Categories
BERITA UTAMA

Piala Thomas satukan hati rakyat Malaysia, kenapa tidak politik?

Oleh: Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

SERONOK menonton Piala Thomas. Suasananya cemas. Adakalanya kita mendahului dan ada kalanya Jepun mendahului. Kita tewas kepada Jepun, tetapi sokongan dan rasa sayang kepada pemain kita tetap tinggi.

Kita dari pelbagai bangsa tetap menyokong kuat pasukan negara kita, biarpun pemainnya hanya dari bangsa Cina. Tidak ada laungan Cina pendatang, Cina penceroboh dan lainnya.

pialaSemuanya memuji Datuk Lee Chong Wei dan lain-lain pemain. Biarpun kita tewas, tetapi saya puas melihat semangat patriotik rakyat kita. Cukup luar biasa.

Tetapi mengapa dalam politik tidak begitu? Mengapa parti politik perlu mencelakakan antara satu sama lainnya?

Jawapannya mudah. Kita menyokong kuat pasukan badminton kita kerana menyokong negara. Tetapi dalam politik kenapa kita tidak begitu? Kenapa tidak kita menyokong kuat parti kita untuk menyokong demokrasi negara?

Kenapa dalam politik kita perlu ‘hilang akal’ untuk memenangkan parti kita? Kenapa kita perlu ada pemimpin politik yang sering mengeluarkan kenyataan yang terkeluar dari legitimasi moral?

Setelah kita bersatu teguh menyokong negara dalam perlawanan akhir Piala Thomas, bolehkah kita juga sama berdiri teguh untuk menegakkan demokrasi negara?

Lupakan politik kebencian. Mari semua kita berpolitik untuk negara. Dan jikalah badminton boleh menyatukan kita, ayuh, mari semua kita menonton badminton setiap hari.
* Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff adalah Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.