Categories
AGENSI SELANGOR

MB zahir ucapan sempena Hari Ibu

SHAH ALAM, 9 MEI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menzahirkan ucapan Selamat Hari Ibu kepada kaum wanita di seluruh negara.

Ucapan itu disampaikan menerusi catatan di Facebook dan Twitter rasminya @AmirudinShari.

“Selamat Hari Ibu saya ucapkan kepada isteri saya, ibu saya dan seluruh insan istimewa yang bergelar ibu. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan mereka membesarkan serta mendidik anak-anak cukup berharga.

“Ibu, kau adalah ratu hatiku. Selamat Hari Ibu!” tulisnya.

Sambutan Hari Ibu di negara ini diraikan pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Kasih seorang ibu, warga emas cekal besarkan enam anak OKU

DUNGUN, 9 MEI: Di sebalik senyuman mesra yang diberikan warga emas ini ketika menyambut kedatangan Bernama di kediamannya di Kampung Keliyu di sini, tersimpan 1,001 kenangan pahit dan manis ketika membesarkan anak-anaknya yang sentiasa terpahat di hati.

Ujian yang dilalui Azizah Bakar, 70, sebagai seorang ibu bukanlah calang-calang kerana tidak hanya seorang malah enam daripada 12 anaknya dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

Anak-anaknya iaitu Mohd Fairus Kamaludin, 43; Mohd Zulkifli (40); Hazura (37); Hatikah (35); Mohd Shahrul (30) dan Mohd Azeem Asyraf (27) dilahirkan bisu dan mengalami perkembangan mental yang tidak normal.

Lebih menyedihkan Mohd, Zulkifli dan Hazura tidak boleh berjalan sejak mereka berusia 20-an dan hanya mampu mengengsot.

“Anak mak cik yang pertama hingga ketiga dilahirkan normal tetapi bermula dengan anak keempat iaitu Mohd Fairus dilahirkan sebagai OKU.

“Kalau mempunyai seorang anak OKU pun sudah rasa sedih apatah lagi mak cik yang sampai enam orang anak dilahirkan begini. Ada juga mak cik tertanya sendiri kenapa ditimpa nasib seperti ini tetapi bila difikirkan semula, ia adalah ketentuan Allah dan mak cik reda sahaja,” katanya.

Meskipun tulang empat keratnya sudah tidak sekuat mana, namun wanita tabah itu tidak pernah mengeluh dan berjanji akan tetap menjaga anak-anak istimewanya itu dengan penuh kesabaran dan kasih sayang sehingga ke akhir hayatnya.

“Dari kecil mereka tidak pernah berenggang dengan mak cik dan mereka tidak boleh ditinggalkan tanpa pengawasan kerana bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini. Sampai sekarang pun mak cik tidak boleh pergi ke mana-mana kerana perlu menjaga mereka.

Azizah Bakar, 70, (dua, kanan) dibantu suami Kamaludin Embong, 70, menyuapkan sarapan pagi kepada anak-anaknya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) ketika ditemui di Kampung Keliyu Dungun, Terengganu baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Tetapi kini mujurlah anak-anak mak cik lain yang normal iaitu Roslinah (49); Haziru (47); Nurul Huda (45); Rozita (39); Mohd Hasrul Akimi (34); dan Nur Sharil Amiru (32) turut membantu menjaga adik-beradik mereka,” katanya.

Azizah berkata pelbagai kepayahan terpaksa ditempuhi sepanjang membesarkan anak-anak syurga tersebut memandangkan pada waktu itu anak-anak yang lain juga masih kecil dan memerlukan perhatian.

Malah katanya, pada waktu itu tiada bantuan yang diterima dan keluarga mereka hanya bergantung kepada pendapatan suaminya Kamaludin Embong, 70, sebagai ketua kampung yang tidak seberapa.

“Pada lewat tahun 1970-an bantuan untuk OKU belum ada. Memang hidup susah sampai makan pun kena catu. Menu biasa kami adalah nasi dan telur goreng. Nasib baiklah anak-anak istimewa ini tidak cerewet dan mereka makan sahaja apa yang diberikan serta tidak pernah meminta-minta.

