tengok mayat, budak kecil makan tanah, terperangkap dalam insiden tembak-menembak dan mereka yang cedera teruk sebab perang. Ada mangsa putus tangan, jadi macam mana nak tangani situasi ini,” katanya.

Menurutnya, antara insiden yang tidak boleh dilupakan ialah beliau pernah diacu pisau dan senjata oleh tentera pemisah ketika menyertai Tim Misi Kemanusiaan Mercy Malaysia ke Yaman pada penghujung 2019.

“Kira-kira 11 malam hari kejadian, tim kami ditahan di sebuah pusat pemeriksaan di bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman. Pemandu kami yang juga warga tempatan dipukul oleh anggota tentera terbabit akibat salah faham, sementara beg kami digeledah. Mujurlah kami semua selamat,” katanya.

Pengalaman yang diraih membolehkan wartawan menjadi mata, telinga dan suara masyarakat yang lebih baik, khususnya menerusi pelaporan berita yang objektif dan adil.

Laporan-laporan sebegini berupaya membantu masyarakat membuat pertimbangan dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mengurangkan kesan krisis dalam kalangan mereka yang terjejas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tahap kerjasama masyarakat perangi rasuah meningkat

PUTRAJAYA, 4 MEI: Tahap kesanggupan, kesediaan dan kerjasama masyarakat untuk bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi rasuah meningkat setiap tahun sejak 2018, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Menerusi kajian Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah yang dilakukan oleh SPRM, tahap kesanggupan masyarakat pada 2018 direkodkan pada kadar 82 peratus dan ia meningkat kepada 82.7 peratus pada 2019 dan 86.3 peratus pada tahun lepas, katanya.

Bagi tahap kesediaan masyarakat pula, pada 2018 adalah sebanyak 81.1 peratus dan meningkat kepada 82.1 peratus pada 2019 dan 85.6 peratus pada tahun lepas.

“Tahap kerjasama masyarakat bersama SPRM pula, pada 2018 adalah sebanyak 81 peratus diikuti 81.8 peratus pada 2019 dan 84.6 peratus pada tahun lepas,” katanya ketika berucap pada program Strategic Engagement dengan media Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia di sini semalam.

Menerusi kajian itu juga, katanya tahap pengetahuan masyarakat mengenai rasuah meningkat setiap tahun iaitu pada 2018 sebanyak 72.5 peratus, 2019 (74.3 peratus) dan 2020 (77.7 peratus).

Pada majlis itu, beliau berterima kasih kepada media atas liputan, laporan dan artikel berkaitan SPRM dan pencegahan rasuah yang meluas dengan sebanyak 32,132 artikel dan laporan berkaitan SPRM dan rasuah telah disiarkan menerusi medium media cetak, televisyen, radio dan portal berita sepanjang tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8,486 disiarkan di media cetak, 4,266 di televisyen, 345 di radio manakala 19,035 pula menerusi portal berita, katanya.

Shamshun Baharin berkata setiap peranan SPRM perlu diperjelaskan lagi kepada umum secara berterusan supaya tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM terus meningkat.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Cabaran ranah media, penuh gimik dan propaganda

Dari kaca mata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang disiarkan dalam akhbar SelangorKini edisi 1 hingga 7 April 2021.

Saban hari kita mendengar teknologi berkembang, datang dan pergi. Ada yang digunakan dengan meluas dan menyebabkan teknologi terdahulu terpinggir. Kita boleh lihat persaingan seawal ciptaan arus terus (DC) Thomas Edison dan arus ulang alik (AC) Nikola Tesla.

Persaingan demi persaingan ini mampu mengubah mendadak, menjadi pencorak aturan main (game-changer) kepada industri. Landskap media tidak terkecuali. Daripada penciptaan kertas yang membawa kepada selembaran dan akhbar sehingga pancaran radio dan siaran televisyen yang menjuarai buletin berita dan dokumentari.

Teknologi lama perlahan-lahan pergi, kurang relevan lagi kepada pengguna. Kini media sosial mengubah aturan main, hampir-hampir saja menguasai seluruh kegiatan masyarakat dan menjadi saluran hegemoni dalam wacana awam.

Dalam perubahan tersebut, beberapa syarikat sempat menjadi gergasi dan menelan yang lain. Manakala yang lain-lain terus-menerus cuba melawan arus.

Begitulah media massa dan teknologi dalam simpang siurnya. Masing-masing medium seperti majalah atau siaran satelit bertujuan mengaut komoditi yang sama – tempoh tumpuan khalayak. Dalam masa sama, poket kita turut menipis apabila setiap masa diasak dengan iklan demi iklan tanpa disedari.

