Categories
NASIONAL

GERAMM desak penganjur siasat kes kasari petugas media

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MEI: Gerakan Media Marah (Geramm) menyelar kekasaran terhadap petugas media dalam Himpunan Bantah GST 501 yang berlangsung di Dataran Merdeka, semalam.

Geramm dalam satu kenyataan media mengecam tindakan terbabit dan mendesak penganjur menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

Mereka berpendapat walaupun sebilangan media dianggap sebagai alat propaganda pihak tertentu, namun tindakan keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima sama sekali.

geramm logo“Tindakan segelintir peserta protes itu yang mengasari beberapa wartawan dan jurugambar amat dikesali. Kami mahu penganjur menyiasat perkara ini dan kumpulan itu tampil memberi penjelasan mengapa hal ini boleh berlaku.

“GERAMM dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan terhadap wartawan,” katanya.

Antara petugas media yang dikasari adalah jurufoto HCK Media (mewakili akhbar mingguan perniagaan Focus Malaysia, akhbar mingguan The Heat dan portal theantdaily.com) Sharil Amin Abdul Rahim disepak dan ditumbuk manakala jurufoto The Malaysia Reserve, Hafzi Mohamad terkena balingan kayu.

Sementara itu, jurukamera agensi Negara China Xinhua News, Mohd Zul Iskandar Hanafiah turut disepak beberapa kali oleh sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan bertopeng.

Selain itu, Geramm turut menyokong tindakan undang-undang yang mahu dibuat oleh wartawan yang menjadi mangsa termasuk laporan polis yang mahu dilakukan oleh Persatuan Jurugambar Berita Malaysia (MPPA) dan individu terbabit.

Katanya, bukti video dan gambar yang didapat dengan jelas menunjukkan provokasi dan keganasan yang dihadapi wartawan yang berada di tempat kejadian.

“Ketika kebebasan media menjadi satu cabaran yang masih diperjuangkan di pelbagai peringkat termasuk wartawan di GERAMM, campur tangan politik di bilik media masih menjadi satu isu besar dalam sebilangan media.

GERAMM“Kami meminta semua pihak yang beranggapan media Malaysia tidak bebas supaya tidak menggunakan keganasan (kepada Media) kerana ia bertentangan dengan standard antarabangsa dan tidak membantu perjuangan mereka.

“Sebaliknya, kami menyeru lebih dialog antara kumpulan media dan masyarakat sivil serta NGO untuk membawa kepada kefahaman yang lebih baik berkenaan kedudukan dan cabaran yang dihadapi media demi membawa perubahan demokratik di Malaysia,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.