“Sewaktu mereka kecil, tuhan sahaja yang tahu betapa penatnya mak cik kerana jarak semua 12 anak dekat-dekat jadi mak cik menguruskan anak-anak yang OKU sambil mak cik sendiri berbadan dua,” katanya sambil memaklumkan sejak 10 tahun lepas semua anak OKUnya masing-masing menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Azizah mengakui beliau pernah berasa malu dan enggan bergaul dengan masyarakat ekoran ada yang memandang serong dengan keadaan anak-anaknya itu, sehingga mereka mempersoalkan mengapa begitu ramai anaknya dilahirkan cacat.

Namun kini, beliau bersyukur dan berasa bangga kerana berjaya membesarkan anak-anak istimewanya itu dengan baik dan meskipun dilahirkan dengan serba kekurangan, kebanyakan mereka sudah boleh menguruskan diri sendiri dan menjaga sesama mereka, serta membantunya melakukan kerja-kerja rumah.

Sempena sambutan Hari Ibu hari ini, Azizah menasihati golongan ibu terutama yang diuji dengan anak OKU sepertinya supaya sentiasa bersabar dan menghargai semua anak-anak walau apa sahaja keadaan mereka.

“Kita perlu kuatkan semangat dan jaga mereka dengan penuh kasih sayang. Anak-anak itu tidak tahu apa-apa dan mereka pun tidak minta dilahirkan begitu. Mereka adalah amanah Allah kepada kita, terimalah mereka seadanya,” katanya yang kelihatan bergenang air mata sambil cuba mengukir senyuman.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Tidak toleh belakang, ibu tunggal cekal teruskan kehidupan

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 7 MEI: “Bila jadi ibu tunggal usah menoleh ke belakang lagi, jangan dikenang kisah silam.

“Kisah lampau itu jadikan pengalaman dan pengajaran, tanamkan niat murni dan rancang hala tuju kehidupan dengan baik… percayalah tuhan sentiasa ada bersama kita,” demikian luahan ibu tunggal Samsiah Othman, 46, sambil disokong rakan-rakannya Noorhayati Yusof, 48, dan Noor Shakilah Abdullah, 53, yang juga senasib dengan beliau.

Memegang status ibu tunggal bukanlah sesuatu yang mudah di samping memikul tanggungjawab besar sebagai ibu dan ayah untuk membesarkan anak-anak.

Namun, biar apa pun rintangan yang dilalui, kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu sememangnya tiada tolok bandingnya.

Tiga kerja dalam satu masa

Bergelar ibu tunggal sejak 2014, Samsiah seorang bekas anggota tentera berkata cabaran terbesar baginya adalah kekangan kewangan di samping membesarkan seorang anak lelaki orang kurang upaya (OKU) yang menghadapi masalah autisme.

Wanita itu yang berkhidmat selama 21 tahun dengan jawatan terakhir sebagai ketua kerani berpangkat staf sarjan di Kementerian Pertahanan berkata, sepanjang bergelar ibu tunggal pelbagai pekerjaan sampingan dilakukan bagi menampung kehidupan serta permata hatinya, Amir Hamzah Ibrahim, 15.

Antaranya termasuklah sebagai pelayan restoran, pengawal keselamatan dan menyanyi di majlis kahwin.

“Macam-macam kerja saya buat untuk menampung kehidupan. Saya terpaksa buat kerja sambilan sebab banyak hutang dan komitmen, sukar jika hanya mengharap pada satu pekerjaan sahaja. Perbelanjaan bulanan hanya beli beras dan telur sahaja… hendak beli sayur bimbang tak cukup duit, sebab kena fikir untuk kegunaan lain yang lebih utama seperti perbelanjaan minyak motor dan kereta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bukit Antarabangsa baru-baru ini.

Di samping mempunyai penyakit kencing manis dan saraf serta mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Samsiah pada masa sama turut menyara bapanya yang uzur dan menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan sakit jantung.

Berpendapat masyarakat tidak seharusnya memandang serong terhadap status ibu tunggal, beliau berkata nasib setiap insan berbeza termasuk wanita yang terpaksa berdepan keretakan rumah tangga atau kematian suami sekali gus hilang tempat bergantung.

“Golongan ibu tunggal seharusnya diberikan sokongan moral dan semangat lebih-lebih lagi untuk mereka membesarkan dan mendidik anak-anak menjadi insan berguna secara bersendirian,” katanya yang bersara pada 3 Mac lepas dan kini menjinakkan diri dalam bidang membuat kuih tart serta menyertai beberapa aktiviti kemasyarakatan di sekitar tempat tinggalnya.

