Categories
SELANGOR

Soccerkids MBSA ungguli Kejohanan Bola Sepak Junior 1MCC-Yamaha 2014

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 MEI: Pasukan bola sepak remaja, Soccerkids MBSA menunjukkan prestasi yang membanggakan apabila berjaya mengungguli Kejohanan Bola Sepak Junior 1MCC-Yamaha 2014 kategori bawah 12 tahun.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata kejayaan itu membolehkan MBSA merangkul gelaran juara kali ke-2 untuk dua tahun berturut-turut dan membawa pulang piala kejuaraan serta baucer bernilai RM6,000.

Katanya, pasukan soccerkids dikendalikan oleh jurulatih berpengalaman iaitu bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Selangor, Anuar Abu Bakar.

“Tidak sia-sia pasukan Soccerkids MBSA ditubuhkan bagi mengenalpasti bakat baru dalam sukan bola sepak untuk digilap dan diberi latihan secara intensif serta sistematik.

1“Ini pasti dapat melahirkan pemain yang berkualiti, selain boleh mewakili Negeri Selangor dan Malaysia dalam arena sukan bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Bertempat di Stadium Mini Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, dua pemain Soccerkids MBSA turut menerima anugerah khas kejohanan iaitu Anugerah Pemain Terbaik Final, Muhd Amirul Ashrafiq Hanafiah dan Anugerah Pemain Paling Bernilai, Harith Haiqal Adam Akar.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata, Akademi Soccerkids MBSA adalah satu program latihan yang menggalakkan aktiviti berfaedah dan memberi manfaat kepada warga Shah Alam khususnya generasi muda.

MBSA-Shahrin Ahmad“Kita mahu generasi muda terbabit dengan aktiviti sukan serta mendidik mereka untuk lebih berdisiplin dan aktif.

“Aktiviti yang disediakan ini mampu mengisi masa lapang anak muda dan mengelakkan mereka daripada aktiviti kurang sihat seperti melepak dan melakukan jenayah vandalisme.

“MBSA berharap melalui program sukan seperti ini dapat melahirkan generasi muda yang terlatih, berdisiplin, bertanggungjawab dan bersemangat dalam melaksanakan tugas mereka,” katanya.

Selain Soccerkids, MBSA yang mahu dikenali sebagai bandar sukan juga aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti sukan seperti Kejohanan Futsal Piala Datuk Bandar, Program Kriterium Shah Alam dan Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.