Categories
NASIONAL

Dalam politik juga perlu ada adat, adab demi kepentingan parti

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 MEI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan tindakan ahli parti itu yang memfitnah dan menggunakan kata kesat dalam berpolitik.

Beliau berkata, pihak parti PKR bersetuju untuk menggariskan tatacara khusus menggariskan panduan dalam berpolitik di kalangan ahli parti itu.

Katanya, bidang politik tidak harus dijadikan medan untuk memburukkan orang lain tetapi seharusnya dijadikan landasan mencurah bakti demi kepentingan ahli parti dan rakyat.

DSC_2425“Saya faham politik ini adalah satu perkara yang membenarkan orang buat kenyataan yang tidak betul tetapi dalam arena demokrasi moden, kita juga harus hormat adat dan adab.

“Kalau tidak, negara luar tidak akan mempercayai kesahihan demokrasi yang kita amalkan di negara ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di Taman Sukan Lasak, di sini, bagi menyempurnakan Majlis Pelepasan Program Kayuhan Basikal ‘Shah Alam 2014’ yang disertai hampir 800 peserta dari seluruh negara.

Pada 16 Mei lalu, Abdul Khalid diserang secara lisan dan dituduh mengamalkan politik wang oleh seorang lelaki yang mendakwa ahli PKR daripada cabang Kuala Selangor.

Insiden dikatakan ada kaitan dengan tuduhan calon ketua cabang Kuala Selangor, S Manikavasagam kononnya Abdul Khalid memberi RM50 kepada pengundi bagi merebut jawatan itu pada Ahad lepas.

Abdul Khalid kemudiannya mengarahkan peguam untuk menghantar Notis Tuntutan Saman sebelum saman fitnah difailkan terhadap Manikavasagam.

Kongres PKR 03Sementara itu, menjawab soalan lain, Abdul Khalid memberitahu, tarikh pemilihan semula di lebih 30 cabang PKR di seluruh negara akan diumumkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Setakat semalam, Abdul Khalid dilihat semakin menjarakkan jumlah kutipan undi yang dipungutnya setakat ini berbanding pesaing terdekat yang juga penyandang jawatan, Mohamed Azmin Ali.

Kiraan undi tidak rasmi semalam menyaksikan Abdul Khalid berjaya memperoleh 12,270 mendahului Azmin dengan kelebihan 92 undi iaitu mengikut kiraan tidak rasmi, Azmin mengutip 12,178 undian dan diikuti Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution dengan 7,988 undi.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.