Categories
NASIONAL

Lembaga Disiplin PKR: Manikavasagam dan 7 yang lain digantung keahlian PKR

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 15 MEI: Mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi memutuskan calon Ketua Cabang Kuala Selangor, S.Manikavasagam dan tujuh yang lain digantung keahlian parti itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

Perkara ini diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR yang dipengerusikan calon dan penyandang Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali di Ibu Pejabat PKR, malam tadi.

Pemilihan 2014Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong, berkata Manikavasagam digantung kerana melanggar Perkara B.7 Tataetika Pemilihan iaitu ‘sebarang perselisihan berkaitan dengan pemilihan parti dilarang sama sekali dibawa kepada media atau dihebahkan kepada umum’.

“Beliau membuat kenyataan media yang menuduh calon Timbalan Presiden, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melakukan politik wang bagi pemilihan Cabang Kuala Selangor,” kata Dr Kee Kwong dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Manikavasagam didakwa membuat kenyataan media yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3 dan Berita Perdana di TV1 pada 11 Mei lalu.

Mesyuarat yang turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan lain-lain itu juga menggantung keahlian Mustapha Mohd Talib atas tuduhan mengugut menamatkan khidmat Manikavasagam sebagai Penyelaras DUN Bukit Melawati.

Selain itu turut digantung keahlian sehingga selesai siasatan, Bobinath a/l Vello dari Cabang Kuala Selangor, Monniza @ Sarimah Abdul Ghani (Kampar), Md Yusop Kamaruddin (Pasir Salak) dan Ahmad Jufliz Datuk Faiza (Setia Wangsa).

Kesemua mereka membuat kenyataan media kecuali Md Yusop atas dakwaan mengkritik Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) di laman sosial facebook beliau.

Tindakan terhadap keempat mereka dibuat selepas didapati melanggar Perkara B.7 Tataetika Pemilihan dengan menghebahkan perselisihan dalam parti kepada umum.

Sementara itu Gunasekaran a/l Kuppan pula dikenakan tindakkan sama di bawah Peraturan B.6 Tataetika Pemilihan selepas beliau dan beberapa penyokong bertindak agresif dengan merempuh pintu dewan pengundian Cabang Hulu Selangor dan menghentikan proses pengiraan undi.

Manakala turut dikenakan tindakan di bawah Peraturan B.6 Tataetika Pemilihan, Noor Azman Samsuri dari Tanjung Karang kerana terlibat menipu tandatangan pencadang, Basri Kasnon bagi pencalonan beliaui sebagai Ketua Cabang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.