Ibu tunggal perlu kuat

Bagi koreografer, Noorhayati atau lebih mesra dengan panggilan ‘Why’, hidup sebagai ibu tunggal memang ada perit jerihnya kerana semua urusan terpaksa dilakukan seorang diri.

“Cabaran sebagai ibu tunggal sangat hebat hingga sampai tahap hendak menangis pun sudah tidak ada air mata lagi. Bukan senang hendak membesarkan anak seorang diri, apa pun bagi saya itu adalah perjalanan hidup saya yang sudah ditentukan Ilahi jadi kena banyak redha,” luah ibu kepada tiga orang cahaya mata berusia 15, 23 dan 25 tahun itu.

Noorhayati yang lebih 12 tahun hidup sebagai ibu tunggal berkata golongan itu harus segera bangkit selepas diuji dengan kegagalan atau kehilangan serta penting untuk mereka mempunyai kerjaya sendiri.

“Tidak kira wanita muda, miskin, kaya bagi saya pelajaran dan kerjaya sangat penting. Wanita perlu ada pendapatan sendiri tidak kira ada suami atau tidak kerana inilah sebagai ‘back up’ jika apa-apa berlaku dalam sesebuah rumah tangga.

“Semangat perlu tinggi, kaum hawa perlu kuat untuk menghadapi pelbagai cabaran dan apa yang utama, tetapkan niat sebenar… jika niat betul, yang baik pasti akan mengiringi kehidupan kita,” katanya.

Selain bekerja sebagai koreografer, beliau juga merupakan artis budaya yang mengajar ramai artis tempatan menari serta turut mengendalikan syarikat pengurusan acara dan mempunyai kedai kostum.

Turut menerima tempias Covid-19 apabila syarikat dan kedai miliknya terjejas sepanjang pandemik, beliau bagaimanapun tidak ‘duduk diam’ malahan membuat kuih seperti sagu gula melaka dan mengambil tempahan biskut raya.

Baginya, fokus utama adalah kerja dan tidak memikirkan hal remeh lain termasuk persepsi negatif masyarakat yang sesetengahnya kurang senang dengan status ibu tunggal.

Turut berkongsi kisah, Noor Shakilah berkata kehidupan selepas pemergian suami tercinta memerlukan kekuatan dari sudut mental dan fizikal.

“Nasib saya sedikit berbeza kerana kematian suami namun tetap memikul gelaran sama. Suami penghidap penyakit kencing manis dan kedua-dua kakinya terpaksa dipotong… sejak itu sayalah yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga di samping menjaga dan membawa suami ke hospital.

“Rumah kami terletak di tingkat satu jadi saya akan memapah malah adakalanya mendukung suami naik tangga sampai ke rumah,” katanya yang kini tinggal bersama anaknya dan menjalankan perniagaan kuih karas serta bekerja di gerai nasi ayam penyet bagi menampung kehidupan.

Aktif berpersatuan

Sementara itu, Penasihat Persatuan Kebajikan Ibu Tunggal Syuhada, Aminah Hussin berkata ibu tunggal harus bijak mencari platform untuk mengetengahkan kebolehan dan bakat yang ada dalam diri mereka.

Ini termasuklah menceburkan diri dengan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dapat melatih ibu tunggal agar bangkit, kembali yakin selain merebut pelbagai peluang untuk mengubah dan memajukan diri mereka.

“Pelbagai peluang dan bantuan disediakan oleh kerajaan dan NGO dalam membantu golongan ibu tunggal dan untuk itu mereka digalakkan mendaftar. Banyak kelebihan yang akan diperoleh sebagai contoh mengikuti kelas belajar membuat kek, kuih-muih dan jahitan yang akan diberikan secara percuma.

“Dengan berpersatuan juga ibu tunggal berpeluang mengenal pasti kemahiran dan potensi yang dimiliki seterusnya membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Aminah pada masa sama berkata golongan ibu tunggal di luar bandar khususnya perlu ‘keluar dari kepompong’ dan memajukan diri melalui saluran sepatutnya.