Dengan lambakan aplikasi seperti Facebook, Instagram, Snapchat, WeChat dan TikTok, padang permainan kelihatan hampir sama rata. Aplikasi yang berjaya membolot perhatian warga maya dan memiliki kesetiaan khalayak akan menjadi juara tidak tertanding, clear winner. Sehinggalah ‘takhta’ itu dirampas dengan kemunculan aplikasi lain.

Kuasa media sosial

Ledakan kemarahan rakyat secara spontan dalam siri tunjuk perasaan di beberapa negara seperti Tunisia, Amerika Syarikat, Thailand dan terkini Myanmar membuktikan betapa media sosial ini tidak lagi dipandang enteng oleh pemerintah.

Sesiapa sahaja yang cuba meraikan khalayak (atau untuk parti politik, rakyat) memang akan bersilat dalam seribu satu aplikasi dengan seribu satu pantang larangnya. Masing-masing mempunyai demografi berbeza, dengan Facebook kini dilihat mewakili orang berumur, sementara TikTok menjadi wahana kegemaran remaja. Antara dua arus ini, masih terdapat mereka yang berlawan kata di Twitter atau mempamerkan gaya hidup di Instagram.

Itulah cabaran masa kini. Artis yang mahu terkenal harus kreatif dengan pelbagai gimik, sama ada konvensional atau tidak. Malahan banyak yang memilih jalan kontroversi. Yang meniaga akan cuba segala macam cara untuk menjual produk. Begitu juga ahli politik, kalau tidak berhati-hati, habis semua cerita dalam kelambu menjadi bualan umum!

Namun, perkara ini tidak terhad kepada individu sahaja. Nama baik sesebuah institusi boleh harum atau hancur sekelip mata gara-gara media sosial. Pemerintah terpaksa mengurus tanggapan negatif mereka yang diperintah dengan baik. Semua program bukan sahaja mesti dilaksanakan dengan jayanya, malah mereka dituntut menjelaskan kepada rakyat segala kebaikan usaha itu.

Kebaikan tidak diterima begitu sahaja. Di sini propaganda akan menyusup masuk, maklumat keliru, separuh benar atau kabur berselang-seli dengan berita palsu. Fitnah mudah berkembang, kebaikan diabaikan kalaupun tidak diragui.

Hanya dengan naratif separa masak atau keliru, banyak teori konspirasi berjaya mendapat tempat dalam benak rakyat. Kita dapat saksikan betapa sebahagian masyarakat kita termakan dengan propaganda bumi rata atau dakyah kononnya Malaysia dalam bahaya walau hujah mereka tidak berpijak di bumi nyata.

Cabaran sebegini, sekiranya tidak ditangani dengan hikmah, akan membawa kepada perpecahan dan timbul kecurigaan dalam kalangan masyarakat. Dengan cabaran terbaharu wabak, golongan antivaksin menjadi penghadang kejayaan program imunisasi Covid-19 di negara kita.

Wajah baharu

Selangor merintis jalan tersendiri dengan memperkenalkan Enakmen Kebebasan Maklumat seawal 2011 lagi. Langkah ini membolehkan rakyat mendapat akses kepada dokumen awam dan menyemak sendiri kesahihan dakwaan pemerintah. Berasaskan tunjang idealisme reformasi seperti ketelusan, kebertanggungjawaban dan keberupayaan, negeri ini juga antara pertama di Malaysia menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) bagi memberikan ruang untuk maklum balas awam terhadap isu-isu penting.

Usaha menyampaikan maklumat sahih terus menjadi tumpuan dalam kederasan berita yang kadang-kadang menyesakkan. Untuk itu, Media Selangor Sdn Bhd sebagai badan suara rasmi Kerajaan Negeri wajar terus diperkasa agar seluruh inisiatif yang dilaksanakan masuk ke dalam sanubari rakyat.

Dari Kuala Kubu Bharu hingga ke Cyberjaya, satu demi satu isu akan cuba dikupas sebaik-baiknya melalui teks, imej, grafik dan video bagi melawan sebarang salah faham atau kekeliruan yang ada kalanya sengaja ditimbulkan pihak lawan.

Dengan itu, saya mengucapkan tahniah atas usaha sidang pengarang Selangorkini menampilkan wajah baharu. Semoga dengan reka letak, bentuk huruf (font) dan gaya berbeza, akhbar ini dapat menangkap minat pembaca untuk mendalami isu yang dekat di hati mereka.

