Categories
NASIONAL

Pemilihan PKR: Keputusan berbeza, JPP perlu siasatan telus

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 MEI: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digesa mengadakan siasatan yang adil ekoran jumlah undian keputusan rasmi Pemilihan PKR 2014 sehingga 11 Mei yang disiarkan di web rasmi PKR semalam didakwa bercanggah dengan keputusan yang diterima wakil calon sebaik selesai proses pengiraan undi.

Sumber memberitahu Selangor Kini, terdapat lebih 30 cabang didapati keputusan rasmi yang disiarkan itu berbeza dengan jumlah undi yang disahkan ketika proses pengiraan undi selesai dijalankan.

Pemilihan 2014“Kalau keputusan di cabang-cabang ini boleh berbeza, tidak mustahil banyak lagi, khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang ada calon yang tidak dapat menghantar wakil calon untuk memantau proses pengundian dan pengiraan.

“Langkah menyiarkan keputusan semasa adalah baik, supaya ahli tidak mempersoalkan ketelusan JPP tetapi JPP perlu mengadakan siasatan rapi dan adil berhubung perbezaan ini bagi mengelakkan persepsi buruk,” kata beliau kepada Selangor Kini di sini, hari ini.

Antara cabang itu termasuk Cabang Kuala Terengganu apabila jumlah undi diperolehi calon Timbalan Presiden, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepatutnya 16 tetapi dinyatakan tujuh berbanding seorang lagi calon Mohamed Azmin Ali yang sepatutnya 14 menjadi 80 undi.

Cabang-cabang lain Mas Gading undi Abdul Khalid daripada 53 kepada 35; Marang, undi Azmin daripada 5 kepada 36 undian dan Kubang Kerian, Abdul Khalid daripada 212 kepada 96, Azmin daripada 212 kepada 107.

Beliau juga menjangkakan jumlah keputusan yang berbeza ini akan bertambah sebaik sahaja kerja semakan semula perbandingan antara keputusan rasmi dengan keputusan yang diterima dari pegawai JPP selesai dijalankan.

Sementara itu menurut satu sumber lain pula memaklumkan hasil semakan mereka mendapati keputusan yang diperolehi ketika proses pengiraan undi bagi Cabang Kota Bahru, Bukit Gantang, Kuala Krai dan Indera Mahkota turut berbeza dengan jumlah rasmi yang tertera di web rasmi parti itu.

Manakala memetik laman sosial facebook dan twitter milik ahli PKR, Badrul Hisham Shaharin, beliau mendakwa jumlah undi yang disahkan ketika selesai proses pengiraan di Cabang Kota Bahru menunjukkan Abdul Khalid memperolehi 64 undi; Saifuddin Nasution, 61 undi dan Azmin memperolehi 3 undi.

Manakala keputusan rasmi bagi cabang sama di web PKR pula menunjukkan perbezaan apabila Abdul Khalid tidak mendapat sebarang undian; Saifuddin 30 dan Azmin 59 undian.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.