Categories
SELANGOR

Status flat Taman Permata masih samar, Kerajaan Pusat terus membisu

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 MEI : Status pembinaan rumah teres seperti yang dijanjikan kepada 400 penghuni sementara di flat kos rendah Taman Permata, Dengkil masih samar walaupun diasak berulang kali Kerajaan Negeri sejak sekian lama.

Lebih malang, permohonan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mendapatkan pengesahan persetujuan pembinaan bagi membolehkan pengambil alihan tanah dibuat Kerajaan Negeri kian menemui jalan buntu apabila tidak ada sebarangjawapan diberikan.

Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau, berkata walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil daripada Barisan Nasional (BN) pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), baru-baru ini memaklumkan bahawa Kerajaan Pusat bersetuju untuk membina rumah itu, namun tiada surat hitam putih dikeluarkan.

V-GanabatirauKatanya tindakan BN yang cuma ‘cakap-cakap’ sahaja tidak menjamin komitmen mereka untuk membina kediaman terbabit seperti yang dijanjikan.

“Cakap-cakap sahaja tidak cukup, kerana ia perlu dibuat secara bertulis untuk membuktikan komitmen Kerajaan Pusat membina rumah seperti yang dijanjikan.

“Taman Permata ini sudah wujud sekian lama untuk menempatkan bekas pekerja ladang daripada kawasan Putrajaya dan Cyberjaya, yang mana rumah mereka dirobohkan bagi dibina kediaman Perdana Menteri.

“Mereka ini (pekerja ladang) diusir dan ditempatkan di Taman Permata serta dijanjikan BN untuk membina rumah teres, tetapi sehingga kini tiada sebarang pembinaan dibuat,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sudah menyediakan 30 ekar tanah untuk pembinaan kediaman itu seperti yang diminta Kerajaan Pusat, tetapi masih tiada respon yang diberikan.

Beliau berkata, hanya pada awal Januari lalu KPKT membalas surat berkenaan dan menetapkan syarat baru iaitu kediaman terbabit harus dibina dengan kosnya ditanggung secara bersama dengan Kerajaan Negeri.

flet taman permata demo 01“Mereka setuju bina rumah tetapi tidak menunjukkan keikhlasan. Tanah Kerajaan Negeri sudah beri tetapi kos pembinaan pula mereka minta tanggung separuh. Saya tidak nampak keikhlasan tetapi dalam media mereka kata Kerajaan Pusat sudah setuju cuma Kerajaan Negeri belum buat pengambilalihan tanah.

“Kalau kita buat (pengambilalihan tanah) tetapi mereka tidak mahu teruskan (pembinaan), ia akan menjadi satu pembaziran dan akan menyalahkan satu sama lain,” katanya.

400 penduduk di flat kos rendah Taman Permata dipindahkan ke pangsapuri terbabit pada 1999 bagi memberi laluan kepada projek pembinaan Putrajaya dan mereka dijanjikan rumah teres sebagai kediaman alternatif, namun, selepas lebih 15 tahun berlalu, pangsapuri yang sepatutnya menjadi rumah transit kini sudah menjadi rumah tetap.

Penduduk bertambah bimbang apabila rumah transit itu tidak boleh diduduki dengan selamat akibat tanah mendap, terlalu hampir dengan saluran paip gas, sistem perparitan tidak sempurna, saliran air kumbahan pecah dan bangunan rumah retak.

Semua penduduk di pangsapuri berkenaan adalah bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley, bahkan sebelum ini, sebagai langkah sementara, Kerajaan Negeri mengarahkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) untuk memperbaiki kediaman (pangsapuri) sedia ada melalui peruntukan RM500,000.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.