“Nasihat saya kepada ibu tunggal di luar sana, aktiflah dalam persatuan, banyak peluang pekerjaan menanti apabila kita aktif. Ramai ibu tunggal di luar sana yang telah terbukti berjaya apabila mereka terus positifkan diri dan berubah kepada kehidupan lebih baik,” katanya sambil menambah Persatuan Kebajikan Ibu Tunggal Syuhada yang terletak di Taman Maluri, Cheras melahirkan ramai ibu tunggal berjaya dalam pelbagai bidang termasuk pelancongan dan perniagaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Salam, pujian khas para ibu di barisan hadapan hadapi Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Apabila Malaysia mula bergelut dengan Covid-19 sejak awal tahun ini dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seterusnya dalam mengawal pandemik itu, ramai ibu yang bekerja menyaksikan perubahan drastik dalam rutin harian mereka.

Sempena dengan Hari Ibu, salam dan pujian ditujukan kepada para ibu terutama yang terlibat di barisan hadapan dalam memerangi ancaman Covid-19.

Pengorbanan mereka sungguh tidak terkira, memandangkan mereka sanggup bekerja tanpa mengira siang dan malam di hospital dan di titikpanas jangkitan, berjauhan daripada ahli keluarga yang tersayang dan meletakkan diri mereka sendiri dalam risiko dijangkiti virus itu.

Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (Kanan) Nordayana Musa, 40, tugasan beliau tatkala negara dilanda pandemik Covid-19 pastinya jauh berbeza daripada sebelum ini apabila beliau diperlukan untuk bekerja 12 jam setiap hari tanpa mengira waktu selain mengorbankan cuti hujung minggu.

Beliau, yang bertugas di Unit Inspektorat dan Perundangan di Pejabat Kesihatan Titiwangsa di sini, bagaimanapun, berkata putus asa tidak pernah tertulis dalam kamus hidupnya memandangkan ia pengalaman berharga bersama rakan sejawatan dalam membantu negara menangani wabak ini.

“Semasa wabak Covid-19 ini, masa bersama keluarga agak terhad kerana bekerja tanpa mengira waktu. Alhamdulillah suami saya sedikit sebanyak membantu dalam meringankan tugasan rumah.

“Sebagai seorang ibu dan dalam masa yang sama seorang frontliner, dengan waktu yang terhad ini saya akan pastikan setiap hari akan berbual bersama keluarga dan memastikan anak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru kelas mereka sepanjang tempoh PKP,” kata ibu kepada dua anak itu kepada Bernama.

Ditanya mengenai perancangan sambutan Hari Ibu, Nordayana berkata sambutan yang sebelum ini diraikan dengan makan di luar bersama keluarga mungkin tidak dapat dibuat untuk tahun ini kerana masih belum ada perancangan.

Namun sekiranya diberi peluang, wanita kelahiran Parit Buntar, Perak, itu hanya mahu menghabiskan masa bersama keluarga dan menyambut secara sederhana sebagai tanda memperingati tanggal itu.

Anggota polis Zawiyah Zakaria, 41, memberitahu Bernama beliau masih belum ada kesempatan untuk bersantai bersama anak, terutamanya ketika ditugaskan sebagai penyelia di kawasan Masjid India yang pernah diisytiharkan sebagai PKP Diperketatkan (PKPD).

Beliau, yang mempunyai lima orang anak berumur antara tiga hingga 17 tahun berkata sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas masih belum ada hari pelepasan buatnya menyebabkan beliau hanya sempat bersama dengan anak dalam masa dua atau tiga jam sahaja sehari.

“Anak memanglah merungut sebab kita tidak selalu ada. Semua sekarang bergantung kepada kakak (anak sulung), sebab saya kadang-kadang balik lambat atau tidak balik langsung. Mujur anak bongsu saya sudah terbiasa dengan kakak-kakaknya,” katanya yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Telah berkhidmat hampir 23 tahun sebagai anggota Polis Diraja Malaysia, Zawiyah menyifatkan pengalaman bertugas dalam tempoh pandemik ini sangat mencabar dari segi mental dan emosi.

Oleh itu, beliau berharap kepada pengakhiran wabak Covid-19 ini dan PKP dapat ditamatkan dengan jayanya supaya setiap keluarga dapat menikmati masa bersama.