Categories
AGENDA NASIONAL

Geramm minta kurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan media

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Gerakan Media Merdeka (Geramm) meminta kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pemimpin politik agar mempertimbangkan sama ada perlu atau tidak mengadakan sidang media secara fizikal sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Geramm dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu berikutan perkembangan terkini kes positif Covid-19 melibatkan beberapa menteri, ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (ADUN) dan pengiring mereka yang secara tidak langsung mendedahkan pengamal media kepada risiko menjadi kontak rapat atau kontak kedua.

“Sebagai ganti, pegawai bertugas boleh menyalurkan maklumat dalam bentuk kenyataan media, live stream, video, foto atau audio mengikut keperluan masing-masing.

“Perlu ditegaskan ini tidak bermakna maklumat harus dikongsi dalam bentuk format berita untuk siaran, kerana setiap organisasi media berhak menentukan sudut berita masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan itu hari ini.

Memahami laporan media tidak boleh bersifat sehala, Geramm turut memohon kerjasama pihak berkaitan termasuk barisan jemaah menteri supaya membuka luas ruang buat pengamal media meminta penjelasan atau komen mengenai sesuatu isu, tanpa perlu bertemu secara langsung di sidang media.

“Kami menyambut baik apa-apa langkah yang diambil bagi menjamin kebajikan pekerja, selain terus berusaha untuk tetap menghasilkan laporan yang terbaik, selari dengan prinsip kebebasan media yang dijunjung,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Organisasi media dibenar beroperasi ketika PKP

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Operasi organisasi media bagi tujuan produksi program, berita, rencana dan kandungan tempatan untuk penyampaian maklumat dibenarkan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata bagaimanapun dalam tempoh itu operasi media yang berbentuk penyiaran lain seperti hiburan tidak dibenarkan.

Menurut beliau, bagi negeri yang terlibat dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, operasi organisasi media boleh diteruskan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Para petugas media yang merupakan antara barisan hadapan ketika negara berhadapan dengan situasi sukar ini diingatkan untuk terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam menjalankan tugas bagi melindungi diri serta menjaga keselamatan keluarga dan komuniti daripada ancaman Covid-19,” menurut Saifuddin.

Dalam pada itu, Saifuddin turut memaklumkan maklumat lanjut mengenai SOP sektor komunikasi (termasuk telekomunikasi dan internet, penyiaran, serta pos dan kurier), teknologi maklumat, e-dagang dan industri kreatif boleh didapati di laman sesawang www.kkmm.gov.my atau menghubungi talian penting Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di talian 03-89115351 (8.00 pagi hingga 10.00 malam).

Pelaksanaan semula PKP melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari hingga 26 Jan ini, diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Manakala PKPB akan dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan serta PKPP di Perlis dan Sarawak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM iktiraf media petugas hadapan, sebar maklumat sahih Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengiktiraf dan menghargai media sebagai barisan hadapan yang berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata selain menyampaikan dasar dan polisi kerajaan, peranan media amat penting terutama dalam menyampaikan maklumat dengan cepat dan tepat serta bertindak sebagai agensi yang membetulkan persepsi masyarakat.

“Saya dan KKM berpendapat media juga barisan hadapan, mereka (media) juga tempuh risiko, mereka juga lalui keperitan dan kesusahan. Justeru, saya dan KKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih atas usaha komitmen, kesungguhan, kesabaran ketabahan media.

“Nama baik KKM, barisan hadapan agensi-agensi kementerian terlibat, nama baik negara kita dibawa oleh rakan media…hari ini dunia mengiktiraf kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Ramah Mesra Media di sini semalam yang dihadiri kira-kira 120 pengamal media daripada pelbagai agensi.

Beliau berkata kejayaan Malaysia dalam membendung Covid-19 adalah usaha pelbagai pihak yang memainkan peranan masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Penganjur dinasihat sedia ruang cukup media, had hadir

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan menasihatkan penganjur yang memanggil liputan media supaya menyediakan ruang secukupnya atau mengehadkan kehadiran mereka pada satu-satu majlis, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penganjur juga perlu menyediakan tempat bertanda bagi mengelak petugas media bersesak-sesak sehingga tiada penjarakan sosial.

“Kita akan bincang dengan penganjur, (pada masa sama) media juga tahu SOP (tatacara operasi piawai) kalau nampak ruang sempit, tak perlu masuk dan penganjur kena hadkan jumlah media pada satu-satu masa,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gambar tular di media sosial menunjukkan sekumpulan petugas media bersesak-sesak di dalam masjid ketika mengambil gambar solat Jumaat, semalam.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya mendapati semua 25 masjid dan surau di Wilayah Persekutuan yang mula melaksanakan solat Jumaat semalam mematuhi SOP.

