Categories
SELANGOR

PAS Selangor tidak pernah arah ahli kutip wang pasar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 MEI: PAS Selangor tidak pernah mengarahkan ahli-ahlinya mengutip wang daripada peniaga pasar pagi dan pasar malam seperti yang didakwa pihak tertentu.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, sebaliknya bayaran sewa tapak pasar malam lazimnya dikutip Persatuan Penduduk di lokasi pasar malam itu diadakan.

PAS SELANGOR“Katakanlah pasar malam Damansara Damai yang diadakan di kawasan Apartment Permai, jadi Jawatankuasa Penduduk (JKP) Apartment Permai mengutip sewa tapak kerana kawasan itu dalam kawasan mereka.

“Biasanya dalam persatuan penduduk ni ada orang PKR, Umno, tak berparti, macam-macam latar belakang dan termasuklah juga orang PAS sendiri.

“Persatuan penduduk kutip untuk menambah wang tabung mereka bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan mereka, bukan untuk parti,” kata Khairuddin ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Tegas Khairuddin PAS Selangor juga tidak pernah menerima wang dari hasil kutipan sewa tapak pasar pagi dan pasar malam.

Khairuddin juga tidak menolak kemungkinan salah faham itu timbul apabila terdapat persatuan penduduk yang barisan ahli jawatankuasanya majoriti ahli PAS.

PAS Selangor akan memanggil ahlinya sekiranya terdapat bukti terlibat mengutip bayaran sewa tapak perniagaan pasar malam dengan menggunakan nama PAS.

“Jika terdapat bukti kukuh, PAS Selangor akan memanggil ahli PAS yang membuat kutipan haram untuk memberi penjelasan dan kemungkinan tindakan akan diambil.

“PAS Selangor yakin ahli-ahli PAS tidak akan berbuat sedemikian kerana pulangan kewangan menguruskan pasar-pasar itu adalah tidak berbaloi untuk PAS kawasan apatah lagi PAS Selangor dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan,” kata beliau lagi.

Menyentuh keputusan Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan tapak pasar pagi dan malam Khairuddin memberitahu PAS Selangor akan mengkaji sama ada tahap pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lebih baik berbanding JKP atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum ini.

“Dorongan utama bagi JKP dan JKKK mengurus pasar-pasar tersebut adalah agar kehadiran mereka dirasai oleh penduduk dan untuk memastikan tiada anasir-yang tidak diingini menyusup ke dalam kawasan mereka,” kata beliau lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.