“Sebab itu, saya memang sanjung kepada ibu-ibu barisan hadapan yang bijak bahagi masa demi tanggungjawab terhadap negara. Kerja kami memang berisiko tinggi, dan terdedah kepada bahaya. Jadi kalau kami balik rumah, macam mana dengan anak nanti?” katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, jururawat di bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Sungai Buloh, Anis Sabrina Shaharim, 29, berkata dengan keadaan semasa pandemik Covid-19 ini masa bersama keluarga sangat terhad kerana lebih banyak masa dihabiskan di tempat kerja.

Bagaimanapun, ibu kepada dua anak itu sentiasa bersyukur kerana masih pulang dengan disambut anak dan suami di rumah berbanding dengan mereka yang terpaksa tinggal berjauhan dari keluarga ketika tempoh sukar ini.

“Tapi kadang-kadang sedih kalau anak atau anggota keluarga kami kurang sihat sebab kami bukan boleh suka-suka ambil cuti untuk jaga mereka, jadi kena kuatkan hati fikir baik-baik dan urus sendiri. Kami kena berkorban demi menjaga pesakit yang memerlukan kami juga,” katanya.

Menceritakan tentang suasana di tempat kerjanya sekarang, beliau berkata keadaan telah banyak berubah sejak hospital itu ditukar menjadi tempat rawatan khusus untuk kawalan penyakit berjangkit.

Tambahnya, cabaran kerja juga semakin bertambah apabila mereka terpaksa akur menghadap pesakit yang belum pasti keputusan saringan, sekaligus memerlukan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap sepanjang masa.

“Untuk pulang ke rumah pun kena jaga kebersihan diri betul-betul sebelum jumpa keluarga. Kadang-kadang jadi tidak yakin dengan diri sendiri sebab virus dan kuman kita tidak nampak. Saya hanya berserah dan tawakkal kepada Allah sahaja dan supaya virus ini lenyap daripada muka bumi.”

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

EXCO: Ibu seharusnya dihargai setiap hari

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 MEI: Mereka yang bergelar ibu seharusnya dihargai anak setiap hari dan bukannya pada hari tertentu sahaja, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, kebelakangan ini ramai dalam kalangan anak-anak sibuk menjaga keluarga sendiri sehingga terlupa ibu juga memerlukan perhatian.

Namun, katanya, sebagai seorang ibu sentiasalah bertabah dan bersabar dalam apa jua keadaan.

“Kepada semua yang bergelar ibu di luar sana, anda seharusnya dihargai anak-anak setiap hari bukan hanya pada hari tertentu. Namun lumrah manusia, anak-anak perlu diingati berkenaan pengorbanan ibu dan bapa terhadap mereka.

“Ramai anak-anak yang sibuk menjaga keluarga mereka sendiri (anak dan isteri) tetapi melupakan yang ibu mereka juga memerlukan perbelanjaan dan perhatian.

“Bertabahlah wahai ibu. Ampuni anakmu dan teruskan berdoa untuk anak-anakmu. Semoga Allah SWT menghitung ibadahmu membesarkan anak-anak dengan susumu. Redhailah anak-anakmu,” tulisnya di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Hari Ibu disambut seluruh dunia pada 12 Mei setiap tahun.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan ajaran Islam sebagai seorang anak penting untuk mereka menghargai ibu dengan penuh kasih sayang tidak kira masa dan di mana jua.

Categories
SELANGOR

Pengorbanan dan sumbangan kaum ibu dihargai

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 MEI: Lebih 1,000 ibu daripada pelbagai kaum diraikan pada Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri bagi menghargai pengorbanan serta sumbangan mereka.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Shamshida Taharin berkata Hari Ibu harus diiktiraf sebagai hari penting untuk memartabat nilai pengorbanan mereka.

13138915_10208944749043637_1921118830432987603_nBeliau turut menyarankan masyarakat memanfaatkan hari tersebut untuk meraikan mereka yang bergelar ibu.

Katanya, walaupun seorang ibu tidak pernah meminta anak untuk membalas segala pengorbanan mereka, namun hari tersebut wajar dimartabat sebagai tanda ucapan terima kasih.

“Sebagai pemangkin dan tulang belakang sesebuah keluarga, pengorbanan dan jasa seorang ibu hendaklah dikenang kerana banyak bersusah payah membesar dan mendidik anak-anak sejak dari kecil lagi.

