Categories
KENYATAAN MEDIA

Kos Sara Hidup Naik: ABIM sokong Himpunan 1 Mei

Susulan dari bebanan kos hidup yang terlalu tinggi ditanggung oleh rakyat, ABIM secara terbuka menyatakan sokongan ke atas NGO yang menganjurkan “Himpunan 1 Mei Bantah GST” yang akan diadakan pada hari ini.

Sebagai sebuah NGO yang prihatin dengan masalah rakyat yang semakin kuat dijerut oleh bebanan kos sara hidup, ABIM merasakan sudah tiba masanya untuk kita sebagai rakyat menunjukkan isyarat jelas kepada pemerintah bantahan kepada GST yang akan menambahkan lagi kesempitan yang ditanggung kerana pilihan untuk mengurangkan bebanan rakyat sememangnya berada di tangan mereka.

Justeru, mengambil semangat dari kenyataan Perdana Menteri sewaktu kunjungan Presiden Barrack Obama bahawa pentadbiran beliau telah melakukan perubahan besar dalam sejarah negara dengan memberi kebebasan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berhimpun, Abim menyeru seluruh rakyat untuk bersama menyertai himpunan tersebut bagi membantah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST) yang akan diperkenalkan tahun hadapan.

abim-komen-gstABIM beranggapan bahawa keputusan pelaksanaan GST ini telah dibuat oleh pihak kerajaan tanpa memperduli situasi dan mengambil kira suara rakyat. Suatu yang tidak dapat diterima akal bila mana GST ini telah diluluskan terlebih dahulu dan kemudian baru dibuat program penerangan kepada rakyat yang hanya menjurus kepada kebaikan pelaksanaanya.

Sementara itu, kerajaan juga digesa untuk menangani masalah ketirisan dan pemborosan dalam perbelanjaan negara terlebih dahulu sebagai solusi terbaik bagi menambahkan sumber pendapatan negara daripada secara berterusan melihat percukaian sebagai satu-satunya jalan penyelesaian.

ABIM juga berpandangan bahawa pendapatan rakyat khususnya graduan muda perlu ditingkatkan terlebih dahulu sebelum GST dilaksanakan kerana permulaan kadar GST sebanyak enam peratus adalah tinggi berbanding dengan kebanyakan negara yang baru memperkenalkan GST yang rata-ratanya meletakkan caj sebanyak tiga peratus.

Masalah yang dialami rakyat khususnya orang muda di bandar adalah jumlah pendapatan mereka rata-ratanya sama banyak dengan kadar perbelanjaan bulanan dan hampir mustahil bagi mereka untuk membuat tabungan. Maka, sekiranya GST ini dilaksanakan, adakah mungkin ia akan memaksa mereka untuk terjebak dengan beban hutang tambahan sebagai jalan akhir menampung perbelanjaan?

Selain itu, berdasarkan pengalaman negara yang mengamalkan GST, kadar caj tersebut akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, GST diperkenalkan kepada negara Singapura pada 1 April 1994 dengan kadar tiga peratus. Namun, menjelang 1 Januari 2003, kadar tarif meningkat kepada empat peratus dan kemudiannya lima peratus, pada 2004 dan terkini tujuh peratus, sejak 1 Julai 2007.

Perkara yang sama juga berlaku kepada negara-negara lain termasuk New Zealand dari 10 peratus pada Oktober 1986 kepada 12 peratus pada Jun 1989 dan 15 peratus pada May 2010.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Setiausaha Agung ABIM

Leave a Reply

Your email address will not be published.