Categories
SELANGOR

MPSJ bakal bergelar bandaraya

Oleh: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 8 MEI: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menghantar permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi menaik taraf pihak berkuasa tempatan (PBT) itu ke majlis bandaraya.

Yang Di Pertua MPSJ, DAtuk Asmawi Kasbi, berkata pihaknya memenuhi kriteria yang diperlukan untuk bergelar sebuah bandar raya, terutama dengan penarafan lima bintang yang dinobatkan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, MPSJ juga adalah satu-satunya PBT dalam daerah Petaling yang masih berstatus perbandaran berbanding Shah Alam dan Petaling yang sudah menjadi bandar raya.

05“Kita akan cuba buat permohonan secepat mungkin untuk dinaik taraf bergelar bandar raya, kita juga sudah lama bersedia untuk naik taraf ini.

“Kita juga ada asas kukuh untuk naik taraf kepada bandar raya. Namun, itu adalah keputusan daripada Kerajaan Pusat untuk dipertimbangkan, walau apa juga (keputusan) kita terima,” katanya dalam sidang media di Bangunan MPSJ, di sini, semalam.

Baru-baru ini, MPSJ diiktiraf sebagai PBT Gemilang dengan penarafan lima bintang oleh KPKT yang mengatasi lebih 100 PBT lain di seluruh Malaysia.

Selain MPSJ yang menerima markah tertinggi 90.3, turut diiktiraf sebagai PBT Gemilang adalah Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dengan markah 90.19.

Sebelum ini, MPSJ juga pernah tersenarai antara lima PTB terbaik di Malaysia melalui Sistem Star Rating PBT (SSR-PBT) yang dijalankan KPKT bagi menilai mutu perkhidmatan setiap PBT.

SSR-PBT bermula pada tahun 2008 melalui 352 indikator penilaian yang dibangunkan berdasarkan empat bidang utama iaitu pengurusan, perkhidmatan teras, pengurusan pelanggan dan penyertaan komuniti dan pandangan penduduk (pembabitan komuniti dan pandangan penduduk – Borang Soal Selidik).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.