Beliau berkata pihaknya ada menerima aduan sebuah masjid di luar Wilayah Persekutuan yang tidak membenarkan jemaah masuk untuk solat di luar pekarangan masjid.

“SOP sudah dikeluarkan, nama yang tidak tersenarai (untuk solat di masjid) tak perlu pergi ke masjid. Kita juga setuju setiap kali solat Jumaat dan lain-lain polis serta anggota Rela akan kawal bagi memastikan pematuhan SOP,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan berlaku adil kepada media

SHAH ALAM, 14 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim gusar terhadap kebebasan media yang semakin terhakis termasuk halangan membuat liputan sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini.

Presiden KEADILAN berkata sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, semua media perlu diberi ruang dan tidak dizalimi.

“Saya juga gusar sedikit umpamanya Kerajaan Melaka kemudian Perak tidak izinkan media bebas hadir.

“Kita bukan negara kuku besi jadi berilah ruang. Kalau nak kata penjarakan sosial, adakan ruang kepada mereka (media) dan biarkan mereka ikuti serta buat liputan,” katanya dalam sesi siaran langsung di Facebook hari ini.

Kenyataan itu susulan hanya beberapa media rasmi kerajaan dibenarkan membuat liputan pada sidang pembukaan Parlimen yang berlangsung sehari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata perkara tersebut diputuskan Speaker dan di luar bidang kuasa kerajaan.

Sementara itu, Anwar yang juga ketua pembangkang berkata badan kehakiman bebas perlu dipertahankan selain memiliki agensi pembanteras rasuah bebas dan Parlimen berfungsi sebaiknya.

“Itu tunggak negara demokrasi. Kita mahu demokrasi tetapi yang kita laksanakan ialah ‘kerasi’ (kekerasan),” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Media harus hebah laporan berimbang – MB

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 26 MEI: Pengamal media perlu sentiasa menyampaikan laporan berita yang berimbang dan bertanggungjawab bagi memastikan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam landasan betul.

Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan konsep terbuka terhadap media dan bersedia menerima kritikan serta teguran.

Katanya, laporan berimbang penting bagi memberi ruang kepada Kerajaan Negeri menjelaskan sesuatu isu dan perkara dengan lebih jelas supaya tidak berlaku hanya serangan satu hala tanpa diberi ruang menjelaskan.

“Kesilapan kerajaan lalu adalah apabila mereka tidak diberi tahu perkara betul dan berita yang sampai kepada mereka merupakan berita sudah ditapis.

“Ia akan mengakibatkan kerajaan tidak dapat mencorak polisi dan membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat.

“Bersikap terbuka inilah semangat daripada Malaysia Baharu, kita mahu kesuburan demokrasi kerana ia adalah sebahagain daripada sumber penting kekuatan negara.

“Saya percaya melalui kebebasan media, kita akan memacu kepada kemajuan dan sebagai generasi baharu saya tidak bimbang atau curiga dengan kebebasan yang harus diberi kepada media,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama media di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, majlis itu diadakan bagi memperkukuhkan lagi hubungan diantara Kerajaan Negeri dan pihak media sekali gus merapatkan silaturahim.

Pada majlis terbabit turut diraikan adalah Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), pemain bola sepak pasukan Selangor FA, Selangor United dan PKNS serta anak-anak daripada Pertubuhan Amal & Kemanusiaan Selangor bersama Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Ukhuwah.

Sebelum berbuka, Amirudin sempat beramah mesra bersama tetamu yang hadir dan turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak daripada kedua sekolah terbabit.

Majlis yang dihadiri kira-kira 600 orang itu dimeriahkan dengan persembahan musik oleh Kumpulan Ghazal dan Gambus Kuala Lumpur.

Categories
NASIONAL

Tun M ucap tahniah ranking kebebasan media Malaysia melonjak

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan tahniah selepas kedudukan media Malaysia melonjak sehingga 22 anak tangga, untuk membolehkan ia menduduki tempat ke-123 dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2019.

“Sempena #WorldPressFreedomDay, saya mengambil peluang ini untuk memuji media Malaysia susulan kejayaannya membaiki kedudukan dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia.

“Kita berjaya melonjak sehingga 22 anak tangga untuk berada di tempat teratas dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Tenggara, dan kedudukan ke-123 dalam ranking dunia. Terima kasih dan tahniah,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook dan Instagram hari ini.