“Maka menjadi peranan kita sebagai anak-anak untuk menghargai dan mengiktiraf pengorbanan ibu dalam satu bentuk sambutan hari yang akan mereka ingati sampai hujung hayat,” katanya.

image (6)Beliau berkata demikian di Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri di Dewan Raja Musa, di sini.

Pada masa yang sama, Shamshida turut mengajak ibu-ibu menjadi ‘moden’ berilmu pengetahuan dalam teknologi selaras keadaan masa kini.

“Ia bagi ibu-ibu dapat mengawasi anak-anak tanpa perlu mengenepikan status ibu.

“Kita perlu tahu siapa kawan-kawan anak kita..Perlu tahu nombor telefon kawan-kawan anak kita, juga pantau laman-laman sosial anak-anak,” katanya.

Dalam sambutan yang bertemakan ‘abadinya kasihmu, ibu’, simbolik pemberian bunga tanda kasih sayang turut diedarkan kepada semua jemputan.

Acara memotong pulut kuning turut dilakukan oleh ibu Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Che Tom Yahaya dan ibu kepada Shamshida, Rahmah Ismail.

Hadirin turut dihiburkan dengan nyanyian dari artis jemputan, Aisyah.

Slot ‘kekeluargaan sejati’ oleh Pakar sakit puan, Prof Dr Harlina Sirat.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Ibu Presiden PKR

Bersempena dengan Hari Ibu, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) merakamkan sejunjung kasih dan tahniah kepada ibu-ibu di seluruh negara, di atas kesungguhan serta pengorbanan tinggi mereka di dalam mencorak masa depan anak-anak.

Jika sesebuah negara inginkan suatu bentuk masyarakat yang berakhlak mulia, berpendidikan tinggi dan cemerlang di dalam kerjaya, semuanya itu tidak akan berlaku dengan sekelip mata, tanpa sentuhan insan yang bernama ibu.

Wan Azizah melawat ibu tunggal 01Sesungguhnya, peranan ibu, didikan ibu, air tangan ibu dan belaian kasih sayang ibulah, yang membentuk keperibadian kita semua, membentuk anak-anak sehingga mampu menggapai kedudukan yang tinggi di dalam apa jua bidang yang diceburi.

Asasnya, para ibu bukan sahaja merupakan denyut nadi yang mencorak keluarga, malah peranan ibu jauh lebih besar dan mempunyai kesan yang berganda untuk membentuk masa depan masyarakat dan negara, kerana ibulah insan paling hampir dengan anak-anak yang akan membesar dan kemudiannya berperanan mencorakkan mereka.

Ini bersesuaian dengan penegasan Allah di dalam al-Quran menerusi firman-Nya:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.”
[al-Ahqaf 46:15]

Islam menegaskan terdapat beberapa sebab, para ibu memiliki hak tiga kali ganda lebih besar daripada seorang ayah, antaranya, ialah, seorang ibu terpaksa menanggung pelbagai kesusahan, sama ada dari sudut fizikal mahupun mental, dalam proses mengandungkan anak dan ibu juga menghadapi kesusahan paling berat ketika hendak melahirkan anak tersebut.

Namun begitu, peranan ibu di dalam membentuk kehidupan, dilengkapkan dengan peranan bapa, di mana kedua-duanya harus diingati di hari ini sebagai gandingan yang tidak boleh dipisahkan dalam mencapai sebarang agenda pembangunan masyarakat dan negara.

Peranan ibu yang dilengkapkan oleh bapa juga, berkait rapat dengan perlunya sebuah persekitaran yang kondusif, sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

KEADILAN dan Pakatan Rakyat, komited untuk menjana suasana yang kondusif ini, khususnya dalam aspek kestabilan ekonomi, untuk membantu mensejahterakan peranan ibu-ibu mendidik dan menyusun kehidupan anak-anak.

Apabila kita mempunyai sistem politik yang stabil, persekitaran sosial yang selamat dan ditambah dengan dokongan ekonomi yang sejahtera, kita percaya, situasi ini akan mampu membantu ibu-ibu melaksanakan peranan mereka dengan lebih baik dan cemerlang, Insya Allah.

Untuk semua ibu tersayang, Selamat Menyambut Hari Ibu 2014!
Ibu sejahtera, Malaysia berjaya.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN