Categories
SELANGOR

Penambahan trek basikal, realisasi misi Shah Alam jadi bandar sukan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus giat bergerak merealisasikan misi bergelar bandar sukan, sama ada melalui program dianjurkan juga melalui dasar pentadbiran dan pembangunan.

Datuk Bandar, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata usaha itu selaras dengan hasrat mewujudkan sebuah bandar raya maju dengan warga serta penduduk yang sihat sejahtera.

Katanya, MBSA mula melobi pembinaan trek basikal dalam Kebenaran Merancang (KM) projek pembangunan baru untuk mencapai hasrat itu.

mbsa“Antara lain kita mensyaratkan pembinaan trek basikal sepanjang 90 kilometer dalam KM pelan pembangunan Elmina West oleh pemajunya, Sime Darby.

“Mulanya, mereka tidak nampak apa yang kita mahu, tetapi apabila kita tunjuk, mereka faham dan bersetuju untuk melaksanakan.

“Mereka nampak trek itu bukan sekadar untuk basikal tetapi boleh jadi laluan pejalan kaki, berjogging, bawa ‘stroller’ anak dan aktiviti lain yang bermanfaat,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, MBSA juga rancak menganjurkan pelbagai program berbentuk sukan seperti pertandingan berbasikal, bola sepak remaja dan pertandingan badminton Piala Foo Kok Keong.

Pada masa sama, Mohd Jaafar berkata, MBSA kini juga sedang giat melobi pembinaan tempat letak basikal berkunci di empat daripada lapan stesen Bus Rapid Transit (BRT) yang akan dibina di Shah Alam.

MBSA basikal 02“Dengan itu, orang muda daripada kawasan sekitar boleh berbasikal sahaja untuk ke stesen BRT sebelum ke destinasi utama. Jadi, tidak perlu mereka pandu kenderaan dan perkara ini boleh menjimatkan minyak, kurangkan pencemaran dan badan juga jadi sihat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid mengumumkan BRT sebahagian daripada Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 dalam usaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada pengguna.

Projek yang dibangunkan kumpulan Prasarana itu akan menyediakan laluan khas bas melalui pertengahan Lebuhraya Persekutuan antara Kuala Lumpur dan Klang, melalui Shah Alam.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.