Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Ibu Presiden PKR

Bersempena dengan Hari Ibu, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakamkan sejunjung kasih dan tahniah kepada ibu-ibu di seluruh negara, di atas kesungguhan serta pengorbanan tinggi mereka di dalam mencorak masa depan anak-anak.

Jika sesebuah negara inginkan suatu bentuk masyarakat yang berakhlak mulia, berpendidikan tinggi dan cemerlang di dalam kerjaya, semuanya itu tidak akan berlaku dengan sekelip mata, tanpa sentuhan insan yang bernama ibu.

Wan Azizah melawat ibu tunggal 01Sesungguhnya, peranan ibu, didikan ibu, air tangan ibu dan belaian kasih sayang ibulah, yang membentuk keperibadian kita semua, membentuk anak-anak sehingga mampu menggapai kedudukan yang tinggi di dalam apa jua bidang yang diceburi.

Asasnya, para ibu bukan sahaja merupakan denyut nadi yang mencorak keluarga, malah peranan ibu jauh lebih besar dan mempunyai kesan yang berganda untuk membentuk masa depan masyarakat dan negara, kerana ibulah insan paling hampir dengan anak-anak yang akan membesar dan kemudiannya berperanan mencorakkan mereka.

Ini bersesuaian dengan penegasan Allah di dalam al-Quran menerusi firman-Nya:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”
[al-Ahqaf 46:15]

Islam menegaskan terdapat beberapa sebab, para ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah, antaranya, ialah, seorang ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandungkan anak dan ibu juga menghadapi kesusahan paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut.

Namun begitu, peranan ibu di dalam membentuk kehidupan, dilengkapkan dengan peranan bapa, di mana kedua-duanya harus diingati di hari ini sebagai gandingan yang tidak boleh dipisahkan dalam mencapai sebarang agenda pembangunan masyarakat dan negara.

Peranan ibu yang dilengkapkan oleh bapa juga, berkait rapat dengan perlunya sebuah persekitaran yang kondusif, sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat, komited untuk menjana suasana yang kondusif ini, khususnya dalam aspek kestabilan ekonomi, untuk membantu mensejahterakan peranan ibu-ibu mendidik dan menyusun kehidupan anak-anak.

Apabila kita mempunyai sistem politik yang stabil, persekitaran sosial yang selamat dan ditambah dengan dokongan ekonomi yang sejahtera, kita percaya, situasi ini akan mampu membantu ibu-ibu melaksanakan peranan mereka dengan lebih baik dan cemerlang, Insya Allah.

Untuk semua ibu tersayang, Selamat Menyambut Hari Ibu 2014!
Ibu sejahtera, Malaysia berjaya.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.