Categories
NASIONAL

PAS tidak akan sertai BN, tiada agenda tersembunyi kerjasama hudud

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan PAS tidak akan sesekali menyertai Barisan Nasional (BN) walaupun berhadapan tentangan pendapat daripada sekutu Pakatan Rakyat (PR) berikutan pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993.

Penegasan itu dibuat ketika menjawab persoalan yang dilontarkan moderator program wacana anjuran Kumpulan Karangkraf, ‘Hudud: Bersediakah Kita’, Dr Maszlee Malik.

“PAS tidak akan masuk BN. Dalam soal hudud ini, PAS bekerjasama dengan Umno bukan untuk bergabung dengan mereka sebaliknya keadaan pada masa ini yang menunjukkan parti itu sebagai teras BN serta memegang tampuk pemerintahan negara.

mole-Pas-Hudud-3“Kita memerlukan kerjasama Umno kerana mereka pegang tampuk kuasa sebagai parti teras dalam BN dan itulah asasnya.

“Kalau kita memerintah malaysia, kita tidak mengharapkan sokongan Umno. Bila Umno menyatakan pendirian bersedia untuk memberikan laluan, maka kita ambil peluang yang ada, namun tidak ada niat atau agenda tersembunyi,” katanya.

Beliau turut mengakui perlaksanaan hukuman hudud mempunyai syarat yang ketat, namun Kerajaan PAS Kelantan sudah bersedia daripada segi mental dan infrastruktur.

“Kekeliruan dengan menganggap pelaksanaannya adalah hudud PAS adalah kekeliruan besar kerana ia adalah undang-undang yang merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

“Kalau Umno yang buat, mereka juga merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah. Kita tidak boleh kata hudud PAS atau Umno,” katanya.

nik mohd amar pasPada masa sama, Mohd Amar turut membidas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan Kerajaan Kelantan menyeleweng dalam isu balak dan menafikan perkara itu berdasarkan laporan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, Kerajaan Kelantan membuka ruang penyiasatan selama 25 jam sehari sejak pemerintahan Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaan isu balak, namun sehingga kini tidak ada bukti kukuh berhubung perkara berkenaan.

“Tidak ada penyelewengan balak. Semua pihak boleh mengkritik tetapi jangan fitnah,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.