Beliau turut memuat naik tiga gambar yang memaparkan beliau sedang ditemuramah oleh media dan satu gambar beliau di hadapan kumpulan jurufoto.

Menurut indeks terbaru yang dikeluarkan oleh pertubuhan ‘Reporters Without Borders’ pada 18 April lepas, Malaysia menduduki tempat teratas dalam ranking itu dalam kalangan negara-negara di rantau Asia Tenggara.

Ia diikuti dengan Indonesia (tempat ke-124), Filipina (ke-134), Thailand (ke-136), Myanmar (ke-138), Kemboja (ke-143), Singapura (ke-151), Brunei (ke-152), Laos (ke-171) dan Vietnam ke-176).

Norway berada di tempat pertama dalam senarai ranking itu, diikuti dengan Finland di tempat kedua, dan Sweden di tempat ketiga.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata kejayaan membaiki kedudukan dalam senarai kebebasan media merupakan pencapaian yang amat penting dan mesti dijadikan pedoman, kerana tanpa media yang berfungsi dengan bebas, demokrasi hanya dapat mencipta ketidakadilan.

“Pemimpin dan wartawan mempunyai tanggungjawab bersama dalam membela dan memperjuangkan kebebasan setiap wartawan di Malaysia seiring dengan prinsip demokrasi yang kita utamakan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Media makin bebas, Malaysia lebih telus

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 MEI: Peringatan terhadap hari kebebasan media mempunyai makna kukuh dan praktikal serta bukan hanya percakapan di atas kertas.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana Malaysia berjaya menyediakan arena paling bebas, telus juga produktif di rantau Asia Tenggara.

“Buat kali pertama, Malaysia mencipta sejarah dengan mencatat peningkatan setinggi 22 tangga kepada 123 dalam senarai kebebasan media dunia oleh ‘Reporters Without Borders’.

“Ini adalah pencapaian yang amat penting dan mesti dijadikan pedoman kerana tanpa media yang berfungsi dengan bebas, demokrasi hanya dapat mencipta ketidakadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun, katanya, kebebasan media juga datang dengan tanggungjawab kepada fakta yang sah terutama pada era kesilapan maklumat dan pendapat yang tidak berfakta itu semakin menular.

“Pemimpin dan wartawan mempunyai tanggungjawab bersama dalam membela dan memperjuangkan kebebasan setiap wartawan di Malaysia seiring dengan prinsip demokrasi yang kita utamakan,” katanya.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 3 Mei sebagai Hari Kebebasan Media Sedunia bagi menimbulkan kesedaran berkenaan pentingnya kebebasan akhbar.

Selain itu, ia turut mengingatkan kerajaan akan tugas mereka untuk menghormati dan mendukung hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Artikel 19, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Categories
NASIONAL

Wan Azizah hargai media, hubung kerajaan dan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

CYBERJAYA, 21 APRIL: Peranan media disifatkan seperti mata pena yang lebih tajam daripada mata pedang kerana kemampuannya menyampaikan mesej yang membangkitkan pelbagai perasaan dalam diri pembaca.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, media juga menjadi jambatan penting menghubungkan antara kerajaan dan rakyat untuk menyampaikan sebarang dasar mahupun agenda.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada media kerana menjadi jurucakap kepada kerajaan dan rakyat di negara ini.

“Media boleh mengkritik tetapi haruslah bersandarkan kepada fakta,” katanya pada Majlis Minum Petang Media Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Bangsawan, Menara Hasil di sini, hari ini.

Katanya, media juga memainkan peranan penting dalam mendedahkan skandal kerajaan seperti 1Malaysia Development Berhad yang terkenal di seluruh dunia.

Dr Wan Azizah berkata, tugas media hari ini juga tambah mencabar dengan kewujudan media dalam talian, namun ia membolehkan laporan lebih cepat disampaikan kerana hampir semua rakyat memiliki telefon bimbit.

Ketika menyentuh cabaran pengamal media bertugas di lapangan, beliau melahirkan penghargaannya kerana kesanggupan golongan itu menempuh pelbagai cabaran dan rintangan.

“Demi mendapatkan berita, mereka terpaksa bersesak, berhadapan dengan pengawal peribadi, kejar ‘dateline’, karenah pegawai tidak berpuas hati dengan gambar dihasilkan dan lain-lain,” katanya.

Dalam majlis itu, Dr Wan Azizah meluangkan masa hampir dua jam beramah mesra dengan petugas media dan menariknya, beliau turut mencuba pelbagai permainan sukan dalaman.